SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpendapat parti Melayu terbesar itu boleh ditambah baik melalui dasar dan langkah yang dibuat tanpa melihat siapa gerangan pemimpinnya.
Oleh demikian, menurutnya, Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak perlu meletakkan jawatannya mahupun ditukar.
Dalam masa sama, selaku Timbalan Menteri Kewangan, beliau turut menunjukkan usaha dalam menambah dana perbendaharaan negara bagi memastikan rakyat tidak menderita dengan kenaikan kos sara hidup.
Ikuti kupasan beliau dalam Sinar Live bertajuk ‘Prestasi Buruk UMNO: Salah Siapa?’ yang dikendalikan oleh moderator, Hazwan Mokhtar.
HAZWAN: Rentetan daripada prestasi UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Perhimpunan Agung UMNO (PAU) menjadi penantian ramai. Bagaimana Datuk Seri melihat prestasi UMNO secara keseluruhannya sehingga hari ini?
AHMAD: Itu satu persoalan dalam PAU kerana UMNO pernah menang siri Pilihan Raya Kecil (PRK). Menang di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Chini,Tanjung Piai, Slim, Bukit Manis. Kita juga menang di Pilihan Raya Negeri (PRN). PRN Melaka, 21 daripada 28 kerusi. 75 peratus lebih daripada dua pertiga.
Kita menang di PRN Johor. 40 daripada 56 kerusi. Kita menang semuanya tetapi tiba-tiba kalah PRU. Pimpinan yang menang itu ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Timbalan Presidennya pula, Datuk Seri Mohamad Hasan dan pimpinan yang ada. Mereka membawa kemenangan besar yang merupakan satu kejutan juga kepada kita dalam peringkat nasional ini.
Tetapi lepas itu kalah PRU. Bukankah Itu satu perkara yang pelik? Jadi, perkara pelik itu mesti ada jawapan.
Jadi, cuba buka minda, jangan kita mudah lupa terhadap peristiwa yang telah berlaku. Bagaimana dalam video pihak belah sana memberikan wang dengan sumpah dan sebagainya. Jadi, itu antara punca kekalahan.
Dalam satu wawancara sebelum ini, Datuk Seri menyebut tentang keberadaan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam PRK dan PRN menjadi faktor dan penyumbang besar kemenangan pada BN tetapi pada PRU beliau tidak ada. Adakah ia antara punca?
Itu satu lagi merupakan antara faktor. Datuk Seri Najib dizalimi. Najib tidak diberikan keadilan wajar dalam sistem kehakiman di Malaysia. Saya berani bercakap ini berterus-terang. Nak tahu kenapa? Dulu dalam Akta Hasutan, mengkritik kehakiman tidak boleh. Sekarang sudah dikeluarkan dalam akta itu. Jadi, saya sudah tidak ada apa yang saya nak takut untuk beri kritikan.
Apabila Najib dipenjarakan, ramai orang muda mungkin analisa tidak sedalam orang lama tentang isu-isu ini. Lantas membuat kesimpulan bahawa parti ini tidak bersih. Walhal parti ini dizalimi, bukan tidak bersih. Jadi, itu persepsi dalam kalangan orang muda lantas mereka menyokong Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya baharu ini.
Bila Datuk Seri menyebut tentang keberadaan Datuk Seri Najib menjadi antara faktor kepada kekalahan BN atau prestasi yang agak teruk. Tidakkah aura Ahmad Zahid sepatutnya menggantikan Najib pada PRU lepas?
Pada PRU15, ‘poster boy’ bukan Ahmad Zahid. Poster beliau hanya ada di Bagan Datuk. Poster Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berada di seluruh negara. Siapa nak menafikan apa yang saya sebut ini. Kerana apa? Kita tidak boleh ada dua poster di luar kawasan, kita hanya ada satu poster saja. Itulah ‘poster boy’ dipersetujui.
Bagaimanapun, penganalisis membuat analisa tidak sebagaimana saya menganalisa ini. Tetapi adakah analisa saya ini salah. Yang kita tonjol ke hadapan adalah Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’. Kita tidak mahu mengelirukan sampai dua poster di satu tempat. Kita tidak begitu.
Rentetan daripada prestasi itu juga, penganalisis, pemerhati bahkan orang parti juga berpandangan bahawa perlu ditukar ketua kapal UMNO iaitu Presiden. Bagaimana pandangan?
Ramai sangat yang patut berhenti. Pengarah pilihan raya, ‘poster boy’, pengerusi perhubungan negeri-negeri bukan Ahmad Zahid. Jadi, ramai betul yang kena berhenti. Tidak berjaya menarik generasi muda, hal-hal wanita bukan beliau.
Jadi saya telah membuat syor pada hujung tahun lepas, oleh kerana terlalu ramai sangat yang perlu bertanggungjawab, kalau semuanya letak jawatan, maka saya kira tenggelamlah kapal UMNO ini. Tiada lagi pimpinan di semua peringkat.
Oleh itu, pada saya, apa yang patut dibuat ialah kita bertanggungjawab. Tidak perlu meletakkan jawatan. Tidak perlu nak ikut modul parti lain.
Pihak mereka tidak letak jawatan pun apabila kalah. Jadi, kalau nak ikut letak jawatan ini, tentunya mereka yang suruh letak jawatan itu, mereka bukan pemimpin yang baik juga. Kita berada dalam suasana berbeza, jadi kaedah juga perlu berbeza.
Ahmad Zahid berjaya bawa parti ini menjadi kerajaan semula walaupun menang sedikit. Kalau bagi kepada orang lain, hancur parti ini. Kalau pergi ke PN, hancur parti ini.
Saya nak beritahu kenapa parti ini hancur kalau pergi bersama PN. Ini kerana parti itu yang mengalahkan UMNO. 74 kerusi yang PN menang itu mengalahkan UMNO kebanyakannya. Jadi kalau kita bersama mereka, 74 kerusi yang mereka kalahkan itu kita sudah tidak boleh bertanding.
Tetapi kalau bersama Kerajaan Perpaduan, 74 kerusi yang mereka kalahkan itu kita boleh tandingi. Kalau kita bersama mereka (PN), hanya dapat empat Menteri Besar iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Di kesemua ini ialah orang mereka, bukan kita. Tetapi kalau bersama Kerajaan Perpaduan, kita sudah ada dua Menteri Besar, mereka bagi lagi dua Menteri Besar iaitu di Pahang dan Perak. Dan kita boleh bersama dengan kerajaan di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang.
Jadi ini satu anjakan paradigma yang perlu ada di fikiran orang UMNO bahawa kita berada dalam situasi sukar dan kena buat keputusan daripada dua pilihan.
Kita ada pilihan bersama PN yang mana nanti tidak boleh tanding di Kelantan, Terengganu yang mana semua kerusi mereka menang atau bersama kerajaan, kita boleh lawan balik di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang yang banyak kerusi kita yang mereka ambil. Jadi tentunya kita boleh buat kira-kira tentang perkara ini.
Tidakkah perlu untuk tukar Presiden demi penambahbaikan UMNO dan BN?
Penambahbaikan boleh melalui dasar. Bukan hanya melalui orang. Dasar dan langkah yang boleh dibuat oleh pemimpin itu. Kita perlukan pemimpin yang berani, bukan pemimpin yang muncul apabila tiba waktu dia ada kepentingan.
Ada pemimpin dalam UMNO masuk gua, hilang ketika kita susah. Lepas itu, apabila bagi mereka jawatan tertentu, dia tidak tunaikan. Jadi, kalau pemimpin yang penakut, tidak payah jadi Presiden. Kita inginkan pemimpin yang berani untuk melakukan perkara yang menyelamatkan UMNO daripada kehancuran seterusnya.
Saya sudah sebut bukan kesalahan Ahmad Zahid seorang, beliau bukan ‘poster boy’, pengarah pilihan raya, pengerusi perhubungan negeri-negeri, ketua sayap parti. Kalau nak suruh berhenti, berhentilah semua.
Bercerita tentang PAU, ini antara yang dibawa dari tahun lepas dan ditangguh. Mungkin ada beberapa agenda utama yang menjadi kelainan?
Kita nak beri kefahaman tentang Kerajaan Perpaduan dan bagaimana hubungan kita dengan masyarakat Cina.
Masyarakat ini empat kali PRU telah menolak BN. Saya nak tanya kepada semua, berapa kali lagi masyarakat Cina perlu beri isyarat baru kita faham bahawa mereka tidak mahu sokong kita. Jadi, kalau kita tidak mahu buat anjakan paradigma, langkah baharu, maka hancurlah UMNO.
Dan satu perkara penting iaitu tentang DAP. Kekhuatiran tentang DAP. Saya ingin menyebut di sini bahawa Pas sudah bersama mereka sebelum ini. PPBM pun pernah. Pemimpin utama yang memusingkan kepala UMNO ini supaya anti-DAP ialah Tun Dr Mahathir Mohamad. Tetapi beliau orang pertama lari pergi ke DAP dan mengalahkan UMNO.
Tiba-tiba bila giliran kita bersama Kerajaan Perpaduan, UMNO dicaci, dicerca. Ini semua adalah talam dua muka, hipokrit.
Berkenaan PAU, kenapa tidak jemput Perdana Menteri, duta asing dan sebagainya?
Kita di peringkat untuk beri kefahaman dan penjelasan kepada orang kita dahulu. Kalau mereka tidak jelas, maka tafsiran dan pandangan mereka terhadap pimpinan parti yang bersama dalam Kerajaan Perpaduan itu tentunya akan serong.
Oleh itu, kami fahamkan kepimpinan parti terlebih dahulu dengan taklimat Presiden, adanya ucapan Timbalan Presiden, ucapan ketua sayap, ucapan dasar Presiden. Sama-sama kami sahaja. Oleh demikian, kita jemput pimpinan UMNO dan pimpinan BN sahaja. Kita tidak jemput orang selain daripada itu.
Kita tidak jemput pimpinan Kerajaan Perpaduan dan kita juga tidak jemput duta asing. Sebelum ini kita ada jemput duta daripada pelbagai negara untuk bersama dan lihat. Pada kali ini, kita ingin muhasabah diri kita apa yang berlaku.
Selaku Timbalan Menteri Kewangan, bagaimana Datuk Seri melihat perkembangan terkini khususnya pada 2023 berkaitan isu kos sara hidup yang dikatakan semakin tinggi?
Ini tahun ke-10 saya jadi Timbalan Menteri. Ketika kita buat transformasi sistem percukaian negara terbesar dalam sejarah Malaysia iaitu mewujudkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sehingga mendapat RM110 bilion yang kita pulangkan kembali kepada rakyat, tetapi selepas itu ditukar kembali kepada sistem kuno, lama yang seluruh dunia sudah tidak pakai.
Oleh itu, kita berhadapan dengan cabaran yang cukup hebat terutama untuk mengurangkan kos sara hidup. Kos sara hidup ini pelbagai agensi dan kementerian terlibat untuk menurunkannya.
Selain itu, selain turunkan kos sara hidup, kita juga mahu naikkan pendapatan rakyat. Jadi, itu hendaklah bergerak seiring. Kos sara hidup perlu diturunkan, pendapatan rakyat hendaklah dinaikkan.
Kalau pendapatan masih rendah, walaupun kos sara hidup rendah, dia tidak beri kesan besar kepada rakyat. Apa patut dibuat ialah turunkan kos sara hidup secara drastik dan sedikit demi sedikit meningkatkan pendapatan rakyat. Itu saya kira rakyat mahukan. Dan ia tidak boleh dibuat atas usaha Kementerian Kewangan sahaja.
Tugas saya di sini adalah mencari seberapa banyak wang kepada perbendaharaan negara. Bukan kepada saya, kroni-kroni atau orang di sekitar saya tetapi wang yang banyak itu untuk diberikan kepada perbendaharaan dan khazanah negara supaya boleh berikan kembali kepada rakyat. Itu tugas yang amat besar yang saya hadapi.
Kita kalau boleh nak cari kewangan negara itu tanpa kenakan cukai baharu kepada rakyat. Jangan jadi macam kerajaan 22 bulan. Dalam masa mereka buang satu cukai, mereka tambah tujuh cukai baharu dan naikkan tiga cukai lama. Jadi, ini satu perkara tidak wajar dibuat.
Jadi, tambahan bebanan kepada diri saya adalah bagaimana mahu tambah hasil negara tanpa cukai baharu kepada rakyat. Ini satu perkara yang cukup besar amanahnya. Saya berikan KPI kepada diri saya sendiri tentang perkara itu. Jika terpaksa, baru kita kenalkan cukai baHAru.
Jadi, bagaimana cara kutipan hasil efisien dan cekap misalnya kita tutup ketirisan dan penyeludupan. Itu antara usaha-usaha. Kita tidak tambah cukai baharu kepada rakyat, tetapi boleh tambah pendapatan hasil daripada ketatkan kawalan penyeludupan.
Antara perkara yang menjadi perhatian pada 2023 adalah bajet. Bagaimana perangkaan sehingga hari ini? Ada penambahbaikan yang boleh dikongsikan?
Bajet mini telah dibentang sebelum ini dan telah diluluskan di Dewan Rakyat dan Negara. Kenapa kita buat bajet untuk enam bulan? Dan juga komitmen kita iaitu subsidi, anak sekolah. Kenapa sampai bulan Jun? Kerana bajet akan dibentang pada 24 Februari jam 4 petang oleh Menteri Kewangan. Selepas itu akan dibahaskan bermula Isnin oleh Ketua Pembangkang. Kemudian Mac baru diluluskan di Dewan Rakyat. Kemungkinan hujung Mac baru diluluskan di Dewan Negara. Kemungkinan Yang di-Pertuan Agong tandatangani bajet 2023 ini pada April.
Itu sebab segala bajet sementara sehingga Jun telah diluluskan. Jangan risau tentang bayar gaji penjawat awam semua ini. Semuanya sudah diaturkan.
Apakah inti pati Bajet 2023 yang akan dibentang oleh Perdana Menteri, itu kita tunggu dan lihat. Saya tidak boleh sebut perkaranya. Saya yakin dan pasti Perdana Menteri akan bentangkan bajet dengan baik untuk rakyat. Tunggu 24 Februari.
Kerjasama dengan Timbalan Menteri Kewangan lain, Steven Sim Chee Keong. Antara UMNO dan DAP itu sendiri. Mungkin boleh kongsikan?
Pertama, saya tidak pernah melobi jawatan ini. Tentunya jawatan ini dipilih oleh Perdana Menteri mungkin kerana saya pernah di kementerian itu. Mungkin kerana beliau minta saya berdebat di Dewan Rakyat dan Negara. Saya fikir Anwar tentu mahu ambil orang kanan beliau untuk jadi Timbalan Menteri Kewangan.
Tetapi apabila sudah dimaklumkan begitu, saya terima amanah ini dengan sebaik mungkin membantu Perdana Menteri untuk mendapatkan wang seberapa banyak di luar sana untuk pastikan ia diberikan setiap sen kepada rakyat kembali.
Hubungan saya dengan Steven adalah baik. Apabila taklimat dia mendengar, saya mendengar. Dia bertanya, saya bertanya. Apabila mesyuarat saya bercakap, beliau juga beri pandangan. Setakat ini tiada masalah dari segi hubungan itu.
Beliau bukanlah seorang yang radikal. Bukan seorang yang bersikap perkauman, tetapi seorang yang cukup rasional.
Pandangan Datuk Seri berkenaan politik di Sabah kerana mereka masih lagi tiada Akta Lompat Parti. Secara umumnya bagaimana?
Tentunya kita inginkan yang terbaik. Saya ingin cadangkan agar Akta Lompat Parti disegerakan di semua negeri. Semua yang belum ada akta ini boleh dibentangkan di negeri yang berkaitan supaya politik negeri lebih stabil.
Kalau kerajaan Persekutuan, kita ada akta itu. Jadi saya harap dikuat kuasa kepada negeri lain supaya ada kestabilan di negeri-negeri.
Adakah 10 individu yang dikatakan tandatangani akuan bersumpah (SD) akan dikenakan tindakan?
Jika Presiden UMNO dan Pengerusi BN mengarahkan, tentu akan ada tindakan. Kita tahu senarai itu semua. Enam daripada UMNO dan empat BN. Tetapi Presiden telah menyatakan tidak akan ambil tindakan. Itu baiknya beliau tetapi tidak pernah diucap terima kasih.
Setakat ini tidak ambil tindakan kepada mereka yang menandatangani akuan bersumpah (SD) dari pintu belakang.
Baru masuk tahun baharu ini, mungkin boleh kongsikan harapan untuk tahun 2023 ini secara peribadi dan umum.
Majlis Kerja Tertinggi yang membuat keputusan agar UMNO, BN menyertai Kerajaan Perpaduan. Mesyuarat selama dua hari dan Ahmad Zahid beri peluang kepada semua untuk luahkan pandangan. Keputusan dibuat pada jam 1 pagi dan akhirnya kita bersetuju untuk bersama Kerajaan Perpaduan.
Saya telah beri kenyataan media pada jam 1.30 pagi. Pada 24 Disember itu juga, Majlis Raja-Raja buat keputusan mengenai Kerajaan Perpaduan. Saya harap dengan keputusan itu, maka PAU mengesahkan keputusan itu bahawa kita perlu berada dalam Kerajaan Perpaduan ini supaya kestabilan politik boleh dicapai.
Kali pertama untuk sekian lama tidak ada dua per tiga majoriti, maka kali ini telah ada. UMNO menjadi parti Melayu pertama terbesar dalam Kerajaan Perpaduan sebab PKR parti bercampur, DAP bercampur.
Dengan itu, kita terus mainkan peranan penting bagi memastikan agama, dan tanah air akan terus didaulatkan, dimajukan. Dari segi ekonomi, pertumbuhan antara 4.2 peratus hingga 5 peratus. Tetapi kita berhadapan dengan situasi sukar iaitu inflasi teras 4.2 peratus. Sepatutnya inflasi ini sekitar 2 hingga 3 peratus. Itu perlu diturunkan.
Pada ketika sama, 3.4 peratus kadar pengangguran belum capai tahap guna tenaga penuh kerana kita ada lebih kurang 10 peratus pengangguran di peringkat belia. Itu kita perlu tangani. Perlu beri pekerjaan yang bergaji tinggi kepada anak-anak muda di seluruh negara.
Tahap kita di peringkat antarabangsa perlu ditingkatkan. Kehadiran Perdana Menteri di Indonesia itu tentunya memberikan pelbagai berita baik dan buat hubungan yang lebih akrab. Tentunya beliau akan pergi negara lain.
Dalam waktu sama, kita perlu cari usaha untuk tambahkan dana perbendaharaan negara seberapa banyak yang mungkin.
Klik di sini untuk terus membaca