SEKETIKA dahulu dalam karya politik perbandingan, UMNO dikumpulkan bersama Parti Kuomintang (KMT) di Taiwan dan Parti Revolusi Institusi (PRI) kerana kesemuanya adalah parti yang dominan dalam sistem autoritarian berpilihan raya.
Kedua-dua KMT dan PRI hilang kuasa untuk kali pertamanya pada tahun 2020. KMT kembali menjadi kerajaan pada tahun 2008 selama lapan tahun manakala PRI kembali berkuasa pada tahun 2012 untuk enam tahun.
UMNO hilang kuasa pada tahun 2018 dan kembali berkuasa selepas 22 bulan, malah mendominasi kerajaan untuk 15 bulan terakhir.
Akan tetapi, pencapaian BN dalam PRU15 – 26 peratus undi dan 30 kerusi Parlimen - lebih lemah daripada PRU14 - 34 peratus undi dan 79 kerusi.
Apa akan berlaku kepada UMNO pada PRU16? Dalam senario terbaik, UMNO mungkin memenangi majoriti mudah tetapi kebarangkalian sangat rendah.
Yang lebih realistik, UMNO mungkin muncul sebagai parti terbesar di Parlimen dengan 70 ke 80 kerusi tetapi UMNO juga mungkin kalah lebih teruk daripada 26 kerusi sedia ada.
Di mana UMNO akan berada bergantung kepada persaingan antara UMNO dan pencabarnya.
Jika UMNO terus bersama dengan PH, apakah UMNO berpeluang untuk merampas balik kawasan-kawasan yang ditawan oleh Pas dan Bersatu, terutamanya di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu?
Jika UMNO memutuskan untuk bersama dengan PN sebelum PRU16, untuk UMNO menambah kerusi daripada 26, ia perlu menawan kawasan-kawasan pelbagai kaum daripada PH.
Prospek UMNO dalam kedua-dua senario ini bergantung kepada perbezaan produk yang mungkin UMNO tawarkan berbanding dengan Pas dan Bersatu di sebelah dan dengan PH di pihak yang lain.Saya tidak percaya UMNO akan keluar daripada kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim jika Presiden UMNO bertukar orang.
Hakikatnya, siapa yang menjadi Presiden UMNO akan secara automatiknya menjadi Timbalan Perdana Menteri I.
Sekalipun jika presiden baharu bukan ahli Parlimen, dia pun boleh dilantik sebagai senator untuk memegang jawatan No. 2 kerajaan Persekutuan.
Jadi, pemimpin UMNO mana yang akan melepaskan jawatan Timbalan Perdana Menteri selagi UMNO terus bersaing dengan Pas dan Bersatu?
UMNO mungkin keluar daripada kerajaan campuran hanya jika prospeknya sebagai "Abang Ngah dalam kerajaan PH” menjadi lebih malap daripada menjadi "Adik bongsu dalam kerajaan PN”.
Jadi, faktor penentu bukanlah pemilihan UMNO tetapi pilihan raya di enam negeri kelak.
Bagaimana UMNO menonjolkan perbezaan produknya dengan PH dan PN? Kita harapkan debat dinamik dan mendalam tentang strategi persaingan antara parti akan muncul dalam PAU kali ini dan kesiapsiagaan UMNO untuk menghadapi PRN dan PRU16.
UMNO mesti menerima hakikat ia bukan parti pemerintah dominan dan tidak boleh bergantung kepada naungan dan dedak kerajaan untuk meraih sokongan. MCA dahulu menang dengan cara ini, di mana MCA hari ini?
UMNO juga jangan harap dapat tiru Pas untuk menjadi lebih Islamis daripada Pas. UMNO tidak ada 'keempunyaan isu' atas Islamisasi. Semakin kuat ia cuba meniru, semakin ia mengingatkan pengundi untuk mencari 'produk asli'.
Semoga PAU minggu ini akan memberikan petanda hala tuju UMNO. Apakah kelebihan UMNO untuk menarik sokongan pengundi PH dan PN?
Sajian Jepun banyak ikan,
Pakaian warisannya kimono;
Lain parti lain tarikan,
Apakah kelebihan UMNO?
* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway.
Klik di sini untuk terus membaca