MENJELANG Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 bermula esok, ramai pihak berpandangan aura dan keghairahan 2,648 perwakilan parti itu yang hadir untuk meraikannya tidak seperti dahulu.
Meskipun UMNO kekal menyertai kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipilih menjadi Timbalan Perdana Menteri, semangat kemelayuan ditonjolkan perwakilan dijangka hambar, mengulangi mood kekecewaan mereka setelah kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada PRU14.
Hal ini kerana UMNO dan BN buat julung kali dalam sejarah terpaksa bekerjasama dengan musuh ketat mereka sejak sekian lama iaitu DAP dan Pakatan Harapan (PH) bagi menjayakan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan ketetapan PAU 2021 berasaskan prinsip 'No Anwar, No DAP dan No Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia)' secara automatik tidak terpakai setelah pembentukan Kerajaan Perpaduan yang didirikan atas titah Yang di-Pertuan Agong.
Namun sehingga hari ini, masih ada orang UMNO yang tidak dapat menerima hakikat parti disertainya itu sanggup mengorbankan prinsip perjuangan dengan bekerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan.
Tambahan pula, lebih tiga juta ahli UMNO pastinya terkilan dengan kekalahan terburuk BN pada PRU15 apabila koalisi itu sekadar memenangi 30 kerusi Parlimen, meskipun menjadi aktor pendesak utama agar pilihan raya umum itu diadakan secepat mungkin susulan kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 dan PRN Johor awal tahun lalu.
Imej UMNO yang dituduh sebagai gila kuasa juga semakin sukar untuk dihakis, lebih-lebih lagi parti itu dilihat terlibat dalam setiap gerakan menukar kerajaan pasca PRU14 termasuk isu terkini, krisis pergolakan politik di Sabah.
Justeru, persoalan utama bermain di fikiran kesemua perwakilan UMNO ketika ini adalah bagaimana pucuk kepimpinan parti menjadikan PAU 2022 sebagai platform merencana strategi baharu bagi menawan semula sokongan pengundi Melayu, pada saat 'gelombang hijau' dijangka berterusan pada PRN enam negeri tahun ini?
Kepercayaan rakyat
Umum mengetahui UMNO mendepani PRU15 dengan beban defisit kepercayaan rakyat, di sebalik usaha gigih kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengembalikan keyakinan pengundi terhadap UMNO-BN melalui pelbagai inisiatif kerajaan yang baik.
Ada pemimpin UMNO menyalahkan faktor timing PRU lambat menyumbang kepada kekalahan BN pada PRU15, namun ada juga pihak melihat keputusan parti mengekalkan ketuanya, yang berdepan kes mahkamah sebagai 'panglima perang' sebagai punca utama.
Bagi Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn, beliau melihat alasan kekalahan UMNO-BN disebabkan PRU15 diadakan lambat daripada waktu sepatutnya sebagai terlalu lemah.
"Apa jaminan rakyat akan kekal memilih UMNO jika PRU diadakan lebih awal, walaupun PRN di Melaka dan Johor pada awal tahun lalu memberi kemenangan majoriti dua pertiga kepada UMNO-BN?
"Ada juga kaitkan faktor PRU15 yang lewat turut mengakibatkan UMNO-BN berdepan beban tambahan kontroversi skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS) ala 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Namun harus diingat, skandal LCS yang turut dihalakan terhadap pemimpin Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad ternyata tidak memberi sebarang kesan kepada PN pada PRU15,” ujarnya kepada Sinar Premium pada Isnin.
Beliau berkata, hakikatnya lebih tiga juta pengundi Melayu menyokong UMNO-BN berbanding PN yang menerima hampir lima juta undi jelas menunjukkan segmen pengundi Melayu atas pagar menolak koalisi itu menjadi wakil rakyat dalam Parlimen.
Menurutnya, apabila UMNO-BN tiada wakil ahli Parlimen di tiga negeri dikuasai PN, satu proses bedah siasat perlu dilakukan secara terperinci dengan persoalan ini harus dibincangkan secara mendalam pada PAU 2022 sebelum pemilihan parti diadakan.
"Post mortem perlu dilakukan bermula platform PAU 2022 bagi mengenal pasti mengapa rakyat menolak kita. Bagi saya, alasan menyalahkan pelaksanaan PRU15 lambat terlalu simplistic dan tidak bertanggungjawab.
"Perwakilan UMNO juga tidak boleh sekadar melihat kekalahan UMNO-BN dari perspektif 'kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tidak nampak'.
"Mereka harus mengakui defisit kepercayaan rakyat terhadap UMNO sudah bermula sejak sebilangan pemimpinnya termasuk Presiden parti, disabitkan kes mahkamah bermula tahun 2018,” tegas Bastien lagi.
Kegusaran orang Melayu
Sementara itu, bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohammad Khir Toyo menyuarakan kebimbangan platform PAU 2022 tidak lagi membahaskan isu-isu penting rakyat seperti pendidikan, ekonomi dan kebajikan, hanya disebabkan UMNO tidak memegang portfolio kementerian berkenaan dalam kerajaan.
Hal ini susulan Ahmad dalam satu kenyataan menjelaskan PAU 2022 dijangka hanya membahaskan satu usul iaitu ucapan dasar Presiden UMNO, berbanding ucapan pemimpin UMNO menyentuh pelbagai segmen kepentingan rakyat dalam PAU terdahulu.
Dengan pentas PAU seharusnya dimanfaatkan UMNO untuk mengemukakan tuntutan jelas kepada kerajaan, parti itu akan dilihat tidak berjuang untuk kepentingan kaum Melayu sekiranya pucuk kepimpinan parti itu tidak kritikal terhadap keperluan segmen berkenaan.
"Saya risau UMNO-BN akan dibuang sepenuhnya orang Melayu dengan tugas mempertahankan kepentingan mereka berkemungkinan akan diambil alih sepenuhnya PN.
"PAU 2022 juga harus dijadikan pentas utama Ahmad Zahid bagi memberikan isyarat jelas rasional parti itu bersama kerajaan dipimpin Anwar, sekali gus menenangkan kegusaran sebilangan besar kaum Melayu yang tidak selesa dengan idea kerjasama UMNO-DAP.
"Berbeza dengan DAP yang berjaya menenangkan pengundi Cina susulan kerjasama BN-PH, UMNO perlu buktikan perjuangan mereka masih lagi bertunjangkan kepentingan kaum Melayu walaupun kini berada dalam Kerajaan Perpaduan,” tegas Mohamad Khir.
Klik di sini untuk terus membaca