PENDIRIAN 'No Anwar, No DAP, No Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia)' yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 tahun lalu, secara rasminya tidak lagi terpakai setelah UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyertai Kerajaan Perpaduan.
Dengan UMNO-BN menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, koalisi itu secara tidak rasmi sudah menjalin kerjasama politik dengan PH dan DAP bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada tahun ini.
Secara jelas, PAU 2022 yang bermula hari ini hingga 14 Januari adalah sangat penting bagi UMNO menentukan hala tuju perjuangan politik mereka secara rasmi, sesuai dengan dinamik landskap politik negara baharu pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sejumlah 2,648 perwakilan UMNO masih berteka-teki sama ada pucuk kepimpinan parti diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bakal memuktamadkan kerjasama politik dengan PH melalui ucapan dasar beliau atau masih memperhalusi cadangan itu sekurang-kurangnya sehingga PAU 2023.
Umum mengetahui PAU 2022 hanyalah pelaksanaan satu persidangan parti itu yang tertangguh susulan PRU15 diadakan tahun lalu, dengan PAU 2023 dijangka diadakan sebelum pertengahan tahun ini untuk memberi laluan kepada pemilihan UMNO.
Meskipun UMNO dan BN masih kekal menjadi sebahagian parti kerajaan walaupun berdepan prestasi kekalahan terburuk pada PRU lalu, ramai melihat cabaran kelangsungan koalisi itu untuk terus kekal relevan di mata pengundi Melayu semakin menggunung.
Hal ini susulan 'tsunami hijau dan biru muda' yang melanda negara pada PRU15, dijangka terus konsisten pada PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan kelak.
Keyakinan itu disuarakan sendiri oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang percaya Perikatan Nasional (PN) mampu mengekalkan tiga negeri dikuasai Pas dan merampas sekurang-kurangnya negeri Selangor daripada tangan PH sekiranya PRN diadakan dalam tempoh pertengahan tahun ini.
"Rakyat negara ini skeptikal terhadap keutuhan kerajaan campuran terdiri parti-parti politik yang berseteru sewaktu PRU15, manakala segmen pengundi Melayu pula semakin kecewa apabila UMNO dilihat sanggup mengorbankan prinsip perjuangan untuk bersama DAP,” jelas bekas Menteri Belia dan Sukan itu kepada Sinar Premium.
DAP perlu contohi Gerakan
Di sebalik persepsi negatif dilontarkan kononnya kerjasama politik UMNO-PH-DAP sukar direalisasikan pasca PRU15, seorang pemimpin muda UMNO optimis tiada apa yang mustahil dalam dunia politik serba dinamik.
Mengakui doktrin DAP 'anti' orang Melayu ditanam oleh bekas Presiden parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak sekian lama sangat sukar dihakis, pemimpin UMNO itu percaya DAP mampu mencontohi Gerakan yang lunak terhadap orang Melayu setelah menyertai Barisan Nasional (BN) pada tahun 1974.
Pengarah Strategik Pemuda UMNO Perak, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata, hakikatnya untuk UMNO bangkit bermula PRN enam negeri, parti itu perlu kembali kepada asas perjuangan BN yang merangkumi kepentingan semua kaum dan tidak bersandarkan kepercayaan segmen pengundi Melayu semata-mata.
"Bagi jajaran baharu itu, prestasi kerajaan gabungan dipimpin Anwar pada enam bulan akan datang sangat penting dalam menentukan sama ada ia solusi terbaik menyelesaikan ketidakstabilan politik negara pasca PRU15 dan paling penting, tidak menjejaskan langsung kepentingan kaum Melayu Islam.
"Untuk menangkis label DAP anti Melayu, usaha itu tidak boleh diharapkan kepada UMNO semata-mata. DAP perlu membuktikan parti itu benar-benar menghormati kepentingan kaum Melayu dan kedaulatan agama Islam,” tegasnya.
Di saat PAU 2022 dijangkakan 'panas' susulan pertembungan kem menyokong keputusan parti menyertai Kerajaan Perpaduan dan kem menolaknya, Sollehin percaya, persidangan itu adalah medan terbaik untuk menyatukan kesemua pemimpin UMNO pasca PRU15.
"Dengan Presiden UMNO kini memegang jawatan tertinggi kerajaan, rasa hormat perwakilan dan ahli parti terhadap beliau akan lebih teguh.
"Paling penting, PAU 2022 juga membuka peluang parti untuk bangkit semula setelah kesemua warlord yang menjadi 'gunting dalam lipatan' UMNO pasca PRU14 tersingkir,” ujarnya.
Perjelas hala tuju
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar berpendapat, PAU 2022 perlu menjadi platform penting kepada parti bagi menjelaskan hala tuju perhubungan UMNO dan PH di peringkat kawasan dan negeri.
Katanya, ucapan dasar Presiden UMNO mengenai perkara itu amat penting memandangkan kerjasama BN-PH ketika ini hanya diterjemahkan di peringkat Pusat sahaja.
"Ambil contoh krisis politik Sabah di mana perkara itu berlaku disebabkan hala tuju perhubungan BN-PH di peringkat negeri tidak jelas.
"Dari sudut persoalan adakah gabungan BN-PH yang turut disertai DAP boleh diterima pengundi Melayu, perkara itu hanya boleh dilihat melalui keputusan PRN enam negeri kelak,” katanya.
Ketika ini, katanya, masih belum ada indikasi jelas sama ada orang Melayu menolak sepenuhnya gabungan itu atau bersetuju.
"UMNO sebenarnya perlu juga menilai indikasi ahli parti sama ada mereka 'merestui' kerjasama itu atau tidak melalui PAU 2022,” kata Rizalman.
Klik di sini untuk terus membaca