TINDAKAN ‘berani mati’ Putera Harry mendedahkan kepincangan keluarga diraja Britain dalam autobiografinya, Spare mendapat reaksi kurang senang dari Istana Buckingham.
Walaupun pihak istana dilihat masih berdiam diri, namun memoir kontroversi Duke of Sussex itu mendapat kecaman meluas beberapa figura penting di United Kingdom (UK) termasuk pengamal media, veteran tentera dan juga Taliban.
Apakah isi kandungan Spare sehingga ia didakwa menconteng arang ke muka keluarga diraja Britain? Spare disifatkan sebagai buku diraja terbesar sejak autobiografi Diana, Her True Story iaitu mendiang ibunya, Puteri Diana yang bekerjasama dengan penulis, Andrew Morton dan diterbitkan pada 1992.
Maka, tidak hairanlah Spare mendapat sambutan hangat pada hari pertama pelancarannya kerana rakyat biasa mahu mengetahui punca sebenar putera berusia 38 tahun itu meninggalkan institusi diraja, selain dianggap sebagai buku yang digarap daripada sumber asli.
Antara kandungan yang didedahkan termasuklah dakwaan serangan fizikal oleh Putera William terhadap Harry, bagaimana beliau hilang teruna kepada wanita lebih berusia, pernah mengambil dadah dan membunuh 25 individu di Afghanistan yang mengundang kecaman serta ejekan.
Autobiografi itu turut menceritakan kehidupan Harry bersama isterinya, Meghan Markle setelah pasangan berkenaan melepaskan keistimewaan diraja pada 2020 dan berpindah ke California, Amerika Syarikat (AS).
DEDAH AIB KELUARGA
Penulis dan kolumnis Daily Mail, AN Wilson lantang mengkritik naskhah Spare yang dianggapnya sebagai mendedahkan aib monarki Britain kepada khalayak umum.
Menurut Wilson, Spare tidak ubah seperti hasil kerja ‘berniat jahat’ dan ‘keji’.
Malah, beliau menyifatkan keputusan Harry membuat pendedahan kepada umum sebagai tidak cerdik.
"Buku itu hanya berjaya membuatkan orang ramai bersimpati kepada keluarga diraja Britain dan bukan dengan dirinya," ujar Wilson.
Akhbar The Sun pula menyatakan bahawa simpati orang ramai kepada Harry atas kehilangan bondanya, Puteri Diana tidak dapat menjadi justifikasi kepada ‘jalan dendam dan kemusnahan’ yang beliau pilih sehingga sanggup mencemarkan nama baik keluarga demi wang berjuta-juta dolar.
Sementara akhbar Guardian pula menyatakan bahawa buku tersebut bukan lagi menumpukan kepada minat pembaca tetapi mendedahkan aib keluarga sendiri kepada umum.
DISERANG ABANG SENDIRI
Menerusi Spare, Harry turut memperincikan bagaimana beliau secara fizikal ‘diserang’ oleh abangnya, Putera William semasa pertengkaran yang berlaku pada 2019.
Berdasarkan catatan Harry, insiden tersebut berlaku semasa beliau dan William berbalah di ruang dapur di kediaman mereka di London.
William memanggil isteri Harry, Meghan Markle sebagai ‘menyusahkan’, ‘biadab’ dan ‘kasar’.
"Dia menarik kolar saya, merentap rantai saya dan menjatuhkan saya ke lantai. Saya tertiarap di atas mangkuk makanan anjing yang menyebabkan tulang belakang saya retak dan serpihan mangkuk yang pecah juga terkena saya,” katanya di dalam buku berkenaan.
‘Alat ganti’Lebih keterlaluan, Harry turut menganggap dirinya sebagai 'alat ganti' kepada William.
Harry secara sinis menyatakan bahawa dirinya sekadar menjadi sandaran jika berlaku perkara buruk terhadap abangnya yang juga pewaris takhta Britain susulan kematian nendanya, mendiang Ratu Elizabeth II pada 8 September tahun lalu.
Menurut Harry lagi, jika perlu menjadi kewajipannya untuk menyediakan ‘alat ganti’ kepada William.
"Buah pinggang, mungkin. Pemindahan darah atau saraf tunjang,” kata Harry dalam autobiografi tersebut.
MENGAKU BUNUH 25 INDIVIDU DI AFGHANISTAN
Pengakuan Harry membunuh seramai 25 individu semasa bertugas di Afghanistan seperti dicatatkan di autobiografinya dianggap angkuh dan mencetuskan kemarahan veteran tentera, selain mendedahkan dirinya kepada serangan balas dendam.
Beliau melakukan dua operasi menentang Taliban, pertama sebagai pengawal udara hadapan yang mengarahkan serangan udara pada 2007 hingga 2008, kemudian menerbangkan helikopter Apache pada 2012 hingga 2013.
Dalam Spare, Harry berkata, beliau melakukan enam misi sebagai juruterbang yang menyebabkannya membunuh manusia.
Harry menyamakan tindakannya menghapuskan ‘musuh’ seperti ‘membuang buah catur daripada papan catur’.
Dalam pada itu, Harry menerusi wawancara eksklusif dengan ITV1 berkata, beliau tidak berniat mencemarkan reputasi keluarga diraja Britain di dalam autobiografinya.
Namun, Harry mengakui susulan penerbitan Spare, jalan perdamaian antara beliau dan abangnya mungkin semakin tertutup.
"Saya hanya mahu mendapatkan semula ayah dan abang saya.
"Tetapi mereka tidak menunjukkan sebarang kesediaan untuk berdamai,” ujarnya. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca