NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berpandangan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan atau tidak dalam pemilihan yang akan berlangsung nanti bukan sesuatu yang pelik dalam parti itu.
Menurutnya, apa yang paling penting adalah bukan soal pertandingan membabitkan dua jawatan tertinggi sebaliknya bagaimana UMNO membuka ruang dan peluang kepada semua golongan seperti golongan muda, teknokrat, profesional dan ahli akademik untuk berkhidmat bersama parti itu.
Ikuti kupasan beliau dalam Sinar Live bertajuk ‘UMNO: Kekal Atau Tukar Presiden?’ dikendalikan oleh moderator, HAZWAN MOKHTAR.
HAZWAN: Bagaimana Datuk Seri melihat perjalanan UMNO khususnya prestasi selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)?
MAHDZIR: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang berlangsung pada minggu ini adalah lanjutan daripada tahun lepas, ditangguh berikutan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan kemudian dilanjutkan ke Januari 2023.
Perhimpunan ini adalah merupakan perhimpunan tahunan UMNO yang barangkali rancak juga disebabkan kita adakannya selepas daripada PRU15.
Sudah pasti, perkara akan dibincangkan nanti bagaimana untuk mengembalikan keyakinan masyarakat, rakyat dan pengundi seluruh negara kepada UMNO dan BN untuk masa akan datang.
HAZWAN: Sehingga ke hari ini, topik perbincangan Kerajaan Perpaduan masih menjadi perdebatan dalam kalangan akar umbi parti. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini?Adakah UMNO akan hilang sokongan akar umbi?
Sebenarnya apa-apa perkara baharu yang kita buat akan mengambil masa untuk diterima. (Contohnya) kalau kita beli kasut baharu pun, sebenarnya kita seronok memakai kasut lama. Begitu juga apa-apa perkara baharu. Perkara ini adalah lumrah.
Apabila ada perkara baharu yang kita buat, kita akan berasa ganjil, susah dan kena terima hakikat bahawa apabila sampai sesuatu masa dalam dunia politik, akan ada dinamik. Sudah semestinya perlu ada perubahan yang kena ada pemikiran.
Maknanya kita kena menjelaskan kenapa jadi sebegitu. Barangkali ia terjadi disebabkan pasca pilihan raya. Sebelum pilihan raya tidak ada, tetapi selepas pilihan raya ada gabungan atau Kerajaan Perpaduan di mana BN bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).
Saya fikir ahli-ahli UMNO boleh memahami mengapa terjadinya begitu jika diterangkan dengan jelas. Sekarang ini kita sedang buat penerangan di semua negeri, tempat dan bahagian.
HAZWAN: Beberapa bulan lagi akan diadakan Piilihan Raya Negeri (PRN). Adakah Datuk Seri boleh memberi gambaran awal tentang perjalanan PRN nanti?
Ada enam negeri yang akan mengadakan PRN. Tiga negeri dikuasai oleh PH dan tiga negeri lain dikuasai oleh Pas yang kini menggunakan nama Perikatan Nasional (PN).
Apabila PRN diadakan di enam negeri itu nanti, kita kena ada mekanisme penyelesaian di peringkat kepimpinan. Bagaimana nak ‘masuk’ dalam pilihan raya itu.
Contohnya di Kedah kerana saya berasal dari negeri itu. Kedah ada 36 (kerusi) Dewan Undangan Negeri (DUN). Daripada 36 DUN itu, BN bertanding berapa, UMNO pula bertanding berapa.
Tentunya kita nakkan satu formula yang boleh dipersetujui bersama parti-parti yang telah bergabung dalam Kerajaan Perpaduan.
HAZWAN: Melihat kepada prestasi BN semasa PRU15, adakah ‘seram’ nak bertanding dalam PRN nanti?
Dalam politik ini, sebenarnya tidak ada perkataan tidak. Apabila kita masuk dalam politik, kita mesti bersedia. Apa yang berlaku dalam PRU15 baru-baru ini, boleh nampak gelombang Perikatan Nasional (PN) tiba-tiba menjadi besar dan fenomena di beberapa buah negeri yang majoritinya Melayu.
Perkara itu dilihat sebagai satu daripada kejayaan yang dicipta oleh PN sendiri.
Kalau nak ambil daripada rentetannya, dua tahun sebelum 2018, kita lihat bagaimana usaha untuk memberi satu imej yang buruk kepada UMNO dan BN. Sebelum 2018, UMNO dimomokkan dengan pelbagai perkataan seperti UMNO parti korup, penyamun dan sebagainya.
Tetapi melihat UMNO pada masa itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) yang kita bertanding, kemudian PRN Melaka dan Johor, nampak ada ruang dan peluang masyarakat beri kepada UMNO dan BN.
Cuma semasa PRU15, apabila ada usaha untuk memisahkan PN, BN dan PH, UMNO nampak macam terkebelakang dalam PRU15.
HAZWAN: Terdapat desas-desus mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. Bagaimana dengan pendirian Datuk Seri mengenai perkara ini?
Saya fikir soal jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dalam parti ini, bukan sesuatu yang tidak pernah...banyak kali jawatan itu tidak dipertandingkan.
Kalau tidak silap saya, zaman Tun Dr Mahathir Mohamad yang betul-betul sengit (pertandingan) Team A dan Team B, apabila Tengku Razaleigh Hamzah telah mengambil keputusan untuk melawan Tun Dr Mahathir tahun 1987. Tun Dr Mahathir bersama dengan Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba manakala Tengku Razaleigh bersama dengan Tun Musa Hitam sebagai Timbalan.
Zaman Dr Mahathir, zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan selepas itu zaman Datuk Seri Najib Tun Razak. Kemudian, pada tahun 2018 apabila Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Tengku Razaleigh melawan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, Presiden UMNO.
Soal lawan tak lawan ini, saya ingat bukan sesuatu yang pelik dalam UMNO. Yang paling penting sekali adalah bukan soal pertandingan tetapi bagaimana UMNO dapat memberi ruang dan peluang kepada semua golongan.
Semua golongan yang saya maksudkan itu bukan muda dan tua sahaja, (tetapi) teknokrat, profesional serta ahli akademik berkhidmat dalam sebuah parti yang sudah berusia lebih daripada 70 tahun.
HAZWAN: Melihat kepada prestasi UMNO pada PRU15, secara peribadi adakah wajar dikekalkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dan Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden?
Ia terpulang kepada ahli parti. Minggu ini kita akan adakan PAU dan boleh melihat bagaimana perbahasan berkaitan perkara itu. Saya rasa terpulang kepada perwakilan.
HAZWAN: Tan Sri Annuar Musa menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dinamakan Muafakat Nasional (MN). Bagaimana Datuk Seri lihat tindakan penubuhan ini?
Saya tak nak komen, itu di luar organisasi UMNO dan hak dia untuk menubuhkan apa jua NGO. Tetapi pada saya, parti UMNO ini telah berusia lebih 70 tahun dan proses kepimpinan sejak beberapa Perdana Menteri yang melibatkan UMNO ini, akan ada pelbagai krisis.
Bukan perkara baharu. Pernah suatu masa dahulu, Setiausaha Agung UMNO dipecat. Pernah masa dahulu, Timbalan Presiden dipecat, pernah di masa lain orang itu kena, orang lain kena, bergaduh sana, bergaduh sini, tetapi perjalanan parti itu yang paling penting. Perjalanan parti itu melalui semua jenis keadaan.
Apabila umur sudah panjang, tentulah warna-warni kehidupan itu akan ada. Antaranya adalah masalah dalaman, masalah daripada luar, orang luar juga ada yang mengacau dan kalau parti ini lemah, orang di luar sana juga mendapat markah lebih. Perkara-perkara yang ada ini mengajar bagaimana kita nak uruskan parti itu.
Pada saya, tidak usah kita cerita pasal orang lain. Kalau anda nak cerita hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Timbalan Presiden UMNO (dan) Tun Dr Mahathir, bekas Presiden UMNO menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu merupakan Timbalan Presiden UMNO, dipecat dan menubuhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Tengku Razaleigh, Ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Menteri UMNO menubuhkan Semangat 46. Bukan setakat tubuh NGO, tetapi menubuhkan parti dan lawan pula dengan UMNO.
Hari ini, kalau jadi Kerajaan Perpaduan contohnya, rupa paras itu adalah rupa paras UMNO. Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri 22 bulan, asalnya Presiden UMNO. Datuk Seri Anwar yang sekarang menjadi Perdana Menteri dan Presiden PKR, juga berasal daripada UMNO.
Kalau anda bariskan daripada zaman Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sehingga ke hari ini, walaupun bukan UMNO tetapi asal daripada UMNO.
Saya juga bersetuju dengan kenyataan saudara tentang bagaimana untuk meremajakan parti. Bagaimana nak menguruskan parti satu bab dan kemudian membawa orang lain, bukan untuk ahli UMNO sahaja.
Selama ini UMNO memerintah negara (adalah untuk) rakyat keseluruhannya. Di luar sana ada teknokrat, profesional dan kelas pertengahan. 30 hingga 40 tahun dahulu kita berasal dari kampung.
Oleh kerana pendidikan yang baik, pendidikan yang kita beri dan UMNO sendiri bina, ramai dalam kalangan kita sudah dihantar ke luar negara. Sama ada (melalui biasiswa) Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Petronas, Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang semua ini kita hantar telah menjadi teknokrat, profesional dan kelas pertengahan.
HAZWAN: Baru-baru ini ada khabar angin mengatakan Datuk Seri terlibat dengan Langkah London. Boleh Datuk Seri komen mengenai perkara ini?
Karier politik saya bermula pada tahun 1993 dan sekarang tahun 2023, sudah 30 tahun. 30 tahun dalam politik ini, setakat yang saya tahu, saya tidak ada ‘langkah’ lagi. Langkah Alor Setar pun tiada meskipun saya berasal dari Alor Setar.
Ini merupakan kenyataan orang-orang yang nakal, sama ada berniat untuk memburukkan sesiapa ataupun berniat untuk mendapatkan nama.
Betul, saya ada di London. Tetapi tidak ada berjumpa dengan orang itu atau orang ini. Saya dengan anak cucu saya sahaja di sana.
Sebelum ini, saya berada di Jakarta. Ada juga Langkah Jakarta. Semalam saya balik Alor Setar, nasib baik tidak ada Langkah Alor Setar. Bukan setakat nafi sahaja, perkara (itu) tidak betul. Cukuplah saya katakan tidak ada langkah itu.
HAZWAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa kerajaan sebelum ini telah menyediakan kertas kerja untuk menaikkan kadar tarif elektrik. Boleh Datuk Seri komen berkenaan perkara ini?
Ada dua perkara kalau bercakap mengenai kos ini. Yang pertama adalah bil elektrik dan kedua harga minyak. Dua perkara itu akan melibatkan semua rakyat. Anda kelas pertengahan, teknokrat, orang kampung, bekerja sendiri, kakitangan awam akan terlibat dengan kos elektrik dan kos bahan api.
Di negara maju seperti United Kingdom, harga elektrik dan minyak diapungkan. Jika kos untuk menjana elektrik itu naik, dengan sendirinya bil elektrik akan naik. Begitu juga bahan api, sama ada diesel atau petrol. Kalau kosnya naik, dengan sendirinya naik.
Di United Kingdom, sudah 100 peratus bil elektrik naik. Disebabkan itu, sewaktu saya menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), MARA di bawah kita dan kita naikkan jumlah kos sara hidup pelajar MARA di United Kingdom dan juga Eropah. Antara salah satu sebabnya adalah kerana bil elektrik.
Tetapi di negara kita setakat ini, kerajaan mengambil tanggungjawab untuk tidak menaikkan kadar bil elektrik. Maknanya tanggungan TNB itu ditanggung oleh kerajaan. Disebabkan harga arang batu naik, kos bahan bakar untuk membakar tenaga bagi menjadikan elektrik itu naik. Harga gas juga naik. Tetapi setakat ini kerajaan yang tanggung semua kenaikan kos. Cadangan ada tetapi kerajaan tidak bersetuju menaikkannya.
HAZWAN: Dr Maszlee Malik sebelum ini menyarankan agar tidak lagi melantik dalam kalangan ahli politik sebagai Menteri Pendidikan sebaliknya ahli akademik memegang jawatan tersebut. Bagaimana dengan pandangan Datuk Seri mengenai perkara itu?
Saya fikir sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dalam pilihan raya umum yang diadakan setiap tahun, seperti negara-negara lain tidak salah melantik orang politik untuk menjadi Menteri Pendidikan, bahkan apa jua menteri. Ahli politik menjadi menteri tidak salah, sebab itu praktis.
Cuma di sesetengah negara, terpulang kepada kepimpinan negara pada waktu itu. Sama ada dia nak pilih profesional, ahli akademik dan teknokrat untuk dilantik menjadi menteri itu terpulang kepada Perdana Menteri atau Presiden sesebuah negara.
Namun, amalan atau praktis melantik ahli politik menjadi Menteri itu tidak salah. Cuma bagaimana ahli politik itu nak memahami apakah dasar pendidikan negara, bagaimana pengoperasian pendidikan, bagaimana permasalahan itu nak diselesaikan, tambahan lagi dalam negara kita ini masyarakatnya majmuk.
Bukan setakat majmuk, kita juga mempunyai dasar pendidikan berasaskan bahasa ibunda. Sekolah Kebangsaan, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil. Daripada sekolah rendah, ada sekolah mengikut bahasa ibunda masing-masing.
Ini tidak ada di negara lain. Perkara ini yang patut difahami kepada sesiapa yang menjadi menteri itu. Dia kena faham dasar. Kemudian implementasi berdasarkan dasar tersebut.
Ini disebabkan implementasi dalam pendidikan tidak sama seperti mana dalam kementerian lain. Dalam pendidikan, keputusannya adalah kejayaan manusia. Pendidikan ini besar maknanya kepada kejayaan sesebuah negara.
HAZWAN: Tahun 2023 baru sahaja bermula. Apakah harapan Datuk Seri kepada UMNO dan negara?
Untuk parti saya, pertamanya kita dapat menambahkan lagi usaha dan kita juga menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan ini. (Diharapkan) kita dapat meyakinkan masyarakat di luar sana bahawa parti ini adalah parti yang selama-lamanya untuk bangsa, agama dan negara.
Untuk rakyat, (adalah dengan) meneruskan kesinambungan perjuangan lebih dari 65 tahun merdeka. Parti yang sudah lama ini akan terus berjuang untuk rakyat. Usaha, wajah, gaya kita kena mengikut keadaan semasa yang ada khususnya dalam dunia digital yang ada pada hari ni.
Untuk negara, berharap (ia) berada di landasan yang betul untuk pembangunan ekonomi khususnya masyarakat marhaen B40. Kerajaan (diharapkan) dapat menyediakan peruntukan yang sebaik mungkin untuk membolehkan sampai kepada rakyat memerlukan.
Tahun 2023 kita harap dapat menghadapi cabaran global kerana dikatakan ekonominya agak suram. Saya harap kita berada di satu suasana yang baik.
Sudah lama suasana politik yang memeningkan ini. Rakyat, masyarakat dan ahli politik juga sudah letih. Elok kita sederhanakan keadaan.
Untuk PRN, insya-ALLAH kita akan hadapi bersama.