WASHINGTON - Rumah Putih berdepan tekanan untuk menjawab segala persoalan berhubung penemuan dokumen bertanda 'SULIT' di pejabat yang pernah digunakan Presiden Joe Biden sebelum beliau memegang tampuk kepimpinan di Amerika Syarikat (AS).
Insiden terbaharu itu didakwa merumitkan lagi siasatan pihak berkuasa terhadap skandal yang lebih besar melibatkan pendahulunya, Donald Trump.
Pada Rabu, rangkaian media di Washington melaporkan pembantu Biden telah menemui satu lagi set dokumen kerajaan di lokasi tidak didedahkan, dua hari selepas peguam Presiden Parti Demokrat itu mendedahkan tentang penemuan pertama.
Rumah Putih yang kini diasak pelbagai soalan hanya mengesahkan 'sejumlah kecil' dokumen sulit termasuk maklumat rahsia tertinggi kerajaan dijumpai di almari berkunci di pejabat lama Biden sebelum beliau bergelar Presiden.
Kira-kira 10 dokumen itu bertarikh ketika beliau memegang jawatan Naib Presiden di bawah pentadbiran Presiden AS ke-44, Barack Obama.
Angka itu jelas jauh lebih sedikit berbanding lebih 11,000 rekod kerajaan yang dirampas ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) ketika serbuan dilakukan di kediaman peribadi Trump di Florida pada Ogos 2022.
Tetapi, versi Biden dikatakan adalah lebih memalukan memandangkan beliau sering mempamerkan standard etika yang tinggi dan pernah menyelar perbuatan Trump kerana melarikan dokumen mengandungi pelbagai maklumat rahsia dari Rumah Putih.
Bilionair hartanah berkenaan yang turut mengikuti perkembangan melibatkan penggantinya berpendapat Biden juga perlu melalui proses sama sepertinya.
Rumah Putih enggan ulas
Rumah Putih bagaimanapun cuba mempertahankan Biden dengan menyatakan pentadbiran beliau bertindak segera untuk membetulkan keadaan malah Presiden berkenaan juga sedia memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan.
Sebaik sahaja set pertama dokumen sulit kerajaan dijumpai di pejabat badan pemikir, Penn Biden Center pada November lalu, peguam beliau dilaporkan terus menyerahkannya kepada Arkib Kebangsaan untuk tindakan selanjutnya.
Di samping itu, penasihat undang-undang beliau juga sedang dalam proses untuk mengenal pasti lokasi lain yang mungkin terdapat 'dokumen sesat' tersebut.
Hal itu, sekali gus menjelaskan bagaimana penemuan set baharu itu diumumkan pada Rabu dan mungkin lebih banyak lagi akan ditemui pada masa akan datang.
Sebagai usaha untuk meredakan tuduhan tentang campur tangan politik, Ketua Pendakwa Raya Persekutuan di Chicago, John Lausch Jr telah dilantik untuk menyemak kesemua ‘dokumen sesat’ tersebut.
Respons yang diberikan Biden adalah sangat berbeza dengan pendahulunya yang enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa hingga memaksa FBI menggunakan waran geledah untuk menyerbu kediaman peribadinya.
Ketika sidang media, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karine Jean-Pierre berulang kali cuba mengelak untuk menjawab segala persoalan yang diajukan wartawan.
"Saya tidak boleh mengulas dengan lebih lanjut tentang perkara itu kerana ia masih berada di bawah siasatan Jabatan Kehakiman,” ujarnya.
Pada Selasa, Biden menegaskan tidak tahu-menahu tentang kandungan dokumen tersebut dan beliau sekali lagi menegaskan umum sedia maklum bagaimana pendiriannya terhadap maklumat sulit kerajaan.
Susulan insiden itu, Parti Republikan (GOP) yang kini mengawal Kongres menggesa siasatan dilancarkan terhadap Biden tanpa dwistandard setelah Trump juga berdepan proses sama ketika Demokrat menguasai Dewan Perwakilan.
GOP dilihat cuba mengambil peluang untuk 'membalas dendam' selepas anggota parti itu pernah mempertahankan Trump ketika beliau berdepan siri siasatan termasuk tuduhan menghalang keadilan di bawah kes tersebut yang semakin mencalarkan imejnya.
Tetapi, Rumah Putih cuba membuat perbandingan antara kes di Mar-a-Lago, Florida dengan penemuan 'dokumen sesat' di pejabat yang pernah digunakan Biden di Washington.
Persoalan utama yang timbul kini ialah bagaimana ia boleh berada di premis itu dan mengapa pentadbiran Biden mengambil masa selama lebih dua bulan untuk mendedahkan kepada umum tentang penemuan penting tersebut. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca