SHAH ALAM - Orang ramai disaran tidak membuat pinjaman, sebaliknya menggunakan duit simpanan sendiri untuk membuat pelaburan termasuk dalam saham amanah.
Pensyarah Kanan Politik Ekonomi Universiti Teknologi Mara Sabah, Dr Firdausi Suffian berkata, setiap individu perlu melihat kemampuan dari segi kewangan selain mempunyai gaji yang kukuh sekiranya ingin melabur dalam saham amanah menerusi pembiayaan.
"Sebenarnya objektif utama saham amanah adalah menggalakkan orang ramai menggunakan duit sendiri untuk melabur. Jadi tak kisah nak melabur RM100 atau RM200 sebulan.
"Namun disebabkan kos sara hidup meningkat selain pelbagai komitmen bayar hutang lain seperti kereta, rumah dan pinjaman peribadi menyebabkan ramai tidak mempunyai duit lebihan serta tidak mampu menyimpan duit bagi melabur dalam saham amanah.
"Bank pula menawarkan pakej istimewa kepada mereka yang ingin melabur dalam saham amanah menerusi pembiayaan, jadi mereka tertarik untuk membuat pinjaman tanpa mengira kesan pada masa akan datang sekiranya berlaku krisis seperti Covid-19, inflasi, ekonomi tidak menentu dan sebagainya," katanya kepada Sinar Harian.
Tambah beliau, agihan pendapatan oleh saham amanah lebih rendah susulan krisis Covid-19 dan ia agak sukar untuk memberi pulangan yang tinggi seperti pada tahun-tahun sebelum pandemik.
"Orang ramai perlu mempertimbang sama ada mahu membuat pinjaman atau pembiayaan terutama mereka yang ada kekangan untuk membayar balik pinjaman susulan agihan pendapatan (dividen) itu tidak mencukupi bagi membuat bayaran balik.
"Kalau boleh jangan hutang dahulu. Jangan berhutang untuk saham amanah tapi cuba guna simpanan masing-masing dalam membuat pelaburan," ujarnya.
Beliau bagaimanapun meramalkan kadar agihan pendapatan saham amanah pada 2023 akan meningkat berbanding tahun lepas, namun tidak begitu tinggi iaitu sekitar 4.8 hingga 5 peratus.
Pelabur dinasihat tidak ambil dividen selama 10 tahun
Sementara itu, pelabur sama ada pasif atau aktif perlu mempunyai pemahaman menyeluruh tentang risiko serta strategi pelaburan dalam mana-mana unit amanah.
Perunding Kewangan, Shamsuddin Kadir yang berkongsi beberapa tip pelaburan berkata, pelabur wajar membuat perbandingan antara bank bagi menilai pengiraan kadar pembiayaan untuk melabur dalam unit amanah.
"Pastikan jumlah pelaburan yang ingin dibiayai seiring dengan kemampuan bulanan,” katanya.
Selain itu, ujar beliau, pelabur tidak digalakkan mengeluarkan dividen sebelum tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun, namun jika diambil, dividen tersebut perlu ditukar menjadi hartanah seperti kebun, tanah lot atau bayaran pendahuluan untuk membeli rumah.
Menurut Shamsuddin, pelabur digalakkan membandingkan sekurang-kurangnya tiga jenis bank bagi mengira kadar pembiayaan untuk melabur dalam unit amanah.
"Lebih baik jika kita menggunakan akaun bank yang sama dengan akaun bayaran gaji untuk pembayaran semula pembiayaan pelaburan tersebut.
"Ia lebih memudahkan kerana wang akan ditolak secara automatik sekali gus mengelakkan timbul isu tidak bayar setiap bulan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau menambah, setiap pelabur harus memastikan jumlah pelaburan yang akan dibiayai setiap bulan seiring dengan kemampuan.
Tegasnya, mampu dari sudut itu bermaksud individu tersebut tidak perlu meminjam atau berhutang di tempat lain untuk membayar komitmen bulanan.
"Bukan jumlah layak yang ditentukan oleh bank, tetapi berapa jumlah (wang) yang mampu ada dalam poket.
"Misalnya jika ambil jumlah pelaburan RM200,000 dalam saham amanah, perlu bayar RM1,200 setiap bulan. Tetapi kalau dia keluarkan dividen pada hujung tahun kedua (untuk bayar pinjaman), bermakna dia tidak mampu pinjam RM200,000 tersebut,” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan pelabur agar tidak mengeluarkan dividen sebelum tempoh tertentu.
"Untuk untung dalam pelaburan saham amanah, tidak digalakkan untuk mengambil dividen.
"Mereka yang ambil memang rugi sebab kegunaan pembiayaan ini bukan bertujuan ambil dividen, ia hanya boleh diambil jika kita simpan secara tunai.
"Jika memang terpaksa guna, kumpul dan tunggu sehingga lima tahun, barulah kita boleh guna dividen bagi tahun seterusnya. Jadikan dividen tahun pertama hingga kelima dijadikan sebagai modal,” kata beliau.
Bagaimanapun jelas Shamsuddin, jika pelabur ingin mengeluarkan dividen sebelum tempoh 10 tahun, ia mesti ditukar menjadi satu pelaburan juga.
"Sekarang saya perhatikan ramai yang ambil dividen untuk tukar kereta atau melancong ke luar negara. Itu sebab pelaburan mereka tidak ada untung.
"Ada yang keluarkan dividen setiap tahun untuk beli tanah, itu okey,” jelas beliau.
Faktor perlu dipertimbang sebelum buat pinjaman
- Mengetahui dengan jelas caj dan yuran yang dikenakan.
- Kenal pasti risiko pelaburan.
- Bandingkan dengan teliti kadar pulangan saham amanah dan kadar faedah dikenakan pihak bank.
- Menilai kemampuan untuk membayar ansuran bulanan menggunakan gaji sendiri, bukan mengharapkan pulangan pelaburan.
- Jika masih bujang, timbang kemampuan untuk membayar ansuran bulanan selepas berkeluarga.
- Mengambil pinjaman dalam jumlah yang kecil berdasarkan kemampuan supaya tidak perlu bergantung kepada dividen.
- Buat pertimbangan sewajarnya dengan tidak hanya mendengar daripada pihak bank semata-mata.
- Dapatkan nasihat daripada mereka yang pakar dan lebih berpengalaman.
Klik di sini untuk terus membaca