ISU aset pertahanan negara yang usang dan tidak boleh berfungsi dengan baik bukanlah satu perkara baharu dan sering menjadi topik hangat di Dewan Rakyat, setiap kali Menteri Pertahanan baharu dilantik. Namun, sebenarnya, masalah penggunaan... Klik di sini untuk terus membaca

ISU aset pertahanan negara yang usang dan tidak boleh berfungsi dengan baik bukanlah satu perkara baharu dan sering menjadi topik hangat di Dewan Rakyat, setiap kali Menteri Pertahanan baharu dilantik.

Namun, sebenarnya, masalah penggunaan aset usang ini bukan hanya membabitkan pelbagai ketumbukan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), malah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan pasukan keselamatan lain sebagai sebahagian daripada barisan pertahanan negara.

Antara aset pertahanan dan keselamatan negara yang usang serta sudah ditamatkan perkhidmatannya termasuklah pesawat pemintas MiG-29N buatan Rusia dan helikopter pengangkut Sikorsky S-61A atau Nuri serta beberapa kapal perang milik TLDM.

MiG-29N

Selain itu, terdapat juga berpuluh kapal peronda, kereta kebal, kereta perisai dan meriam serta sistem radar milik ATM, PDRM dan Maritim Malaysia yang sudah usang dan berusia antara 40 tahun hingga 60 tahun, namun tetap digunakan kerana program pemodenan serta menaik taraf kemudahan pertahanan negara tidak berjalan mengikut perancangan asal kerajaan.

Lebih malang dan menyedihkan lagi adalah masalah aset pertahanan negara yang bukan hanya gagal diselesai oleh kerajaan, malah isu berkenaan semakin kritikal selepas pelbagai skandal penyelewengan dan rasuah seperti kes perolehan kapal tempur pesisir (LCS), pembelian senjata meriam Howitzer dan kapal peronda pesisir pantai (OPV) didedahkan kepada umum.

Keadaan itu, menyebabkan Malaysia kini berada di kedudukan kelima di Asia Tenggara atau ASEAN, di belakang Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan Vietnam dari segi kekuatan aset pertahanan darat, laut dan udara serta teknologi ketenteraan.

Bagaimanapun, jika diambil kira dari segi kekuatan fizikal dan mental serta profesionalisme, pasukan tentera Malaysia masih berada dalam kedudukan ketiga negara terkuat di rantau ASEAN ketika ini.

BUKAN TIADA WANG

Penganalisis Pertahanan dan Geostrategik, Muhamad Fuad Mat Noor berkata, semua pihak harus melihat isu aset pertahanan dan keselamatan negara yang usang secara lebih menyeluruh, bukannya membabitkan kemudahan dan peralatan milik ATM semata-mata.

Muhammad Fuad

Malah, masalah berkenaan perlu merangkumi semua aset pertahanan milik ATM, PDRM dan Maritim Malaysia dari sekecil-kecil benda seperti pistol, bom tangan, kereta kebal, kenderaan perisai hinggalah ke kapal perang, jet pejuang, pesawat tempur, helikopter, meriam dan sistem radar negara.

Muhamad Fuad berkata, tindakan itu perlu kerana lebih 40 peratus aset pertahanan yang digunakan oleh anggota keselamatan negara kini sudah usang kerana berusia lebih 40 tahun dan tidak diselenggara dengan baik.

"Sebagai contoh kenderaan berperisai PDRM lagi usang dari milik ATM. Malah, ada kereta perisai PDRM masih digunakan walaupun berkhidmat untuk negara sejak tahun 1970-an lagi.

"Malah, ramai polis yang melakukan rondaan biasa masih menggunakan senjata pistol Revolver berusia lebih 60 tahun biarpun ada penggantian senjata kepada senjata semi automatik tetapi ia tidak meluas. Jadi kita boleh lihat berapa ramai anggota PDRM masih menggunakan Revolver dan lebih teruk kira-kira 70 hingga 90 peratus masih menggunakannya.

"Kalau kita lihat sekarang pun penjenayah paling kurang menggunakan pistol semi automatik lebih canggih berbanding anggota PDRM. Oleh itu, jika kita mahu lihat keusangan, kita tidak boleh hanya melihat kepada aset mega tetapi kita lihat juga kelengkapan peribadi anggota keselamatan kerana merekalah benteng utama pertahanan negara," katanya.

Laporan Sinar Harian pada Rabu.

Justeru, Muhamad Fuad berkata, beliau tidak hairan jika Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang meminta supaya kerajaan memperuntukkan satu per lima daripada KDNK negara untuk pemodenan dan pembelian pertahanan negara menerusi Belanjawan 2023.

"Sebenarnya kerajaan sekarang mempunyai bajet mencukupi untuk memodenkan, menaik taraf dan membeli aset baharu. Kalau kerajaan tiada duit, mereka tidak akan setuju untuk meneruskan pembinaan LCS.

"Begitu juga dengan pembinaan Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV), negara sudah membeli pelan dan hak ciptanya namun hanya enam daripada 27 kapal berjaya disiapkan. Jadi keusangan aset pertahanan negara bukan kerana Malaysia tiada wang untuk membeli tetapi kerana masalah ketirisan dan penyelewengan dana.

"Akibat itu, TLDM, PDRM dan APMM terpaksa menggunakan kapal tempur dan peronda berusia lebih 40 hingga 60 tahun untuk menjaga sempadan perairan negara daripada dicerobohi anasir asing.

"Bagaimanapun, nasib malang menimpa lebih 30 juta rakyat Malaysia apabila masalah ketirisan, kelemahan tata kelola, tadbir urus kurang cekap dan penyelewengan dana berulang dalam perolehan kapal LCS milik TLDM serta kapal peronda pesisir pantai (OPV) untuk Maritim Malaysia sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan,” katanya.

BANYAK KETIRISAN

Jadi Muhamad Fuad menegaskan, punca utama masalah keusangan aset pertahanan negara ialah bukan kerana Malaysia tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi tetapi akibat terlalu banyak ketirisan dalam perolehan kerajaan.

"Kalau kita lihat isu penyelewengan sebahagian atau tiga hingga lima peratus daripada dana RM92 bilion untuk menangani masalah Covid-19. Jika kita boleh dapat semula, sudah pasti mencukupi untuk meneruskan projek pembinaan LCS.

"Satu lagi masalah besar dihadapi kerajaan sekarang ialah kewujudan tangan ghaib atau ‘Mini Mindef’ dalam Kementerian Pertahanan (Mindef) di mana ada pihak tertentu cuba mengaut keuntungan peribadi atau mencari dana politik dalam perolehan aset pertahanan negara.

"Itu adalah rahsia awam atau rahsia terbuka di mana semua orang termasuk Menteri Pertahanan dan Perdana Menteri tahu tetapi mereka kurang atau bercakap mengenainya dengan menggunakan alasan hasil siasatannya tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan tidak boleh didedahkan kepada umum kerana membabitkan keselamatan dan pertahanan negara,” katanya.

Isu pembinaan LCS mencetuskan kontroversi apabila sejumlah RM6 bilion telah dibelanjakan sejak 2014 namun sehingga kini masih belum siap atau diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkenaan. - Foto Bernama

Justeru, Muhamad Fuad berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat membuktikan kesungguhan untuk memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dana kerajaan dengan memastikan kes seperti skandal perolehan kapal NGPV, LCS dan OPV tidak berulang sekali lagi di bawah pentadbiran kerajaan perpaduan pimpinannya.

Beliau berkata, tindakan itu perlu kerana kes penyelewengan dana dalam perolehan aset pertahanan dan keselamatan negara berkenaan adalah berpunca daripada ketiadaan elemen semak dan imbang yang betul.

"Sebagai contoh dalam kes perolehan NGPV dan LCS, kenapa apabila masalah menjadi parah barulah kerajaan mahu bertindak dan didedahkan kepada umum. Apa gunanya kita ada elemen semak dan imbang seperti Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Jabatan Audit Negara (JAN) dan Kementerian Kewangan (MOF), ” katanya.

TIADA PENYELENGGARAAN BERKALA

Dalam pada itu, penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, kerajaan perlu memandang serius isu aset pertahanan negara yang usang kerana ia membabitkan soal keselamatan rakyat dan kedaulatan Malaysia.

Zaki

Zaki berkata, kebanyakan aset ketenteraan dan pertahanan milik ATM kini dalam keadaan usang, kurang sesuai digunakan kerana sudah berusia lebih 20 tahun dan tidak mempunyai sistem penyelenggaraan berkala serta program naik taraf yang berkesan supaya boleh digunakan dengan berkesan.

"Masalah paling ketara kita boleh dilihat pada aset fizikal seperti kapal perang milik TLDM dan pesawat TUDM. Malah, 70 peratus aset dan kapal TLDM adalah berusia lebih 40 tahun hingga 70 tahun biarpun majoriti anggota tentera terbabit berkhidmat tidak sampai tempoh berkenaan.

"Jadi TLDM memerlukan aset baharu kerana kapal berkenaan mempunyai fungsi berbeza seperti kapal peronda, kapal perang dan kapal pemintas serta sudah boleh dinaik taraf lagi kerana menggunakan teknologi yang sudah ketinggalan zaman,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu

Beliau berkata, TUDM pula bukan hanya berhadapan dengan masalah aset usang, malah tidak mencukupi untuk mengawal ruang udara Malaysia yang luas dari Sabah hinggalah ke Perlis.

"Apabila kebanyakan pesawat tempur milik TUDM mengalami masalah usang, jadi kemampuannya untuk beroperasi menjadi amat terhad. Malah, ada beberapa aset milik TUDM seperti Nuri dan MiG-29 kini sudah ditamatkan perkhidmatan kerana terlalu usang.

Helikopter pengangkut Sikorsky S-61A atau Nuri telah ditamatkan perkhidmatannya.

"Bagaimanapun, apa yang menyedihkan ialah sehingga sekarang program penggantian Nuri dan MiG-29 tidak dapat dimuktamadkan kerana pelbagai masalah termasuk perubahan kerajaan dan campur tangan politik, sekali gus membantutkan usaha pemodenan ATM serta sistem pertahanan negara,” katanya.

KEGAGALAN PEROLEHAN KERAJAAN PUNCA ASET USANG

Sementara itu, Zaki berkata, antara punca utama aset ketenteraan dan pertahanan negara mengalami masalah keusangan adalah kerana kegagalan perolehan kerajaan seperti pembinaan NGPV, LCS dan banyak lagi.

Katanya, mengikut perancangan asal TLDM bercadang mahu membina 27 kapal Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV).

"Namun hingga sekarang hanya enam kapal diserahkan kepada kerajaan manakala bakinya tidak dapat disiapkan sampai sekarang, sebelum diganti dengan kapal tempur pesisir (LCS).

"Apabila kedua-dua projek berkenaan gagal dan menjadi skandal rasuah dan penyelewengan, terlewat beberapa tahun hingga kerajaan terpaksa mengambil alih, maka TLDM terpaksa bergantung kepada aset lama untuk mengawal perairan negara hingga sekarang," katanya.

Zaki menjelaskan masalah kegagalan projek pembinaan NGPV dan LCS adalah berpunca daripada wujud kepincangan dalam tata kelola dan kepincangan tadbir urus Mindef dan agensi berkaitan, sekali gus memberikan gambaran kepada dunia bahawa Malaysia tidak mampu membina kapal canggih seumpama itu.

"Semua mahu mengelak daripada berperang sebab itulah ditubuhkan angkatan tentera kerana tugas utama mereka adalah mengekang pencerobohan tentera asing dari laut, darat mahu pun udara.

"Justeru, jika berlaku peperangan, Malaysia terpaksa bertahan dengan aset ketenteraan yang kita ada sekarang, namun adalah baik sekiranya negara mempunyai kemudahan sistem pertahanan moden dan canggih berbanding negara lain," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca