BARU-BARU ini saya bertemu dengan Pak Warsan yang berkunjung ke kedai buku IqraRead.
Katanya, dia ke Malakat Mall selepas berurusan di Putrajaya.
Pak Warsan yang tinggal di Kampung Bukit Kuching, Jeram, Selangor mengenali kedai buku IqraRead melalui media sosial.
Setelah berbual secara berbasa-basi, interaksi kami menyentuh bab ekonomi.
Dia yang memulakan hal itu kerana tahu tujuan wujudnya Malakat Mall adalah untuk membantu meningkatkan ekosistem ekonomi umat Muslim di negara ini.
Langsung perbualan kami melarat menyentuh hal ekonomi dunia.
Pak Warsan tersenyum apabila saya menyentuh mendung ekonomi dunia yang dikatakan akan turut ‘menggerhanakan’ kita semua tahun ini.
Sebagai pesara dari sebuah kolej swasta perniagaan, Pak Warsan yakin dengan ulasannya.
Katanya, kegawatan ekonomi memang akan beri kesan terhadap ekonomi negara-negara di dunia.
Namun, yang lebih penting diawasi adalah kesannya kepada ekonomi kita sendiri.
Prinsip pertama, mengawal apa yang boleh dikawal tetapi meminimumkan risiko apa yang di luar kuasa.
Bagi yang bekerja, mereka perlu pastikan tidak hilang kerja dengan menjadi aset syarikat.
Usah cepat cari kerja lain walaupun gaji tak naik. Asalkan gaji masih dibayar, ia menunjukkan syarikat masih mampu.
Dengan bekerja di tempat lain, ia belum menjamin kestabilan pendapatan.
Meskipun dapat kerja di syarikat besar, bila-bila masa syarikat itu boleh buang kita kerana kita yang paling baru menyertai syarikat tersebut.
Fikir dua kali sebelum buat pinjaman, beli kenderaan dan peralatan baharu kerana ia semua adalah hutang yang faedahnya kini tinggi serta hampir pasti tidak akan turun, bahkan meningkat.
Kos makan minum khususnya berbelanja di luar kini setanding atau lebih tinggi daripada kos pengangkutan.
Bila teringin nak makan sedap-sedap, bolehlah buat konsep cheat day untuk makan sekehendak rasa pada hari-hari tertentu seperti orang berdiet.
Salah satu cara untuk seimbangkan kekurangan pendapatan setelah berjimat adalah dengan menambah pendapatan.
Buatlah dengan tujuan untuk cukupkan belanja yang terjejas.
Saya bertanya Pak Warsan, adakah orang kampung sepertinya terkesan dengan kemelesetan ekonomi?
Katanya, ‘ekonomi yang bergolak itu terjadi seperti gelombang di tengah lautan.
Kita ini di tepi pantai. Kalau nampak ombak besar pun masih sempat lari jauh'.
Menurutnya, orang kampung juga terkesan.
Selain bil elektrik, hutang kereta dan pendidikan anak, dia terkesan dengan harga minyak.
Namun, Pak Warsan tidak langsung mempunyai masalah dari segi makanan kerana dia mempunyai sayur dan ulam-ulaman keliling rumah.
Ikan pun dia dapat dengan harga murah kerana membelinya di jeti, Sekinchan.
Ayam dan telur pun tidak menjadi hal kerana dia membela ayam dan memperoleh telurnya.
Pak Warsan juga mengingatkan, teruk atau tidaknya kita dengan kesan ekonomi bergantung kepada diri sendiri.
Jika asyik membaca berita seperti perang Rusia dan Ukraine, hal-hal kerugian syarikat-syarikat besar dunia, kita akan berasa risau seolah-olah tak boleh lari daripada terkena bahananya.
Katanya lagi, kemelesetan ekonomi akan tetap berlaku kerana adalah putaran.
Yang penting, kita perlu sentiasa berada di tepian dan tidak tersedut ke dasar pusaran apabila ia mendatang.
Pandemik pada 2020 memaksa kita akur pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Boleh dikatakan seluruh ekonomi kita lumpuh.
Kita semua hanya duduk di rumah, tak boleh buat apa-apa. "Tapi apa yang paling penting pada masa itu? Makanan,” kata Pak Warsan.
Sebab itu, selagi kita masih ada makanan, insya-ALLAH kita tidak perlu bimbang.
Katanya, perhatikan berapa banyak makanan di rumah yang tak habis hingga terpaksa dibuang dan berapa banyak lagi makanan yang memenuhkan peti sejuk.
Kesemua itu menunjukkan kita masih mampu berbanding dengan mereka yang tak cukup makanan.
Untuk golongan itu, kita pula yang perlu peka. Kita tak mahulah ada rumah yang pasang bendera putih kerana perlukan makanan.
"Jadi, kita perlu bantu golongan ini sama ada secara berkumpulan atau sendiri-sendiri. Kita juga yang akan dapat pahala sedekah kerana ALLAH akan jaga kita pula dengan kecukupan, sebab segala sedekah akan ALLAH ganti berkali ganda,” kata Pak Warsan.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca