BEBERAPA minggu lalu, kita mendengar tentang ada lagi langkah politik yang sedang berlaku di London dan Jakarta. Sama ada ia memang benar berlaku atau tidak, atau sekadar ura-ura tiada siapa yang dapat memastikannya.
Sejak Langkah Sheraton, kita semua seolah-olah percaya semua ura-ura ini adalah benar. Bagaimanapun, apa yang terjadi ialah beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah sedang berpakat untuk melantik Ketua Menteri yang baharu.
Sebagai orang awam, kita akan selalu memandang ahli politik ini tidak bertimbang rasa dan sangat mementingkan kuasa.
Ia mungkin benar jika kita melihatnya dari kaca mata pengundi yang mengharapkan wakil rakyat kita bekerja dengan baik dan membawa kebaikan kepada kita semua.
Kita mengharapkan mereka membantu kita mendapatkan dana untuk menurap jalan tar baharu atau membangunkan sekolah yang lebih elok di kampung kita.
Tetapi harus diingat, melantik wakil rakyat tidaklah sama seperti melantik ketua kampung atau pengawas sekolah.
Kita melantik manusia yang perlu bermain dengan kuasa. Jika tiada kuasa, tak perlulah seseorang itu menjadi wakil rakyat. Mereka mungkin bercakap lain di hadapan kita, tetapi juga berpakat lain dengan sekutu politik mereka.
Adakah semua aksi ahli politik yang bercakap lain ketika berkempen dan berbuat lain setelah menang ini dianggap sebagai satu yang salah? Ia bergantung dari sudut mana kita melihatnya.
Gallup adalah antara sebuah syarikat kajian pandangan awam yang aktif di Amerika Syarikat. Dalam banyak siri kajian mereka yang dilakukan sejak tahun 1970-an, didapati beberapa kerjaya termasuklah ahli politik jarang ada dalam senarai pekerjaan yang dianggap boleh dipercayai oleh rakyat Amerika.
Hanya guru, jururawat, tentera dan beberapa pekerjaan lain yang dianggap sebagai antara yang paling jujur dan berpegang dengan etika.
Sekurang-kurangnya kita sebagai rakyat yang tidak menjadi ahli politik agak beruntung. Kita tidaklah dianggap bekerja dalam kategori pekerjaan yang tidak boleh dipercayai.
Di Malaysia, sejak Langkah Sheraton ramai orang sudah mula memahami bahawa pekerjaan ahli politik tak pernah sama dengan kita. Mereka boleh berubah dan perlu menyesuaikan diri dengan kemungkinan yang akan berlaku.
Walaupun dahulu, mungkin hal-hal ‘pengkhianatan’ ini juga berlaku, tetapi waktu itu kerana Barisan Nasional (BN) sahaja parti yang dominan, jadi pengkhianatan tersebut tidak mungkin mengubah kerajaan yang memerintah.
Sekurang-kurangnya juga kini, kita tak lagi menjadi seorang pengikut yang taasub dengan mana-mana parti politik.
Pada masa hadapan kita akan memilih pemimpin yang setidak-tidaknya dianggap boleh dipercayai untuk memimpin kita dan bukan parti semata-mata.
Sebenarnya keupayaan untuk tidak bercakap benar ini ada kalanya dihargai dalam sesetengah budaya.
Budaya masyarakat kolektif termasuk di banyak negara Asia ada yang membenarkan untuk tidak berkata benar bagi menjaga air muka ahli yang lain. Dalam kata yang lain, menipu ini kadangkala perlu jika boleh memberi kebaikan.
Machievelli dalam The Prince – antara lainnya pernah menulis 'manusia secara umumnya dinilai atas apa yang dilihat, dan bukan apa yang diperbuat'. Atau, adalah tidak begitu penting sama ada kita jujur atau tidak dalam satu-satu perbuatan, kerana yang utama ialah apa yang dilihat oleh orang lain. Tidak guna berbuat baik jika dilihat sebagai buruk.
Sama ada langkah wakil rakyat yang kita pilih ini sering bertukar sokongan dari satu kepada lain, ia mungkin juga hal yang tidak wajar dianggap sebagai kesalahan.
Realitinya, seperti kata Machievelli ‘kejahatan adakalanya diperlukan jika ia boleh menghalang keburukan yang lain’ dan mungkin itulah yang sedang difikirkan oleh ahli politik ini.
Kita semua tidak memahami apa yang sedang berada di benak mereka. Perlu diingat sekali lagi, kajian berterusan oleh Gallup menunjukkan ahli-ahli politik ini akan sentiasa menjadi orang yang patut kita curigai, walau apa sekali pun alasan mereka berbuat aksi yang mengerikan kita semua.
* Dr Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Universiti Malaya.
Klik di sini untuk terus membaca