RAJA di Malaysia yang pertama menyambut hari keputeraan baginda setiap tahun ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 14 Januari dan hal itu bermakna kesibukan aktiviti terutama di dalam dan sekitar bandar diraja Seri Menanti.
Tahun lalu, sebilangan kecil acara yang mematuhi penjarakan sosial telah kembali diadakan semula selepas Covid-19 menyebabkan pembatalan semua acara pada tahun 2021 tetapi tahun ini, jadual keraian tersebut kembali penuh.
Sambutan bermula dengan Majlis Negeri Sembilan Berselawat pada 5 Januari di padang luar istana. Sekali lagi, Syeikh Habib Zainal Abidin bercakap dengan fasih, kali ini mengenai kepentingan solat dan diapit dengan lagu-lagu pujian kepada Nabi Muhammad SAW serta doa kepada ALLAH SWT termasuk Ya Hanana, Solatullah Salamullah dan Tala al-Badru Alayna. Ia dinyanyikan dengan penuh semangat oleh orang ramai yang telah berkumpul dari seluruh negeri.
Penyataan kasih sayang dan penyembahan melalui muzik mungkin kelihatan luar biasa kepada orang luar serta juga orang Islam dari negeri lain (terutama apabila dalam satu tahun, persembahan itu menampilkan qanun atau sitar, alat muzik bertali yang dipetik) tetapi ia adalah salah satu daripada banyak amalan agama dan budaya yang menjadikan Negeri Sembilan Darul Khusus unik.
Lebih banyak acara kebiasaan telah diadakan. Sabtu berikutnya menyaksikan saya menyertai 400 peserta dalam satu acara larian ria yang diiklankan sebagai lima kilometer tetapi dilaporkan oleh aplikasi larian saya sebagai hampir enam kilometer, yang bukan satu perkara buruk memandangkan keindahan laluan itu melalui hutan menghijau dan ladang-ladang kecil dihiasi oleh rumah-rumah kampung serta aliran tenang anak-anak sungai yang akhirnya bertemu dengan Sungai Muar.
Masa terpantas dikuasai oleh Kelab Pelari Seremban tetapi saya gembira kerana pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Burhanuddin menemani saya di sebahagian besar laluan.
Pertandingan catur menyaksikan 250 peserta dari seluruh Malaysia dan luar negara dengan seorang International Master (IM) dari Rusia bersama-sama berpuluh murid sekolah bawah 12 tahun bersaing untuk kemenangan, di samping pertandingan dart berjalan dengan selamat berhampirannya.
Pada hujung minggu sambutan hari keputeraan itu sendiri, akan diadakan pertandingan tarik tali, pertandingan memancing, kejohanan FIFA (dalam PS4) dan kejohanan sepak takraw.
Kraf tradisional akan dipamerkan daripada batik canting, gubahan bunga dan tradisi tempatan khasnya melipat destar – tengkolok Melayu – dalam pelbagai bentuk.
Ikatan Dendam Tak Sudah ialah gaya paling popular dipaparkan pada wang kertas ringgit negara kita menerusi Yang di-Pertuan Agong pertama, yang merupakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kelapan tetapi setiap gaya ikatan mempunyai mitos asal usul tersendiri.
RANGSANGAN EKONOMI
Semua aktiviti tersebut bagus untuk ekonomi tempatan, dengan hotel yang menempatkan peserta dan keluarga mereka serta gerai makanan yang sudah tumbuh subur. Diharapkan ia dapat memulakan rangsangan pelancongan seperti yang dilambangkan oleh lagu Moh Dogheh nyanyian Datuk Aishah.
Hal tersebut mengingatkan saya pada konsert sempena hari keputeraan, penyanyi Negeri Sembilan termasuk Waris dan Ito (bersama kumpulan Blues Gangnya) mungkin akan membuat persembahan dengan pemain piano undangan juga.
Pada minggu berikutnya, lebih banyak kegiatan intelektual akan merangkumi program khas oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan dan satu lawatan berbasikal bersejarah yang paling unik ke Inas, salah satu luak di sekitar bandar diraja yang membentuk Tanah Mengandung di tengah-tengah negeri.
Sememangnya bentuk pengangkutan itu adalah cara terbaik untuk menghargai bagaimana pada 250 tahun lalu, Raja Melewar dan pengiringnya tiba dari Pagar Ruyung sebagai menyahut undangan memerintah persekutuan baharu Negeri Sembilan merentas selat, menerima pengisytiharan taat setia (dan kadangkala beberapa penentangan!)
Namun, tontonan utama bagi kebanyakan orang adalah perarakan pada pagi hari keputeraan itu sendiri yang disediakan oleh Rejimen Semboyan Diraja (Yang di-Pertuan Besar ialah Kolonel Yang Dipertua Rejimen), kumpulan pancaragam Kor Armor Diraja dan persembahan oleh pelbagai rejimen lain.
Pelantikan selepas itu akan menyaksikan 540 individu dianugerahkan dengan pingat dan anugerah termasuk hanya dua yang membawa gelaran Datuk Seri dan 21 gelaran Datuk daripada bidang penjagaan kesihatan, penguatkuasaan undang-undang, angkatan tentera, dermawan, infrastruktur dan mereka yang telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
Hari keputeraan seorang ketua negeri sememangnya merupakan sebuah acara umum dan menyentuh kehidupan rakyat dalam pelbagai cara, sesuai dengan peranan raja yang berkaitan dengan agama, ketenteraan, sukan, akademik, seni serta kraf dan sudah tentu mengiktiraf perkhidmatan cemerlang kepada negeri.
Tetapi untuk keluarga dan rakan-rakan, hari lahir orang yang disayangi masih merupakan peluang untuk meraikan individu – pencapaian, minat dan matlamat berterusan mereka.
Sempena hari lahir ayahanda saya, saya gembira untuk meraikan kesihatannya yang baik, belas kasihan, pandangan jauh dan kasih sayang baginda kepada keluarga serta negeri.
Selamat menyambut hari lahir ke-75 Papa!
* Tunku Zain Al-‘Abidin merupakan anakanda kedua Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan