SHAH ALAM - Bukan sahaja rakyat dalam kalangan B40, malahan golongan yang berkemampuan turut mengeluh dengan kenaikan harga barangan saban tahun.
Peningkatan harga termasuk makanan asas telah menyebabkan ramai rakyat terkesan sehingga terpaksa berjimat cermat dan mengehadkan pembelian dengan mengutamakan barangan penting sahaja.
Jika dibandingkan kira-kira 20 tahun lalu, RM50 mencukupi bagi sebuah keluarga membeli minyak masak, telur, beras, ayam dan beberapa makanan asas lain.
Ada antara mereka yang menggunakan RM50 tersebut sebagai perbelanjaan dalam tempoh lebih seminggu.
Lain pula ceritanya pada 2023, dengan kenaikan kos sara hidup dan inflasi yang menyebabkan harga barangan semakin meningkat naik sekali gus menyebabkan kuasa menjadi semakin kecil.
Berbekalkan RM100, wartawan Sinar Harian hanya dapat membeli 12 makanan asas dengan jumlah yang kecil di sebuah pasar raya di Lembah Klang.
Antara barangan yang dapat dibeli ialah ayam seekor seberat 1.8 kilogram (kg) yang berharga RM16.31, minyak masak botol 2kg, beras 5kg (RM13.30), sardin tin (RM9.90), sayur sawi (RM2.99), bawang merah dan putih selain gula, tepung, biskut kering, buah-buahan dan juga telur Gred C sebanyak 10 biji.
Kesemua barangan tersebut dibeli bukanlah dengan jumlah yang besar, ia hanya dibeli berdasarkan keperluan sebagai seorang atau sepasang suami isteri.
Sekiranya barangan tersebut dibeli dalam skala yang lebih besar untuk kegunaan seisi keluarga, dipercayai tidak peroleh lebih daripada lima barangan asas pun kerana harga minyak masak bagi 5kg sekitar RM30, beras 10kg dalam lingkungan RM30 manakala telur gred C sepapan RM16.
Empat barangan asas itu sahaja telah mencecah sekitar RM76.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, pada tahun 2022 sahaja, sebanyak dua kali kenaikan harga telah berlaku terhadap semua jenis barangan.
"Kenaikan ini adalah sekitar lima hingga sembilan peratus dan kebanyakannya melibatkan barangan yang dikawal oleh pihak kerajaan,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Nilai, ubah suai semula bajet kewangan
Sementara itu, perbelanjaan makanan yang sekadar memenuhi tuntutan emosi dan nafsu perlu dikurangkan sebagai usaha penjimatan bagi seseorang individu mahupun keluarga yang berdepan masalah kos belanja bulanan yang tinggi untuk memenuhi keperluan harian.
Pakar Kewangan Pengguna, Prof Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, antara yang boleh dikurangkan adalah peruntukan untuk makanan di luar rumah seperti makanan segera.
Ini kerana menurutnya, data perbelanjaan isi rumah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2019 menunjukkan jumlah perbelanjaan bagi makan di luar agak tinggi meliputi perbelanjaan restoran dan hotel.
"Selain itu, boleh juga bawa bekal ke tempat kerja dan sekolah bagi anak-anak sebagai tip perbelanjaan ketika peningkatan sara hidup,” katanya.
Beliau yang juga Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, bajet atau rancangan perbelanjaan keluarga perlu dinilai semula dengan membuat ubah suai ke atas keperluan perbelanjaan berdasarkan kedudukan kewangan semasa keluarga.
Ujarnya, pengguna juga disaran menyenaraikan semua keperluan perbelanjaan daripada yang paling penting (utama) kepada perbelanjaan yang paling kurang penting (kurang utama).
"Berbincang dengan ahli keluarga mengenai kedudukan kewangan semasa keluarga. Sediakan semua rekod kewangan keluarga seperti rancangan perbelanjaan (bajet), penyata aliran tunai dan penyata nilai bersih (harta-hutang).
"Semak dan buat analisis ke atas semua rekod tersebut untuk lebih memahami kedudukan kewangan semasa keluarga. Aktiviti ini dapat membantu keluarga mengetahui keperluan perbelanjaan yang perlu, kurang perlu dan tidak perlu,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca