SHAH ALAM - Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 perlu menjadi platform Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan 2,648 perwakilan parti itu bermuhasabah mengenai prestasi dan tahap penerimaan rakyat terhadap parti itu semasa Pilihan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 perlu menjadi platform Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan 2,648 perwakilan parti itu bermuhasabah mengenai prestasi dan tahap penerimaan rakyat terhadap parti itu semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penyelidik Kanan O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berkata, PAU yang bermula hari ini hingga 14 Januari harus menjadi medan membetulkan fokus perwakilan agar tidak terarah kepada polemik pertembungan jawatan parti menerusi pemilihan UMNO, sebaliknya wajib memahami denyut nadi pengundi.

Ujarnya, dengan reaksi rakyat terhadap kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menerusi keputusan PRU15 tertangguh di Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman cukup berbeza, UMNO perlu mengkaji faktor utama penyokong parti itu tidak sanggup mengundi calon PH, meskipun persefahaman politik di antara dua parti tercapai pasca pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Anis Anwar Suhaimi

"Paling penting, PAU perlu menjadi medan perbincangan apa yang perlu UMNO lakukan bagi membolehkan parti itu kembali mendapat kepercayaan pengundi terutama segmen masyarakat Melayu yang jelas beralih sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

"UMNO perlu merangka gerak kerja awal jentera parti di peringkat akar umbi bagi memahami sentimen pengundi di kawasan masing-masing pasca kerjasama BN-PN supaya parti itu tidak tersilap dalam menentukan naratif politik lebih sesuai mengikut keadaan semasa," ujarnya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas jangkaan isu-isu penting bakal dibangkitkan dalam PAU 2022 yang dijadualkan berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur bermula Rabu hingga Sabtu ini.

PAU 2022 diadakan setelah Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JPPM) membenarkan UMNO meminda perlembagaan parti itu bagi menangguhkan pelaksanaan pemilihan parti dalam tempoh enam bulan selepas PRU diadakan.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berbeza dengan perhimpunan agung sebelum ini, hanya satu usul saja akan dibahaskan dalam PAU 2022 iaitu ucapan dasar Presiden.

Dalam pada itu, UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 13 Januari ini bagi meminda perlembagaan parti untuk disesuaikan dengan pelaksanaan peraturan antilompat parti melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Anis Anwar berpandangan UMNO-BN berdepan tanggungjawab besar untuk membuktikan kepada PH bahawa koalisi itu kekal relevan bersaing dengan PN pada PRN di enam negeri yang bakal diadakan sebelum bulan Julai ini.

Naratif kerjasama BN-PH jelas perlu dibentuk dalam kerangka strategik pilihan raya. - Foto fail Bernama

Hal ini susulan beliau melihat PH dijangka tidak bermasalah untuk mengekalkan penguasaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, berbanding UMNO yang perlu menghakis cengkaman PN di Kedah, Terengganu dan Kelantan.

"Bagi saya, UMNO tidak boleh mengikut rentak PH dengan mengguna pakai naratif anti politik etno-agama dalam menentukan strategi mendepani PN pada PRN Kedah, Terengganu dan Kelantan kelak.

"Naratif itu bertentangan dengan sentimen angin perubahan pengundi Melayu pada PRU15. Strategi yang silap akan memakan diri, justeru UMNO perlu menawarkan imej parti itu berupaya menjaga kepentingan politik Melayu Islam dalam kerajaan sedia ada," jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca