PETUNJUK lalat yang terbang selain bau manis antara memori yang tidak dapat dilupakan dalam misi mencari dan menyelamat tragedi kepala air di puncak Gunung Jerai, Kedah pada Ogos 2021.
Menurut pegawai Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohamad Izham Aminuddin, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan itu antara pengalaman berharga yang ditempuhinya sejak bertugas sebagai anggota bomba selama sembilan tahun.
Menceritakan detik ketika melaksanakan tugas SAR itu, jelas beliau, hatinya sebak tatkala bertugas di lokasi tragedi yang telah memasuki hari ketiga.
"Perasaan saya ketika menjejakkan kaki ke lokasi bercampur baur ketika itu, hiba mengenangkan keadaan tempat kejadian melibatkan radius yang agak luas.
"Bayangkan dari keadaan asal yang hanya ada satu anak sungai dipecahkan menjadi antara lima anak sungai, sekali gus menunjukkan kejadian kepala air ini melibatkan arus yang amat deras,” katanya kepada Sinar Harian dalam temu bual khas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 15, Shah Alam, baru-baru ini.
Izham memberitahu, ketika tugasan pertamanya untuk operasi SAR itu, pencarian dilaksanakan menggunakan teknik secara manual di sekitar lokasi.
Jelas Izham, pasukannya ditugaskan kepada beberapa sektor yang melibatkan jarak pencarian sepanjang tujuh kilometer.
Fokus pencarian membabitkan mangsa terakhir yang dilaporkan masih hilang iaitu seorang bekas imam, Ku Shuib Ku Abdullah.
"Setelah operasi memasuki hari keempat tiada petunjuk ditemukan dan saya merasakan pencarian perlu dijalankan menggunakan jengkaut memandangkan lokasi melibatkan banyak timbunan kayu besar.
"Keesokan harinya, jengkaut dibawa ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja menolak kayu besar yang bertimbun di sekitar kawasan calet,” ujarnya.
Jelas beliau, hatinya seakan-akan digerakkan untuk memfokuskan pencarian melibatkan beberapa timbunan melibatkan kayu, motosikal dam juga kereta yang dibawa arus.
LALAT HINGGAP MUKA
Izham berkata, seekor lalat pada mulanya hinggap pada mukanya dan seterusnya terbang ke arah timbunan kayu itu menyebabkan dirinya merasakan ada sesuatu di sebalik timbunan tanah dan kayu.
"Saya kemudian mendekati timbunan tersebut, dan saya dekatkan muka ke dalam lubang di timbunan tersebut yang saya anggarkan berkedalaman enam meter, pada ketika itu saya bau sesuatu yang manis. Ia bukan bau mayat... Ia bau sesuatu yang manis.
"Saya meminta bantuan pemandu jengkaut untuk mengalihkan beberapa batang kayu, ternyata sangkaan saya tepat apabila saya menemukan sekujur tubuh dalam keadaan sempurna di sebalik timbunan tersebut,” katanya.
Menurut Izham, dirinya terpaku seketika apabila mengenangkan keadaan mangsa yang langsung tidak mengalami kesan luka atau cedera parah walhal sudah beberapa hari didapati hilang.
"Mungkin ada sesuatu yang ALLAH mahu tunjuk kepada saya, memang benar, keadaan mangsa dalam keadaan yang amat sempurna, saya masih ingat lagi sewaktu mengambil mangsa keluar dari timbunan itu, wajahnya amat tenang.
"Saya difahamkan arwah merupakan seorang bekas imam dan seorang yang amat disenangi masyarakat sekitar, saya sebak seketika masa itu mengenangkan kejadian," katanya.
Jelas beliau, mayat tersebut yang merupakan mangsa kelima kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Bercerita lanjut, tambah Izham, sepanjang bertugas dalam bomba, menemukan mangsa lemas di Sungai Kandis, Klang antara cabaran yang sukar dilupakan.
"Mangsa warga asing ditemukan tersangkut di perangkap sampah.
"Ketika ambil mayat, keadaan fizikal mangsa yang sudah kembung dan wajahnya yang telah berulat mengakibatkan saya terbayang sehingga kini,” ulasnya.
Kata beliau, peristiwa tersebut sedikit sebanyak memberikan kesan apabila mengakibatkan dirinya tidak berselera menjamah makanan untuk beberapa hari.
"Saya rasa sesuatu tidak selesa selepas kejadian itu, mungkin sebab itu antara pengalaman terawal saya berdepan dengan mayat.
"Namun setelah beberapa kali menempuh pelbagai situasi sama, kejadian sedemikian rupa saya dapat tangani dengan sebaiknya,” ujar beliau.
HORMATI JENAZAH
Bagi Izham, biar pun berhadapan dengan pelbagai situasi dalam menjalankan tugas, dirinya sama sekali tidak pernah gentar malah ia diibaratkan sebagai satu pengalaman yang baharu.
"Berhadapan dengan pelbagai keadaan fizikal mayat ini adalah satu perkara yang biasa, namun sering kali saya tanamkan dalam diri, walau apa jua keadaan mayat yang kita uruskan, hormatilah jenazah tersebut tanpa mengira bangsa dan agama.
"Paling penting adalah uruskan jenazah dengan sebaiknya, seolah kita menguruskan jenazah ahli keluarga sendiri dan letakkan sepenuhnya kebergantungan kepada ALLAH agar setiap urusan dipermudahkan,” katanya.
Bagi dirinya, setiap kali keluar bertugas, belum tentu beliau dapat pulang pada hari yang sama.
"Setiap hari cuti, saya akan manfaatkan waktu yang ada sebaiknya bersama anak dan isteri, begitu juga sebelum keluar bertugas, saya sering kali ingatkan diri, yang saya belum tentu dapat pulang ke rumah selepas bertugas.
"Pelbagai cabaran yang saya perlu tempuhi sewaktu bertugas, yang mana risiko itu sentiasa ada, namun perkara tersebut harus ditangani dengan sebaiknya dan bagi saya, penguat dalam diri adalah isteri dan anak-anak,” jelasnya.
Tambah beliau, tahap fizikal dan mental adalah antara aspek paling penting dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anggota bomba.
Izham menambah, aspek ini perlu dipastikan berada pada tahap terbaik bagi memastikan setiap tugasan yang dipertanggungjawabkan berjalan dengan lancar.
"Berkhidmat sebagai seorang anggota bomba bukan sahaja memerlukan fizikal dalam keadaan terbaik malahan mental juga harus bersedia menghadapi apa jua situasi,” katanya.
Izham berkata, semangat berpasukan dalam pasukan bomba penting dalam memastikan setiap operasi yang dilaksanakan berjalan dengan lancar.
"Bertugas sebagai seorang anggota bomba ini tidak boleh bekerja secara individu, kalau seorang saja memang tidak akan jadi dan tugasan yang dilaksanakan tidak akan sempurna.
"Selain daripada itu, bertugas sebagai seorang anggota bomba amat memerlukan semangat berpasukan yang tinggi, dan itu antara komitmen yang kami harus berikan dalam memastikan setiap operasi berjalan dengan lancar,” katanya.
Izham mengakui sejak berkhidmat selama sembilan tahun sebagai seorang anggota bomba menjadikan dirinya sentiasa 'mencintai' kerjaya yang diceburi tersebut.
- PROFIL
NAMA:Mohamad Izham Aminuddin
UMUR: 35
LATAR BELAKANG PERKHIDMATAN
Memasuki perkhidmatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebagai pembantu awam pada tahun 2014 Menjalani latihan rekrut sebagai anggota bomba pada tahun 2015 Bertugas sebagai jurulatih di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Kubu Bharu bermula 2015 sehingga 2018 Berpindah ke Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 Shah Alam pada 2018 sehingga kini Menjalani latihan khusus sebagai pegawai Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada 2019 dan bertugas sehingga kini.
- INFO
Antara mangsa yang maut dalam tragedi kepala air dan banjir lumpur di Gunung Jerai, Yan, Kedah Ahmad Din, 64 Shahruzi Mohamad, 53 Zainol Morad, 66 Mohamad Faizal Mohd Zohir, 28 Ku Shuib Ku Abdullah, 91 Ridwan Poniman, 61.
- Unit Special Tactical Operation and Rescue Team of Malaysia (STORM) Tugas utama yang dilaksanakan oleh unit khas ini adalah : Operasi menyelamat di waktu malam Operasi menyelamat berskala besar atau di altitud tinggi.
Operasi menyelamat di dalam hutan Operasi Menyelamat di udara dan laut Operasi menyelamat jentera udara/ kapal terbang atau helikopter.
STORM adalah pasukan yang ditugaskan untuk berfikir di luar kotak dan bekerja di luar kemampuan dalam menjalankan operasi menyelamatkan mangsa terutama melibatkan tragedi besar.
Klik di sini untuk terus membaca