SEPERTI dijangka, pembukaan persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 bermula 11 Januari lalu berlangsung 'panas' dan penuh drama. Bermula dengan ucapan berapi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui sesi... Klik di sini untuk terus membaca

SEPERTI dijangka, pembukaan persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 bermula 11 Januari lalu berlangsung 'panas' dan penuh drama.

Bermula dengan ucapan berapi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui sesi Taklimat Presiden UMNO bersama dengan 2,648 perwakilan PAU bagi menjelaskan rasional UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyertai Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri I itu turut mengambil kesempatan melancarkan 'serangan' politik terhadap kem pemimpin UMNO tidak sehaluan dengannya apabila mendedahkan kisah pengkhianatan 'Langkah St Regis' pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melibatkan 10 ahli Parlimen BN.

Sumber UMNO mendedahkan terdapat enam ahli Parlimen daripada parti itu dan empat lagi daripada MIC, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) didakwa Ahmad Zahid menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri sewaktu Parlimen tergantung.

Sehingga kini, tiada pengesahan daripada 10 ahli Parlimen berkenaan bahawa mereka bertindak menandatangani SD menyokong Muhyiddin sebagaimana didakwa.

Namun pendedahan itu jelas menunjukkan PAU 2022 bukan lagi dianggap medan penyatuan lebih 3 juta ahli UMNO, sebaliknya kini menjadi kempen mempertahankan institusi presiden parti.

Ahmad Zahid (kanan) bersama Mohamad.

Hal itu dibuktikan menerusi pendirian 126 ketua bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO sepanjang PAU 2022 berlangsung apabila mereka menyatakan solidariti agar jawatan presiden yang kini disandang Ahmad Zahid tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang dijangka Mei nanti.

Lebih menarik, polemik terkini berkaitan isu pertandingan dua jawatan tertinggi UMNO itu membawa kepada spekulasi terdapat kemungkinan usul itu dikemukakan perwakilan secara tergempar ke dalam Mesyuarat Agung Khas (EGM) yang bakal diadakan hari ini (13 Januari).

Perkembangan semasa itu tidak dipersetujui bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin atau KJ yang menggesa agar perwakilan PAU menghentikan 'kegilaan politik' kem pro Zahid dan membiarkan ruang demokrasi dalam UMNO tidak dimatikan.

Bagi bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, beliau melihat isu dua pertandingan jawatan tertinggi UMNO dari sudut perlembagaan parti, di mana tidak terdapat sebarang klausa yang menghalang mana-mana pemimpin yang tercalon untuk bertanding sebarang jawatan.

"Kena ingat, dalam EGM, hanya usul diangkat di peringkat UMNO bahagian oleh MKT dan seterusnya dimaklumkan kepada semua perwakilan PAU sahaja yang boleh dibentangkan kepada mereka.

DR MOHAMAD KHIR

"Sebarang usul tergempar yang tidak diketahui lebih awal dan tidak dimasukkan dalam agenda EGM, tidak boleh dikemukakan sewaktu EGM berlangsung kerana peraturan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) tidak membenarkannya.

"Justeru, dalam soal dua jawatan tertinggi UMNO bakal dipertandingkan atau tidak, saya rasa perkara itu hanya perlu diputuskan MKT untuk dijadikan panduan sahaja," ulas veteran UMNO itu kepada Sinar Premium pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohamad Khir menjelaskan sekali pun MKT memutuskan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan, perkara itu masih lagi bersandarkan kehendak ahli-ahli parti dan tidak menjadi ketetapan wajib mereka.

"Sebagai contoh, pemilihan UMNO tahun 1978 menyaksikan jawatan Presiden UMNO yang dipangku Allahyarham Tun Hussein Onn selaku timbalan presiden parti ketika itu, dicabar bekas Ketua Penerangan UMNO iaitu Sulaiman Ahmad atau ‘Sulaiman Palestin’ meskipun MKT memutuskan jawatan itu tidak dipertandingkan.

"Sebarang ketetapan MKT mesti tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan UMNO. Jika tidak, pastinya sudah lama jawatan tertinggi tidak akan dipertandingkan," katanya lagi.

Sementara itu, pemerhati politik berpandangan keputusan dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan mungkin dianggap resipi kebangkitan parti itu yang paling relevan untuk direalisasikan.

MUJIBU

Bagaimanapun, langkah itu juga bakal mengundang persepsi umum yang negatif, lebih-lebih lagi UMNO mengambil keputusan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP dalam membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia.

"Justeru, dua implikasi kontra ini menyebabkan UMNO berada di persimpangan dilema.

"Namun saya fikir lebih baik dua jawatan itu dipertandingkan seperti biasa kerana Ahmad Zahid sudah mempunyai kelebihan kerana memegang jawatan nombor dua kerajaan," jelas Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Mujibu Abdul Muis.

Berkenaan fokus pembersihan pemimpin 'gunting dalam lipatan' UMNO selepas PAU 2022, Mohamad Khir berpandangan perkara itu sangat penting demi memastikan parti itu tidak lagi terbelenggu konflik dalaman pada saat UMNO mahu kembali bangkit.

Bagi Mujibu pula, isu pendedahan senarai pemimpin UMNO-BN yang dianggap 'pengkhianat' parti paling menarik kerana pendekatan Ahmad Zahid itu seolah-olah cuba meraih simpati perwakilan UMNO.

"Persoalan lain adalah sekiranya ada pertandingan dua jawatan tertinggi UMNO, mampukah kelompok pemimpin tersenarai terlibat 'Langkah St Regis' ini bergabung menentang kem Ahmad Zahid? Siapa pula yang akan mengetuainya?

"Saya berpandangan isu 'pengkhianat' UMNO ini mungkin lebih senang ditangani berbanding isu berkawan dengan PH selain kegagalan Presiden UMNO memberikan kemenangan sepatutnya kepada BN pada PRU15.

"Paling penting, naratif menyerang PN dan menyalahkan orang lain juga sepatutnya sudah menjadi pengajaran kepada UMNO bahawa parti itu perlu kembali memperbaiki diri sendiri dan banyak mempromosi idea baharu dan penyelesaian masalah rakyat, berbanding bersikap angkuh dengan mengalihkan faktor kekalahan PRU15 kepada rakyat," ujar Mujibu.

Klik di sini untuk terus membaca