SHAH ALAM - Pemecatan bekas Naib Presiden, Tian Chua, dan empat pemimpin lain, dilihat tidak memberikan impak besar kepada masa depan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Timbalan Ketua Strategi, Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB di Universiti Sunway, Profesor Dr Wong Chin Huat menjelaskan, pemecatan Tian Chua bersama empat individu lain iaitu Puah Chee Haur daripada Cabang PKR Parit Buntar, Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali (Gopeng), M Mohganan (Taiping), serta Nur Khairunisa Abdullah (Sadong Jaya) memang sudah diramal lebih awal.
Chin Huat berkata, ini kerana perbuatan mereka bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 tanpa persetujuan parti.
"Pemecatan mereka tidak sampai menggugat reputasi atau sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) terutama PKR.
"Malah, adalah menjadi kelaziman parti untuk memecat ahlinya yang bertanding menentang calon dinamakan oleh parti," katanya kepada Sinar Premium.
PKR secara rasmi memecat Tian Chua ekoran tindakan pemimpin itu bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Batu pada PRU15 lalu.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurut Yee Kew, keputusan pemecatan Tian Chua bersama empat lagi anggota PKR itu dibuat semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti pada malam Sabtu.
Sementara itu, Tian Chua dalam kenyataan mengakui beliau berasa kecewa dengan keputusan pemecatan yang dimuktamadkan Jawatankuasa Disiplin parti itu.
Beliau juga menyifatkan tindakan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PKR mengumumkan keputusan itu kepada media sebelum menghantar pemberitahuan kepadanya atau individu berkaitan, sebagai perbuatan sangat tidak profesional, tidak sopan dan amat dikesali.
Bekas Ahli Parlimen Batu itu turut menegaskan tidak pernah melakukan tindakan bertentangan prinsip atau objektif politik PKR, sepanjang menyertai aktivis parti itu sejak lebih dua dekad lalu.
"Sejak awal lagi saya bersedia menerima akibat bertanding pilihan raya tanpa restu pucuk pimpinan parti. Saya akur parti perlu menjaga disiplin organisasi.
"Namun dalam konteks senario pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pihak yang berlawan sudah mengetepikan permusuhan ketika pilihan raya. Bahkan musuh lama termasuk mereka yang didakwa pengkhianat sudah berdamai dan berikrar untuk bekerjasama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan," katanya.
Pada PRU15 lalu, PH berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Batu selepas penyandang, P Prabakaran berjaya menewaskan sembilan pencabarnya.
Prabakaran menang dengan majoriti 22,241 selepas mengumpul 45,716 undi keseluruhan, jauh meninggalkan pesaing terdekatnya, Tian Chua sebagai calon Bebas, yang hanya memperoleh 4,603 undi.
Pencabarnya yang lain, Naib Presiden MIC, A Kohilan Pillay dari Barisan Nasional (BN) memperoleh 10,398 undi, manakala Azhar Yahya daripada Perikatan Nasional (PN) mendapat 23,475 undi.
Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Wan Azliana Wan Adnan memperoleh 849 undi; Naganathan Pillai dar Parti Warisan (575 undi), dan Mohd Zulkifli Abdul Fattah (Parti Rakyat Malaysia) dengan 137 undi.
Tiga calon Bebas, iaitu peguam, Siti Kasim (653 undi); pempengaruh media sosial, Nur Fathiah Syazwana Shaharudin @ Cleo (628 undi) dan Too Cheng Huat (112 undi).
Klik di sini untuk terus membaca