SHAH ALAM - Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor perlu segera mengadakan perbincangan dengan semua ketua parti bagi merealisasikan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya sebuah kerajaan perpaduan sebenar, dapat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor perlu segera mengadakan perbincangan dengan semua ketua parti bagi merealisasikan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya sebuah kerajaan perpaduan sebenar, dapat diwujudkan di Sabah, dalam masa terdekat.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berkata, Hajiji perlu segera mengadakan pertemuan dengan semua ketua parti terutamanya Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bagi membincangkan formula pembentukan kerajaan perpaduan secepat mungkin untuk mengelak kemelut politik berterusan di negeri berkenaan.

Romzi berkata, tindakan itu perlu kerana secara dasarnya Bung Moktar dan Mohd Shafie sudah menyatakan persetujuan terhadap idea dikemukakan oleh Perdana Menteri supaya ditubuhkan sebuah kerajaan perpaduan bagi menyelesaikan kemelut politik di Sabah.

"Justeru itu, jika idea penubuhan kerajaan perpaduan hanya tinggal cadangan sahaja dan diabaikan oleh Hajiji kerana beliau masih lagi Ketua Menteri, maka saya percaya krisis politik Sabah ini akan berterusan.

"Krisis politik Sabah mungkin akan menjadi semakin buruk sehingga memaksa Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 diadakan dalam masa terdekat," katanya kepada Sinar Premium.

DR ROMZI

Romzi berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri malam tadi, yang mengesahkan bahawa beliau memberikan 'lampu hijau' dan merestui Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri Sabah dan berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman dapat mengadakan pertemuan segera dengan Bung Moktar dan Mohd Shafie bagi merealisasikan idea penubuhan kerajaan perpaduan di Sabah.

Anwar berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Hajiji bagi menyelesaikan kemelut politik melanda negeri itu yang tercetus susulan tindakan Bung Moktar mengumumkan bahawa UMNO dan BN Sabah menarik semula sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah, pada Jumaat lalu.

Susulan daripada penarikan sokongan itu menyebabkan kerajaan yang ditubuhkan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bergolak apabila Hajiji didakwa sudah tidak mempunyai sokongan daripada sebahagian ADUN.

Bagaimanapun, Hajiji pada Ahad mendakwa bahawa beliau mendapat sokongan dan Akuan Bersumpah (SD) daripada 44 ADUN dan kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Sementara itu, Bung Moktar dalam satu kenyataan berasingan, menegaskan beliau menyokong penuh cadangan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan yang dicadangkan Perdana Menteri sekali gus mampu meredakan suhu politik di Sabah.

Bung Moktar juga berharap Ketua Menteri, dapat menerima idea penubuhan kerajaan perpaduan berkenaan dengan hati yang terbuka bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

Mohd Shafie pula pada Selasa mengesahkan Warisan menyokong cadangan Perdana Menteri, berhubung pembentukan kerajaan perpaduan untuk mentadbir Sabah.

HAJIJI

Mengulas lanjut, Romzi berkata, perkara paling penting perlu dilakukan oleh Hajiji sekarang ialah segera membentuk kerajaan perpaduan dan mengagihkan jawatan penting dalam kerajaan negeri Sabah termasuk kuota Timbalan Ketua Menteri dan menteri kabinet secara adil antara parti politik Sabah termasuk GRS, Warisan, BN dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) serta parti lain.

"Jadi kita kena serah kepada Ketua Menteri untuk menentukan siapa bakal memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri dan menteri kabinet, namun apa yang penting beliau harus segera membentuk kerajaan perpaduan seperti di peringkat kerajaan Persekutuan sekarang.

"Bagaimanapun, sebelum ini kita lihat Hajiji seolah-olah mengetepikan pemimpin BN dalam kerajaan sehingga mengakibatkan Bung Moktar berasa sakit hati. Malah, ada pihak mendakwa kuasa dan kawalan mutlak Ketua Menteri dalam urusan kewangan negeri menjengkelkan sesetengah pemimpin termasuk Bung Moktar

"Justeru itu, kita kena ambil sikap tunggu dan lihat apa yang akan dilakukan Ketua Menteri bagi menyelesaikan konflik politik di Sabah dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, Romzi juga tidak menolak kemungkinan dua situasi berbeza mungkin berlaku jika PRN Sabah diadakan dalam masa terdekat.

"Pertama jika rakyat semakin marah dengan ahli politik maka mereka akan keluar beramai-ramai mengundi dengan memilih calon Bebas bagi menyingkirkan penyandang kerusi DUN sedia ada, sekali gus menyebabkan peratusan mengundi meningkat melebih PRN Sabah, pada 2020.

"Satu lagi situasi di mana peratusan keluar mengundi akan berkurangan menjadi bawah 50 peratus susulan pengundi enggan menyokong calon 'recycle'' atau calon kitar semula diletakkan parti politik bertanding dalam PRN nanti," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca