KUALA LUMPUR - Malaysia memohon Arab Saudi supaya memaklumkan lebih awal kos-kos melibatkan urusan haji di Tanah Suci pada tahun ini, bagi memastikan pengurusan jemaah dari negara ini kekal terbaik. Lembaga Tabung Haji (TH) dalam hantaran... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Malaysia memohon Arab Saudi supaya memaklumkan lebih awal kos-kos melibatkan urusan haji di Tanah Suci pada tahun ini, bagi memastikan pengurusan jemaah dari negara ini kekal terbaik.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam hantaran di Facebook memaklumkan perkara itu, antara yang dibincangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bersama pengurusan TH dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah.

Mohd Na’im dan rombongan kini dalam lawatan kerja ke Arab Saudi bagi membincangkan urusan ibadat haji musim 1444 hijrah/2023.

Menurut TH, turut dibincangkan adalah berkenaan jumlah asal kuota rasmi jemaah haji Malaysia yang sebelum ini dikurangkan akibat pandemik Covid-19.

"Selain itu, program Makkah Route yang menjadikan Malaysia sebagai negara perintis bermula tahun 2017, turut dibincangkan pada pertemuan tersebut.

"Program ini memberi keselesaan kepada jemaah negara kerana tidak perlu melalui imigresen apabila tiba di Arab Saudi,” menurut kenyataan itu.

Dalam pertemuan itu juga, Tawfiq memuji TH atas pengendalian haji yang terbaik, sistematik dan tahap layanan jemaah haji yang patut dicontohi.

Kenyataan itu menyebut Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi atas layanan dan fasiliti baik yang sentiasa disediakan kepada jemaah haji negara.

Sementara itu, Mohd Na'im dalam hantaran berlainan di Facebook menjelaskan, pihak agensi umrah dapat mempertimbangkan ruang dan kaedah terbaik agar kenaikan kos keseluruhan bagi pakej ibadah itu tidak melampaui sehingga membebankan bakal jemaah.

Jelasnya, beliau memahami isu terbabit membangkitkan keresahan para jemaah, namun ia di luar kawalan pihak mereka.

"Kami melihat situasi ini adalah impak daripada kenaikan kos di negara Arab Saudi.

"Ia tentunya memberi kesan bukan setakat kepada jemaah umrah negara Malaysia bahkan kepada jemaah negara lain juga," ujarnya.

Pada Ahad, media melaporkan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) memaklumkan berlaku kenaikan mendadak harga bagi pakej umrah bagi jemaah yang ingin menunaikan ibadah itu ketika ini.

Jelas Naib Presiden Haji dan Umrah Matta, Mohd Azri Abd Razak, perkara itu berlaku ekoran kenaikan mendadak kadar hotel di Makkah dan Madinah.

Klik di sini untuk terus membaca