JOHOR BAHRU - Kenaikan harga barang ketika ini, dilihat telah banyak mempengaruhi perbelanjaan atau bajet bulanan orang ramai terhadap barang-barang keperluan seperti makanan asas.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar Johor Bahru pada Khamis mendapati jumlah perbelanjaan yang diperlukan tidak jauh berbeza sama ada melibatkan individu yang telah berkeluarga atau yang masih bujang.
Jika sebelum ini, perbelanjaan berjumlah RM100 dapat digunakan untuk sekurang-kurangnya seminggu, tetapi jumlah sama hanya bertahan selama beberapa hari.
Bagi seorang bapa, Mohd Farhan Hafiz Hanipah, 32, nilai RM100 ketika ini dilihat begitu kecil berbanding sebelum ini dan boleh habis dengan pantas.
Katanya, jumlah berkenaan hanya dapat bertahan selama beberapa hari sahaja dan ia hanya digunakan bagi tujuan mendapatkan barang atau bahan makanan sahaja.
"Nilai RM100 ni kalau berjimat, boleh dapat sayur, ayam, telur untuk seminggu...hanya untuk makanan sahajalah, tak lebih daripada itu.
"Biasanya bajet saya dalam RM400, itu pun tak cukup, biasanya terlebih sebab ada keperluan lain macam lampin anak, susu dan sebagainya.
"Sebab itulah saya tidak hanya terikat dengan satu-satu kerja sahaja, saya juga ada lakukan kerja-kerja lain bagi membantu menampung keperluan harian saya sekeluarga,” katanya.
Pendapat itu turut disokong oleh pesara, Mardiah Sulaiman, 70, yang menyifatkan nilai RM100 hari ini agak kecil berbanding sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, nilai berkenaan perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh orang ramai bagi mengawal dan memastikan perbelanjaan mereka mencukupi.
"Bagi saya, RM100 ni cukup kalau untuk keluarga kecil yang ada seorang atau dua orang anak, tapi kena berjimat cermatlah...kena pandai susun perbelanjaan, jangan membazir untuk perkara yang tidak perlu.
"Alhamdulillah, setakat ini, saya masih dapat membeli ayam, ikan, sayur dengan nilai RM100 dan boleh bertahan sehingga seminggu,” katanya.
Sementara itu bagi peniaga, Goh Kim Hock, 40, nilai RM100 sememangnya tidak mencukupi untuk dijadikan perbelanjaan susulan kenaikan harga barang ketika ini.
Kim Hock yang bujang mengakui, terpaksa berbelanja sekitar RM500 lebih setiap bulan.
"RM100 memang tak cukup, semua barang naik. Saya belum berkahwin, tetapi rasanya saya belanja pun lebih kurang sama sahaja.
"Lagi pun, saya menyara ibu bapa saya dan biasanya lebih RM500 saya belanjakan untuk makanan sahaja macam telur, ayam, susu dan lain-lain.
"Saya nak beli banyak-banyak pun tak boleh. Sebab untuk beli minyak masak (peket), pun ada had. Jadi kena beli selalu, selain itu perbelanjaan saya adalah untuk mengisi minyak petrol dan kegunaan lain,” katanya.
Keluhan penduduk luar bandar
Di Kota Bharu, seorang ibu tunggal, Fazila Mat Said, 51, berkata, pendapatan bulanannya yang tidak menentu sebagai penjual keropok mentah itu menyebabkannya agak sukar untuk berbelanja besar.
Ibu kepada seorang anak berusia 14 tahun itu memberitahu jumlah perbelanjaan sehari juga tidak menentu dan paling banyak RM50 untuk membeli ikan, sayur dan barang basah.
"Kadang-kadang kami teringin bertukar makanan basah lain tetapi tidak mampu,” katanya.
Fazila juga bimbang dengan kemelesatan ekonomi yang dijangka berlaku lagi tahun ini.
"Saya pun tidak mahu banyak berfikir kerana sukar untuk mendapatkan wang tetapi kehidupan perlu diteruskan,” katanya.
Sementara itu, Raja Fauzan Raja Abdullah, 46, mengakui sukar menjalani kehidupan ketika banyak barangan mengalami kenaikan harga.
Bapa dua anak yang bekerja kampung itu berkata, pendapatan mingguannya sekitar RM200 menyebabkannya terpaksa berjimat untuk menampung keluarga.
"Jika RM100, saya boleh berbelanja barang basah sahaja selama tiga hari,” katanya.
Tips perbelanjaan ketika peningkatan kos sara hidup
- Semak dan teliti rancangan perbelanjaan bulanan dan kenal pasti item perbelanjaan yang perlu, kurang perlu dan tidak perlu. Berikan keutamaan ke atas perbelanjaan yang penting dan utama.
- Ubah suai gaya perbelanjaan contohnya kurangkan makan di luar rumah, makanan segera atau perbelanjaan yang sekadar memenuhi tuntutan emosi dan nafsu sahaja.
- Disiplin ketika melakukan perbelanjaan dan catatkan semua perbelanjaan yang telah dibuat.
- Kurangkan aktiviti ke pusat beli-belah atau melayari media sosial yang boleh menggalakkan anda untuk beli-belah.
- Pertimbangkan membeli barangan atau perkhidmatan buatan tempatan.
- Menyediakan juadah atau makanan sendiri mengikut kesesuaian masa dan bajet.
- Bawa bekal ke tempat kerja dan sekolah bagi anak-anak.
- Dapatkan maklumat dan buat perbandingan harga untuk barangan dan perkhidmatan yang ingin dibeli.
- Jangan atau kurang penggunaan kad kredit semasa melakukan pembelian atau perbelanjaan.
- Elak buat keputusan perbelanjaan dan pembelian berdasarkan emosi.
- Jangan buat hutang baharu, jangan pinjam ah long, jangan salah labur.
- Dapatkan nasihat pakar sekiranya anda berhadapan dengan masalah mengurus perbelanjaan.
Klik di sini untuk terus membaca