BRASILIA - Ibu kota Brazil pada Ahad dicemari insiden rusuhan ganas melibatkan kumpulan penyokong bekas Presiden, Jair Bolsonaro, seminggu selepas penggantinya, Luiz Inacio Lula da Silva mengambil alih tampuk kepimpinan negara Amerika Selatan tersebut.
Lautan hijau dan kuning 'bolsonaristas' membanjiri bangunan Kongres dan banyak pihak melihat ia sama seperti insiden pencerobohan menggemparkan ke atas Capitol yang didalangi penyokong bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kira-kira dua tahun lalu.
Sebahagian daripada penyokong Bolsonaro itu turut memecah masuk pejabat perundangan Senat dan Dewan Timbalan hingga mengakibatkan kemusnahan harta benda termasuk membakar kereta peronda milik polis.
Tidak seperti rusuhan ganas di Capitol yang berlaku pada hari Rabu, tiada staf yang bertugas ketika insiden kekecohan di Kongres tersebut kerana sedang bercuti pada hujung minggu.
Pasukan keselamatan bagaimanapun bertindak tegas dengan melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah perusuh yang melemparkan pelbagai objek terhadap anggota polis yang cuba menyuraikan mereka.
"Lula telah 'merompak' pilihan raya daripada patriot. Saya mahu angkatan bersenjata mengambil alih kuasa dan 'membersihkan' Kongres. Lakukan 'pembersihan' umum.
"Kami akur untuk keluar dari sini, namun kami akan kembali," kata penjawat awam, Isabella Silva, 49, menyuarakan tuntutan 'bolsonaristas' tersebut.
Kumpulan itu akhirnya berjaya diusir, namun mereka meninggalkan mesej yang diconteng pada dinding bangunan termasuk menggesa campur tangan tentera.
Mereka kemudiannya menyerbu pula Istana Presiden di lokasi sama dan Mahkamah Agung yang terletak di kawasan digelar Esplanad Kementerian di ibu kota.
"Kami tidak mengiktiraf kerajaan tidak sah ini," ujar Victor Rodrigues yang menyertai ratusan 'bolsonaritas' berkhemah di luar ibu pejabat tentera di Brasilia sejak Bolsonaro menuntut campur tangan pihak berkenaan atas kekalahannya pada 30 Oktober lalu.
Sarah Lima yang sanggup melakukan perjalanan sejauh 300 kilometer semata-mata untuk menyertai protes itu bersama anak kembarnya yang berusia 19 bulan juga menggesa kiraan semula undi bagi mengesahkan kemenangan Lula.
Dia bersama dua puterinya sama seperti penunjuk perasaan lain memakai jersi pasukan bola sepak kebangsaan, Selecao yang menjadi simbol semangat nasionalis.
Lula bertindak tegas
Bolsonaro, 67, bagaimanapun mengutuk insiden pencerobohan ganas yang berlarutan selama lebih tiga jam itu.
Beliau turut menafikan tuduhan penggantinya yang mendakwa beliau bertanggungjawab menghasut keganasan yang menyasarkan bangunan kerajaan tersebut.
"Lula melemparkan dakwaan tidak berasas. Demonstrasi 'secara aman' itu adalah sebahagian daripada demokrasi, namun tindakan memecah masuk bangunan kerajaan jelas melangkaui garisan merah," jelasnya menerusi Twitter.
Sebelum ini, Bolsonaro membuat dakwaan palsu kononnya sistem pengundian elektronik di negara itu terdedah kepada penipuan sehingga membangkitkan gerakan yang membantah kemenangan Lula, 77.
Setakat ini, tiada laporan kecederaan atau kematian dilaporkan.
Sebagai respons terhadap kejadian itu, Lula telah mengarahkan campur tangan keselamatan persekutuan di ibu kota berkuat kuasa sehingga 31 Januari depan.
"Pelaku musnah ini yang boleh kita gelarkan fanatik Nazi, fanatik Stalinis dan neo-fasis sengaja cetuskan huru-hara yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.
"Mereka yang terlibat akan diburu dan dihukum," tegas Presiden berhaluan kiri tersebut yang bergegas ke lokasi berkenaan setelah mengadakan lawatan rasmi ke negeri Sao Paulo.
Pendahulunya yang jarang tampil di khalayak umum sejak kekalahannya dan tidak hadir ketika majlis pelantikan Lula dilaporkan sudah terbang ke Florida, AS, kira-kira 48 jam sebelum mandatnya sebagai Presiden berakhir.
Kejadian itu turut menerima kecaman komuniti antarabangsa terutamanya pemimpin Amerika Latin yang menzahirkan solidariti terhadap Lula.
Sementara itu, Presiden Joe Biden yang pernah melalui peristiwa serupa menyifatkan situasi tersebut adalah 'keterlaluan'.
"Kami mengutuk serangan tersebut. Tindakan menggunakan keganasan untuk menyerang institusi demokrasi sememangnya tidak boleh diterima. Washington menawarkan sokongan penuh kepada Lula dan institusi di Brazil," ujar Setiausaha Negara AS, Antony Blinken. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca