SAYA dijemput pada 9 Januari lalu untuk menyampaikan ucapan kepada hampir 1,000 penjawat awam dan kepimpinan masyarakat daerah Muar, Johor sempena Majlis Amanat Tahun Baharu Pegawai Daerah Muar.
Sehingga kini, saya masih hairan mengapa Datuk Pegawai Daerah memberi saya ruang kerana insaf dengan kekurangan diri dan yakin ramai lagi tokoh yang sesuai untuk memberi ucapan terutama dalam topik integriti.
Namun atas dasar memuliakan jemputan daripada seseorang yang saya hormati, maka saya gagahi diri untuk memberikan beberapa pandangan berkaitan tajuk tersebut.
Tajuk integriti adalah tajuk malar segar untuk diperkatakan. Topik ini semakin mendapat tempat dalam perbincangan peringkat tertinggi dalam negara setelah ia menjadi kalimah tumpuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tegar mengungkap soal tata kelola yang baik, penentangan keras terhadap korupsi dan seumpamanya sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negara.
Integriti memang satu mauduk perbincangan yang sangat suka dikupas oleh ramai penceramah. Ya lah, dalilnya beratus kalau bukan beribu yang dapat dipetik.
Bahkan jika dikitar semula naratifnya yang biasa didendang sejak puluhan tahun, ia akan tetap enak didengar tambahan pula sang naratornya boleh memukau.
Keyakinan terhadap peranan integriti ini juga akan kekal terbatas kepada pengamalan ajaran agama atau nilai moral semata-mata tanpa kesan yang substantif.
Ini bercanggah dengan pengajaran yang ditunjukkan sendiri oleh Nabi SAW yang berjaya membuktikan secara nyata bahawa pemerkasaan integriti adalah prasyarat kepada kejayaan negara yang dipimpin Baginda SAW. Demikian juga yang berjaya dibuktikan oleh Khulafa’ Ar Rasyidin selepas baginda.
Oleh yang demikian maka semua pihak perlu diyakinkan bahawa ada korelasi kukuh di antara nilai integriti dan nikmat kemakmuran negara. Bahkan kedua-dua pemboleh ubah ini berkadaran terus yang membawa implikasi runtuhnya kemakmuran negara jika runtuhnya nilai integriti.
Maka dalam ucapan tersebut, selepas memberikan huraian dalil agama yang pelbagai, saya telah sertakan dua jadual yang mengkategorikan 10 negara tertinggi dan terendah mata pencapaian Indeks Persepsi Rasuah yang menjadi proksi kepada kedudukan Integriti, Indeks Kemakmuran yang menjadi proksi kepada tahap kemakmuran dan nilai Keluaran Negara Kasar (GDP) Perkapita sebagai proksi kepada limpahan nikmat kemakmuran kepada rakyat.
Kesemua pemboleh ubah ini dipetik dari tiga institusi berbeza untuk tahun 2021 iaitu Transparency International, Legatum Institute dan International Monetary Fund.
Dapatan daripada data-data empirikal ini menunjukkan bagi negara-negara yang tinggi indeks kemakmurannya seperti Denmark dan New Zealand, 90 dan 87 mata, maka kedudukan integritinya juga tinggi iaitu 88 dan 87 pada pencapaian indeks persepsi rasuah.
GDP Perkapita bagi negara-negara kategori ini juga pada julat AS$45,000 sehingga hampir AS$80,000.
Sebaliknya bagi negara-negara yang indeks kemakmurannya rendah seperti Somalia dan Sudan Selatan, 29 dan 30 mata, nilai integritinya juga berada dua ke tiga kali ganda lebih rendah iaitu sembilan dan 12 pada indeks persepsi rasuah.
GDP Perkapita bagi negara-negara ini juga sekitar AS$500 hingga AS$3000 sahaja. Lebih malang lagi dalam senarai 10 negara terendah untuk skor-skor tersebut, lima daripadanya adalah negara Islam manakala bagi 10 negara terbaik, tidak ada satu pun negara Islam.
Walaupun masih terdapat perbezaan kesimpulan dalam menentukan hubungan antara kemakmuran dan integriti seperti yang berlaku di antara dapatan Forum Ekonomi Dunia dan Organisasi Untuk Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan, namun sekurang-kurangnya ia menunjukkan trend yang berlaku dalam dua kategori negara-negara ini seakan mengesahkan wujudnya korelasi tersebut.
Selesai ucapan, saya ditemui oleh beberapa tetamu yang hadir memaklumkan pendekatan ceramah berangka begini agak janggal bagi ceramah integriti dan keagamaan. Namun mereka lebih menghargai pendekatan tersebut kerana ia bukan sahaja mengasak kesedaran nilai bahkan membibitkan keyakinan yang realistik dan praktikal.
Saya sekadar mengingatkan diri dan seluruh rakan penjawat awam, tidak cukup sekadar keyakinan dan kepercayaan terhadap agenda yang diperjuangkan oleh kepimpinan negara pada masa ini atas dasar berkhidmat untuk goverment of the day, sebaliknya usaha yang bersungguh-sungguh perlu digerakkan untuk meraih hasil yang telah terbukti secara substantif dapat dicapai.
Malaysia pada tahun 2021, berada pada kelompok pertengahan untuk skor-skor tersebut. Indeks kemakmuran kita adalah pada nilai 67 manakala indeks persepsi rasuah kita pada mata 48 dan GDP Perkapita pada nilai AS$11,452. Ini bukan wasatiyah yang kita perlukan.
Namun sekurang-kurangnya kita sedar bahawa pilihan sama ada mahu melonjak ke atas atau menjunam ke bawah itu seimbang. Semuanya terserah kepada kita.
* Tuan Kamarul Arief Tuan Soh ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yadim
Klik di sini untuk terus membaca