SHAH ALAM - Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor kini menjadi watak penting bagi menentukan sama ada krisis politik Sabah akan berakhir dalam masa terdekat atau berlarutan sehingga membawa kepada pembubaran Dewan Udangan Negeri (DUN), sekali gus membuka ruang kepada pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN).
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, krisis politik Sabah mungkin akan berakhir jika Hajiji berjaya membentuk kerajaan baharu dan menyusun semula pentadbiran negeri termasuk pelantikan Timbalan Ketua Menteri dan kabinet baharunya.
Hisommudin juga menjelaskan masalah dan krisis melanda Sabah sekarang bukan berpunca daripada parti politik tertentu, sebaliknya kerana pertembungan peribadi antara personaliti politik di negeri berkenaan misalnya Hajiji dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
"Krisis Sabah adalah berpunca daripada politik personaliti atau dari segi istilah sains politik, kita sebut sebagai oligarki iaitu politik dikuasai sekumpulan kecil individu tertentu, misalnya watak seperti Bung Moktar, Mohd Shafie dan Hajiji yang sangat dominan serta sering bertembung sesama sendiri di Sabah.
"Justeru itu, jika semua kepimpinan dan ketua parti politik utama dapat berada dalam satu kerajaan perpaduan seperti cadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka krisis politik Sabah dapat ditamatkan dalam masa terdekat," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.
Hisommuddin berkata, jika usaha pembentukan kerajaan perpaduan mampu direalisasikan oleh Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu, maka ia akan memberikan merit yang tinggi kepada Perdana Menteri sebagai pencetus idea berkenaan kerana berjaya mendamaikan pertembungan antara pemimpin politik di Sabah.
Hisommudin berharap kerajaan perpaduan bakal dibentuk oleh Hajiji bersama Bung Moktar dan Mohd Shafie itu dapat bertahan lama hingga DUN Sabah matang pada akhir tahun 2025 nanti.
Jika tidak, Hisommuddin menjangkakan rakyat Sabah mungkin terpaksa menghadapi PRN lebih awal atau sebelum bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri jika Hajiji, Bung Moktar dan Mohd Shafie gagal mencapai kata sepakat untuk membentuk kerajaan perpaduan seperti diilhamkan oleh Perdana Menteri.
"Saya yakin PRN terpaksa diadakan dalam masa terdekat jika idea penubuhan kerajaan perpaduan gagal menyejukkan suhu dan krisis politik di Sabah sekarang.
"Jadi jalan tengah atau penyelesaian terakhir krisis politik Sabah ini adalah dengan mengadakan PRN lebih awal daripada sepatutnya biarpun Ketua Menteri dikatakan masih mendapat sokongan 44 ADUN termasuk lima dari BN," katanya.
Dalam pada itu, Hisommuddin melahirkan rasa pelik dengan sikap dan tindakan Pakatan Harapan (PH) Sabah dan lima ADUN UMNO yang menyokong Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri dan kerajaan pimpinannya.
"Tindakan kerajaan pimpinan Hajiji memindahkan Bung Moktar dan ADUN BN lain ke blok pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) memberikan gambaran bahawa tidak akan wujud kerajaan perpaduan seperti disarankan Anwar, sebelum ini.
"Dalam kontek itu, ADUN lantik dari Pas pula berada dalam keadaan tersepit kerana mereka bukan sebahagian daripada kerajaan perpaduan dicadangkan oleh Perdana Menteri susulan beliau dilantik oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN), sebelum ini," katanya.
Justeru itu, Hisommudin meramalkan krisis politik Sabah ini tidak akan selesai secara tuntas, 'ibarat api dalam sekam padi' dan akan kembali marak jika pemimpin berkenaan enggan melakukan pengorbanan untuk menerima gagasan kerajaan perpaduan dicadangkan Perdana Menteri.