TEL AVIV - Kerajaan paling berhaluan kanan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak mahu membuang masa untuk melaksanakan agenda ultra-nasionalis mereka tanpa mengambil kira jika rancangan mereka berpotensi menggoyahkan demokrasi di negara itu.
Baru saja memegang kuasa selama kira-kira dua minggu, kerajaan 'esktremis' itu sudah mula menunjukkan belang mereka hingga mencetuskan perpecahan dalam negara selain meningkatkan lagi konflik bersama Palestin.
"Kita tidak akan menunggu kerana kita telah tubuhkan kerajaan baharu dengan dasar dan pelaksanaan yang berbeza," ujar Netanyahu dengan angkuh pada Isnin.
Sejak dari awal, Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir sudah menggunakan kuasanya secara meluas untuk menyasarkan penduduk Palestin selepas pemimpin parti ultranasionalis, Otzma Yehudit itu mencetuskan kemarahan Muslim kerana menceroboh pekarangan Masjid al-Aqsa (Haram al-Sharif), beberapa hari selepas beliau memegang jawatan tersebut.
Di bawah dasar kontroversi terbaharu, menteri 'ekstremis' itu bertindak mengarahkan polis menurunkan bendera Palestin dari tempat awam.
Arahan tersebut dipercayai sebagai tindak balas ad hoc terhadap tindakan tahanan Palestin, Karim Younis mengibarkan bendera Palestin setelah dibebaskan pada minggu lalu.
Pemimpin anti-Arab itu memberi alasan tindakan mengibarkan bendera Palestin sebagai perbuatan yang menyokong 'keganasan'.
"Saya mengarahkan penghapusan bendera Palestin dan hentikan hasutan terhadap Israel," katanya.
Netanyahu menerusi Twitter menyelar tindakan penunjuk perasaan yang berhimpun di Tel Aviv ketika mengadakan demonstrasi membantah penubuhan kerajaan 'ekstremis' yang turut mengibarkan bendera Palestin dan disifatkan sebagai perbuatan 'mengapi-apikan' secara terang-terangan.
Sebelum ini, Israel pernah menganggap bendera Palestin milik sebuah kumpulan militan yang sama seperti gerakan Hamas dan Hizbullah.
Namun, bendera itu diiktiraf sebagai milik Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang ditubuhkan untuk mentadbir Genting Gaza dan sebahagian kawasan di Tebing Barat yang diduduki selepas Perjanjian Oslo dimeterai bersama Israel.
Selain larangan ke atas bendera Palestin, Ben-Gvir juga cuba menggunakan kuasanya untuk mengehadkan jumlah ahli Knesset (Parlimen) yang boleh melawat 'tahanan keselamatan' kepada seorang wakil untuk setiap parti.
NETANYAHU TUNJUK TARING
Netanyahu juga dikatakan melancarkan tindakan 'balas dendam' menyasarkan kepimpinan PA selepas resolusi yang meminta pendapat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung pendudukan Israel selama lebih lima dekad di Tebing Barat dan Baitulmaqdis diluluskan pada bulan lalu.
Tindakan itu dibuat selepas kerajaan baharu pimpinannya meluluskan langkah untuk 'menghukum' Palestin atas kejayaannya melobi negara antarabangsa.
Antara 'hukuman' yang dikenakan ialah menyekat AS$39.6 juta (RM173.3 juta) daripada hasil cukai yang dikutip bagi pihak PA dan akan dipindahkan kepada waris keluarga Israel yang terbunuh seperti diumumkan Menteri Kewangan, Betzalel Smotrich.
Kerajaan baharu Israel itu turut meluluskan rancangan menghentikan pembangunan di perkampungan Palestin di Kawasan C di Tebing Barat yang ditadbir rejim Tel Aviv.
Selain itu, mereka juga menarik balik keistimewaan VIP pegawai tertinggi PA dengan membatalkan permit perjalanan Menteri Luar, Riyad al-Maliki yang sebelum ini bebas keluar dan masuk ke Tebing Barat.
Melihat perkembangan itu, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyed menuduh rejim Tel Aviv cuba menjatuhkan PA dari segi kewangan dan institusi.
Di Baitulmaqdis Timur, polis Israel di bawah operasi diarahkan Ben-Gvir dilaporkan 'menyerbu' mesyuarat jawatankuasa ibu bapa yang sedang membincangkan tentang pendidikan anak mereka atas alasan ia dibiayai secara tidak sah oleh PA.
Ketika ini, rejim Zionis turut mempergiatkan kempen perobohan rumah milik penduduk Palestin yang kononnya dibina tanpa permit di seluruh Tebing Barat.
Pada masa ini, penduduk Palestin mewakili kira-kira satu perlima daripada populasi di Israel dan kebanyakannya adalah keturunan Palestin yang kekal berada di wilayah tersebut setelah penubuhannya pada 1948. - Agensi
INFO
>Bendera Palestin tidak menyalahi undang-undang Israel, namun pihak berkuasa rejim Zionis melarangnya di tempat awam dan turut merampas simbol nasionalisme itu terutamanya di Baitulmaqdis Timur.
>Sejak beberapa dekad lalu, ahli Knesset (Parlimen) pernah cuba menerima pakai undang-undang yang melarang pengibaran bendera Palestin.
>Bendera Palestin menjadi simbol konflik Israel-Palestin.
>Beberapa anggota Parti Likud pimpinan Netanyahu pernah mencadangkan larangan terhadap bendera Palestin yang dianggap 'bendera negara musuh' termasuk melarang ia dipaparkan di universiti dan kolej selepas beberapa penuntut mengibarkannya ketika Hari Nakba (malapetaka).
Klik di sini untuk terus membaca