SHAH ALAM - MCA mendakwa naratif kewujudan ‘Langkah St Regis’ hanya cerita rekaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan demi menyelamatkan maruah susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sumber dalaman MCA mendakwa, tuduhan pengkhianatan 10 ahli Parlimen BN dikaitkan dengan Langkah St Regis bagi menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri sewaktu Parlimen tergantung, adalah cubaan menutup kegagalan strategi pilihan raya diguna pakai Ahmad Zahid.
Ujar sumber berkenaan, parti itu tidak pernah mengkhianati BN dan sentiasa bersama gabungan itu pada saat susah mahu pun senang termasuk sewaktu mereka tewas pada dua PRU berturut-turut.
"Malah, pemimpin MCA tidak pernah gagal menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) termasuk hari ini (Jumaat).
"Bagaimanapun, kami kecewa dengan ucapan (dasar) Presiden UMNO sebentar tadi. Apa guna jemput kami jika sekadar dilayan sedemikian.
"Bagi MCA, dakwaan wujud Langkah St Regis hanya mengarut dan direka beliau (Ahmad Zahid) dan Mohamad. Kami tidak mahu masuk campur,” kata sumber terdekat parti itu kepada Sinar Premium pada Jumaat.
Sumber MCA itu mengulas pendedahan oleh Ahmad Zahid mengenai kewujudan Langkah St Regis diatur beberapa ahli Parlimen UMNO bersama pemimpin PN, sehari sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan dimuktamadkan.
Ahmad Zahid dalam pendedahannya berkata, Langkah St Regis bukan sekadar untuk menggagalkan pembentukan Kerajaan Perpaduan, bahkan dianggap satu gerakan menyingkirkan Timbalan Perdana Menteri itu daripada jawatan Pengerusi BN.
Sumber itu menganggap dakwaan Ahmad Zahid berkaitan Langkah St Regis sebagai mengarut kerana tiada ahli Parlimen daripada MCA yang pergi ke Hotel St Regis di Kuala Lumpur pada tarikh diperkatakan.
Turut dipertikaikan adalah motif sebenar Mohamad atau dikenali sebagai Tok Mat yang melabelkan 10 ahli Parlimen BN termasuk dari MCA yang menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin menjadi Perdana Menteri pasca PRU15, sebagai pengkhianat.
Dakwa sumber itu, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN sendiri pernah mengadakan pertemuan sulit dengan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di rumah Ahli Parlimen Larut tersebut selepas keputusan PRU15 diumumkan.
"Apa motif Tok Mat pergi ke rumah Hamzah selepas keputusan PRU15 diumumkan, sedangkan beliau merupakan Timbalan Pengerusi dan Pengarah Pilihan Raya BN yang turut bertanggungjawab mengutip tandatangan SD menyokong Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menjadi Perdana Menteri?” soalnya.
Sumber MCA itu juga mendedahkan terdapat lebih 10 ahli Parlimen BN menandatangani SD menyokong Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, namun ada dalam kalangan mereka tidak menghantar dokumen tersebut.
"Saya malas nak cerita secara mendalam kerana mahu menjaga imej BN. Biarlah (Ahmad) Zahid dan Mohamad nak cakap apa pun kerana Tuhan lebih mengetahui segalanya.
"Kalau dalam dewan tadi mereka boleh cakap wabillahi, watallahi tetapi kemudian keluar kenyataan berlainan, apa saya boleh buat.
"Paling penting, saya ingin tegaskan MCA kekal setia bersama BN,” kata sumber itu yang merupakan pemimpin kanan parti berkenaan.
Sementara itu, seorang pemimpin kanan MIC ketika dihubungi menafikan dakwaan Ahmad Zahid, konon hanya Timbalan Presiden parti, Datuk Seri M Saravanan menjadi pengkhianat kerana menolak menyertai kerajaan dipimpin Anwar.
"MIC membuat ketetapan tidak menyokong mana-mana pihak sama ada PN atau PH. Itu sahaja,” kata pemimpin berkenaan.
Klik di sini untuk terus membaca