SHAH ALAM - Perolehan aset pertahanan negara tidak boleh melalui orang tengah, tegas Ahli Persatuan Veteran Cina Angkatan Tentera Malaysia (MACVA), Kapten Dr Wong Ang Peng.
Menurutnya, Kementerian Pertahanan (Mindef) merupakan sebuah kementerian yang paling ‘mahal harganya’ berbanding yang lain kerana banyak aset bernilai tinggi negara berada di bawahnya.
Ujarnya, aset-aset berharga di bawah Mindef seperti pesawat, kapal perang, kereta kebal, kenderaan, peluru berpandu, dron, senjata dan bom.
"Sekiranya perolehan melibatkan aset ketenteraan tidak dikawal dengan baik, ia akan mengakibatkan kerugian besar kepada wang negara,” katanya.
Selain itu, kata Ang Peng, aset-aset tentera yang sudah dibeli harus disediakan proses penyelenggaraan sempurna agar tidak mudah rosak atau tidak berfungsi sekiranya diperlukan.
Untuk itu, tegasnya, kontrak dengan pihak pembekal mesti dikaji sewajarnya dan tidak sewenang-wenangnya diberikan kepada pihak berkepentingan.
"Alat ganti mesti ada dan sentiasa cukup. Jika pesawat tidak diselenggara dengan baik disebabkan middlemen cut corners ataupun berlakunya rasuah semasa proses perolehan, pesawat itu akan menjadi flying coffin (keranda terbang).
"Istilah flying coffin ini memang kekal di minda rata-rata juruterbang tentera udara. Maka seharusnya keselamatan nyawa diutamakan oleh kerajaan dan ia memerlukan perbelanjaan besar untuk menguruskannya.
"Satu lagi perkara penting melibatkan urusan perolehan, Mindef dan Kementerian Kewangan mesti mengadakan prosedur pengawasan yang ketat termasuk mewujudkan lembaga penapis secara berperingkat supaya tidak ada ruang untuk amalan rasuah,” katanya kepada Sinar Premium.
Pada Selasa, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan baginda terhadap aset keselamatan negara khususnya kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah berusia dan perlu ditukar.
Baginda selaku Kepten Yang Dipertua TLDM bertitah, pertukaran aset yang telah berusia itu perlu dilakukan demi memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara dan dalam keadaan siap siaga.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada hari sama juga mendedahkan, banyak lagi ruang tambah baik dalam sistem pertahanan udara negara perlu diisi berbanding sistem pertahanan udara negara jiran yang lebih dilihat ke hadapan.
Selain itu, tegas Mohamad, Malaysia juga berdepan kekangan seperti masalah kekurangan dan kerosakan aset udara serta kuasa tempur di peringkat udara yang amat ketara.
Penganalisis pertahanan, Muhammad Fuad Mat Noor dan Zaki Salleh juga senada bahawa punca utama masalah keusangan aset pertahanan negara bukan kerana Malaysia tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi tetapi akibat terlalu banyak ketirisan dalam perolehan kerajaan.
Malah, kedua-dua mereka mahu semua pihak melihat isu aset pertahanan dan keselamatan negara yang usang secara menyeluruh, termasuk melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Sementara itu, Ang Peng yang juga ahli Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) berkata, selain boleh menjejaskan mutu penghasilan kerana berlakunya isu ketirisan dan rasuah, perolehan aset pertahanan negara melalui orang tengah juga mengundang permasalahan besar apabila spesifikasi atau barangan yang diinginkan tidak mengikut piawaian.
"Kementerian atau pihak terlibat tidak sepatutnya membeli aset-aset ketenteraan melalui syarikat pertengahan kerana ia membuka peluang dan ruang untuk amalan rasuah di dalam transaksi pembelian tersebut.
"Pihak ketenteraan mempunyai kumpulan pakar dalam bidang masing-masing, maka proses perolehan pastinya tidak perlu melalui orang atau syarikat pertengahan,” ujarnya.
Tambah Ang Peng, pemberian tender kepada syarikat milik individu berkepentingan di dalam pentadbiran negara yang tidak mempunyai keupayaan sebenar juga mengundang masalah besar.
Klik di sini untuk terus membaca