SHAH ALAM - Sistem pertahanan udara negara yang ketinggalan jauh daripada negara jiran, di samping masalah kekurangan, kerosakan aset udara dan peralatan sedia ada adalah disebabkan wujudnya ketirisan serta campur tangan politik. Veteran... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sistem pertahanan udara negara yang ketinggalan jauh daripada negara jiran, di samping masalah kekurangan, kerosakan aset udara dan peralatan sedia ada adalah disebabkan wujudnya ketirisan serta campur tangan politik.

Veteran Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Leftenan Kolonel (B) Jalil Ithnin berpandangan, kepentingan peribadi dan desakan daripada ahli politik telah menyebabkan banyak kelemahan berlaku dalam sistem pertahanan udara.

"Sistem pertahanan udara ditakuti ketinggalan dari negara jiran oleh kerana terlalu banyak campur tangan politik. Contohnya, apabila tentera mencadangkan sesuatu pelan atau peralatan, mereka akan membuat penilaian yang teliti sebelum diserahkan kepada atasan.

"Namun, apabila wujudnya campur tangan dari pihak atasan yang dianggap lebih pandai atau serba tahu daripada askar-askar berpengalaman, maka akan berlakunya isu kapal tidak siap, aset yang sudah usang, kapal selam yang mungkin boleh dipertikaikan kemampuannya dan banyak lagi,” katanya kepada Sinar Premium.

Jalil menambah, aspek ketirisan berlaku kerana adanya pihak atasan yang tidak mengikut peruntukan Perlembagaan Negara melibatkan operasi di bawah bidang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut Perkara 137 dalam Perlembagaan Persekutuan, hendaklah ada suatu Majlis Angkatan Tentera yang bertanggungjawab di bawah kuasa am Yang di-Pertuan Agong bagi pemerintahan, tatatertib dan pentadbiran angkatan tentera dan segala perkara lain yang berhubungan dengannya selain perkara yang berhubungan dengan penggunaan angkatan tentera bagi maksud operasi.

"Oleh itu, perkara yang melibatkan operasi adalah di bawah bidang kuasa jeneral-jeneral ATM,” katanya.

Pada Selasa, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, banyak lagi ruang tambah baik dalam sistem pertahanan udara negara perlu diisi berbanding sistem pertahanan udara negara jiran yang dilihat lebih ke hadapan.

Selain itu tegasnya, Malaysia juga berdepan kekangan seperti masalah kekurangan dan kerosakan aset udara serta kuasa tempur di peringkat udara yang amat ketara.

Mengulas lanjut, Jalil yang juga bekas Pegawai Turus Satu Undang-undang ATM berkata, sistem pertahanan udara negara juga ketinggalan jauh dari segi pemindahan teknologi berbanding negara jiran, Singapura.

"Semasa saya berkhidmat 30 tahun lepas, kami sudah mencadangkan industri pertahanan negara diwujudkan. Setiap pembelian, mereka ada perjanjian dengan pembekal yang memerlukan pemindahan teknologi yang bagus dan canggih.

"Kita ambil contoh dari negara jiran, Singapura yang mempunyai industri pertahanan, jauh lebih canggih kerana adanya pemindahan teknologi yang dibuat sejak awal. Masalah negara kita adalah akibat banyak tangan ghaib dan campur tangan politik yang berlaku,” katanya.

Jalil mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu badan penasihat dalam kalangan jeneral berpengalaman khususnya bagi mentadbir operasi tentera di Malaysia.

"Sepatutnya penasihat pertahanan negara mesti diwujudkan dan dianggotai oleh jeneral-jeneral yang telah bersara dan berpengalaman.

"Dalam perlembagaan juga sudah menekankan bahawa tentera patut memutuskan operasi tentera dan bukan campur tangan Ketua Setiausaha mahupun Kementerian Pertahanan.

"Kegagalan pemikir pertahanan negara dalam merangka pelan pemodenan bagi sistem pertahanan sepatutnya dapat diselesaikan dengan menubuhkan penasihat khusus bagi operasi tentera,” katanya.

JANGAN DEDAH KELEMAHAN PERTAHANAN NEGARA

Sementara itu, kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung sistem pertahanan udara negara jauh ketinggalan daripada negara jiran disifatkan telah mendedahkan kelemahan negara di mata dunia.

Presiden Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, pendedahan yang dibuat Mohamad seolah-olah membuka pekung di dada sekali gus menampakkan sistem pertahanan negara tidak kukuh.

"Sebagai seorang menteri, kita harus berhati-hati dalam pertuturan terutamanya berkaitan hal sulit negara. Amat penting untuk kita sentiasa berjaga-jaga agar tidak mendedahkan kelemahan mahupun kekuatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada pihak luar.

"Apabila menyebut tentang aset usang dan sebagainya, kita seolah-olah sudah memberitahu satu dunia tentang rahsia sistem pertahanan negara,” katanya kepada Sinar Premium.

Mengulas lanjut, Arshad berkata, pendedahan itu juga membawa implikasi buruk dari kaca mata negara jiran.

"Segala kenyataan yang dibuat oleh menteri akan diperhatikan oleh negara-negara jiran. Bagaimana tanggapan negara lain apabila kita mendedahkan bahawa kita mempunyai aset yang usang? Semua akan ambil maklum tentang kelemahan kita.

"Musuh juga akan sentiasa menjadi pemerhati. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berwaspada dan tidak mendedahkan isu-isu seperti ini kepada umum,” katanya.

Sebelum ini, Mohamad Hasan berkata, banyak lagi ruang tambah baik dalam sistem pertahanan udara negara yang perlu diisi berbanding sistem pertahanan udara negara jiran yang dilihat lebih ke hadapan.

Kata beliau, Malaysia juga berdepan kekangan seperti masalah kekurangan dan kerosakan aset udara serta kuasa tempur di peringkat udara yang amat ketara.

Dalam pada itu, Arshad berpandangan, adalah lebih baik Mohamad selaku menteri bertanggungjawab menyelesaikan isu ini bersama pihak bertanggungjawab.

"Menteri patut menyelesaikan masalah ini dengan cara yang strategik. Mereka boleh sahaja berbincang sesama sendiri dan membentangkan pelan solusi terbaik untuk isu ini.

"Jangan hanya tahu bercakap. Kita tidak perlu canang pada dunia kelemahan sistem pertahanan negara,” katanya.


Aset ATM yang sudah ditamatkan perkhidmatan

MiG-29N

Nama asal: Mikoyan MiG-29

Buatan: Rusia

Jumlah: 18 buah

Jenis: Pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA)

Tahun pembelian: 1995

Tarikh ditamatkan perkhidmatan: 31 Disember 2010.

Sebab: Kos penyelenggaran tinggi RM260 juta setahun.

Aermacchi M-346

Buatan: Itali

Jumlah: 9 buah

Tarikh mula berkhidmat: 2009

Tamat: 2019.

Sebab: Insiden sebuah pesawatnya terhempas di Kuantan pada 2019 dan masalah teknikal.

Sikorsky S-61A-4 Nuri

Buatan: Rusia

Jumlah asal: 40 buah.

Tarikh mula berkhidmat: 1968.

Tamat: 7Januari 2020

Sebab: Nahas udara dan kos penyelenggaraan tinggi.


Klik di sini untuk terus membaca