SHAH ALAM - Ramai pelabur yang melakukan pinjaman untuk melabur dalam saham amanah kini ‘sengsara’ apabila perolehan dividen tahunan yang rendah menyebabkan mereka berdepan kesukaran untuk membayar ansuran bulanan. Jumlah perolehan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ramai pelabur yang melakukan pinjaman untuk melabur dalam saham amanah kini ‘sengsara’ apabila perolehan dividen tahunan yang rendah menyebabkan mereka berdepan kesukaran untuk membayar ansuran bulanan.

Jumlah perolehan dividen tahunan yang rendah menyebabkan peminjam terpaksa menggunakan wang sendiri yang lebih banyak untuk membayar ansuran bulanan berbanding sebelum ini.

Lebih memburukkan keadaan, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) turut menyebabkan bayaran ansuran bulanan yang perlu dilakukan kini menjadi semakin tinggi berbanding semasa awal pinjaman.

Pekerja swasta, Mohamad Faris Abu Bakar, 28, berkata, kenaikan OPR beberapa kali sebelum ini menyebabkan jumlah bayaran ansuran bulanan pinjaman amanah sahamnya dengan bank turut meningkat.

"Bagaimanapun, saya tidak menggunakan wang dividen ini untuk melakukan pembayaran semula sebaliknya bertujuan menyimpan duit, jadi ia tidak beri kesan besar kepada saya.

"Namun jika OPR dinaikkan lagi dan beri kesan kepada jumlah bayaran bulanan, saya mungkin batalkan pinjaman ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Ayie Zakariya, 25, berkata, dia mungkin akan membatalkan pinjaman saham amanah dilakukannya sekiranya OPR semakin meningkat kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan yang tinggi.

"(Dividen) tak pulang modal sebab bayaran setiap bulan meningkat, buat masa sekarang memang tak berbaloi ada pinjaman saham amanah kerana kenaikan OPR.

"Saya buat pinjaman RM50,000 dan perlu bayar RM201 setiap bulan sebelum ini, namun kini ia meningkat kepada RM230.

"Saya akan tunggu dalam tempoh setahun lagi, tengok sama ada dividen boleh naik atau jika sebaliknya saya akan jual semula,” ujarnya.

Sementara itu, guru, Muhamad Asyik Haris Padillah, 25, berkata, walaupun orang ramai mendakwa dividen tahun lepas rendah, namun dia berasa ia masih agak baik.

"Bagi saya tak terlalu rendah, kerana kadar dividen masih lagi tinggi daripada faedah dikenakan pihak bank. Dividen masih mampu tampung kadar faedah pinjaman RM20,000 yang saya ambil,” katanya.

CONTOH KES PINJAMAN PELABURAN

Jumlah pembiayaan pelaburan: RM100,000 (Tempoh 10 tahun)

Ansuran bulanan pembiayaan bagi tahun 2022: RM1,022

Jumlah bayaran ansuran 12 bulan: RM12,264

Jumlah dividen diterima: RM4,650

Jumlah wang pinjaman pelabur bagi ansuran selepas ditolak perolehan dividen: RM7,614

Tambahan wang sendiri pembayaran ansuran setiap bulan: RM634.50

Klik di sini untuk terus membaca