TAHUN 2023 bakal menjadi tahun yang mencabar bagi kebanyakan ekonomi membangun termasuk Malaysia, dengan unjuran pertumbuhan global kurang memberangsangkan dan mungkin akan berpanjangan.Walaupun prospek pertumbuhan domestik Malaysia akan... Klik di sini untuk terus membaca

TAHUN 2023 bakal menjadi tahun yang mencabar bagi kebanyakan ekonomi membangun termasuk Malaysia, dengan unjuran pertumbuhan global kurang memberangsangkan dan mungkin akan berpanjangan.

Walaupun prospek pertumbuhan domestik Malaysia akan terus positif, prospek ekonomi global yang lemah dan ketidaktentuan geopolitik berkemungkinan akan memberi kesan kepada negara perdagangan terbuka seperti Malaysia.

Sejak dahulu lagi saya percaya untuk mengharungi badai ini, Malaysia perlu tingkatkan kerjasama sesama negara ASEAN. Dengan populasi 660 juta orang di mana rantau ini bukan sahaja sebuah pasaran mega, tetapi juga berpotensi untuk menahan kejutan luaran.

Semasa Forum Megatrends Khazanah (KMF) 2022 pada Oktober tahun lalu, saya ada menyebut bahawa ASEAN perlu berusaha kukuhkan rantaian bekalan intra-ASEAN terutamanya untuk sekuriti makanan dan tenaga.

Jika platform ASEAN dimanfaatkan sepenuhnya, rantau ini mampu menjadi kuasa penggerak untuk mewujudkan kestabilan dan kemakmuran untuk rakyatnya.

Oleh itu, lawatan rasmi pertama ke luar negara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini ke Indonesia yang merupakan Pengerusi ASEAN tahun ini amat bersesuaian. Sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), saya gembira menjadi sebahagian daripada lawatan kerja yang sangat produktif ini.

Saya telah lama berpendapat bahawa Indonesia dengan 280 juta penduduknya amat penting untuk ‘strategi ASEAN’ mana-mana perniagaan atau negara termasuk Malaysia. Malaysia dan Indonesia boleh dikatakan mempunyai ‘hubungan istimewa’ berbanding negara-negara lain di ASEAN. Kita berkongsi ikatan sejarah, budaya, kulinari dan bahasa yang berusia ribuan tahun.

Tetapi kepentingan Indonesia bukan hanya berdasarkan kisah silam, tetapi juga masa kini. Ia adalah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan sumber pelaburan langsung asing (FDI) ketiga terbesar dalam ASEAN. Jumlah perdagangan adalah kira-kira AS$23.8 bilion pada tahun 2021, pertumbuhan 45.5 peratus tahun ke tahun berbanding tahun 2020.

Dengan pembukaan semula sempadan kita pada tahun 2022, jumlah perdagangan 2022 mungkin akan tumbuh melebihi 30 peratus tahun ke tahun. Dari Januari hingga November 2022, perdagangan dua hala kita melebihi AS$27 bilion, 33 peratus lebih tinggi daripada 2021.

Dalam membawa hubungan ini ke hadapan, sudah tiba masanya penggubal dasar kedua-dua negara bersama- sama mengenal pasti industri penting dan kritikal yang boleh ditingkatkan tahapnya.

Sehubungan itu, sembilan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia dan Indonesia dalam pelbagai sektor semasa lawatan Perdana Menteri tempoh hari sangat bertepatan. Sembilan MoU yang dimeterai (termasuk dua agensi di bawah MITI) mewakili nilai kumulatif sebanyak RM1.66 bilion.

Saya juga berbesar hati dapat menyerahkan 11 Surat Niat daripada syarikat Malaysia kepada Pak Bambang Susantono, ketua Pihak Berkuasa yang menyelia Ibu Kota Negara Nusantara, (IKN).

Ini jelas menggariskan sokongan Malaysia terhadap usaha mengurangkan tekanan di Jakarta dengan mengalihkan ibu kota mereka dan menerapkan pembangunan ke seluruh Nusantara terutama kawasan timur Indonesia yang kaya dengan pelbagai sumber.

Semasa lawatan rasmi itu, jelas wujud kemesraan, kepercayaan dan keakraban antara kita, bukan sahaja pada tahap kerajaan, tetapi juga di peringkat perniagaan dan rakyat yang kini perlu kita manfaatkan untuk sama-sama membentuk masa depan ASEAN lebih berdaya tahan.

KOMITMEN

Sebagai permulaan, kita perlukan komitmen untuk memudahkan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan bukan sahaja di peringkat negara, tetapi juga antara negeri-negeri Malaysia dan wilayah-wilayah Indonesia.

Dalam hal ini, kita perlu mengenal pasti dan memudahkan pengeksport dan PKS peringkat pertengahan dari Malaysia dan Indonesia yang merupakan penggerak utama untuk pengembangan ekonomi. Ini akan memastikan pertumbuhan yang lebih inklusif dan bakal dinikmati oleh mereka di luar bandar, bukan hanya di Jakarta dan Kuala Lumpur dan tidak terhad kepada syarikat korporat besar.

Hal-hal ini adalah antara topik perbincangan saya semasa bertemu dengan rakan sejawatan yang kebanyakannya telahpun menjadi sahabat selama bertahun-tahun iaitu sejak saya menjadi CEO bank serantau sebelum tahun 2020.

Mereka termasuk Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Pak Luhut Binsar Pandjaitan; Menteri Badan Usaha Milik Negara, Pak Eric Thohir; dan Menteri Perindustrian, Pak Agus Gumiwang Kartasasmita. Saya juga menghargai peluang untuk membincangkan hubungan istimewa Malaysia-Indonesia dengan Ibu Retno Marsudi, Menteri Luar Negeri Indonesia, sambil ‘mengopi’ dengan beliau.

Pertemuan mesra delegasi kami bersama Presiden Joko Widodo (Jokowi) jelas menampakkan keterbukaan beliau untuk meneruskan kerjasama dalam pelbagai perkara. Salah satunya ialah keperluan untuk membentuk dan melabur dalam masa depan kita bersama. Sebagai contoh pembangunan IKN di mana saya berpendapat bahawa Malaysia juga mempunyai kepentingan strategik dalam kejayaannya.

IKN akan memangkin pertumbuhan, infrastruktur dan kesalinghubungan (termasuk dengan Asia Timur serta rantau Pasifik) bukan sahaja untuk Indonesia Timur tetapi juga Sabah dan Sarawak, yang akan berkongsi Pulau Borneo/Kalimantan dengan ibu kota baharu itu.

Apa yang baik untuk Nusantara sudah tentu juga bermanfaat untuk Sabah dan Sarawak serta Malaysia dan Indonesia secara keseluruhan. Jadi, sementara IKN masih di peringkat perancangan adalah wajar bagi Malaysia untuk mencari peluang di sana - terutamanya berbekalkan pengalaman kita membangunkan Putrajaya.

Banyak syarikat Malaysia juga telah berjaya melabur di Indonesia sepanjang dua dekad lalu dalam sektor seperti kewangan, telekomunikasi, infrastruktur dan perladangan.

Saya bukan sahaja mengadakan perbincangan mendalam mengenai perkara ini, tetapi juga sesi jamming yang menyeronokkan bersama Pak Basuki Hadimuljono, Menteri Kerja Raya dan Perumahan Rakyat Indonesia, yang sememangnya seorang pemain dram yang bagus! Melangkah ke hadapan, saya optimis aliran perdagangan dan pelaburan rentas sempadan dengan Indonesia akan terus berkembang.

Lebih penting lagi, apabila Indonesia dan sektor perniagaannya semakin maju, peniaga Indonesia harus melihat Malaysia sebagai sebuah platform yang baik untuk mengembangkan operasi perniagaan mereka ke persada antarabangsa. Syarikat-syarikat Malaysia seterusnya, akan mendapat manfaat daripada kerjasama, kepakaran dan pengalaman rakan-rakan mereka di Indonesia.

Sesungguhnya, setiap negara mempunyai kekuatan masing-masing yang harus dimanfaatkan negara lain dalam membina ASEAN lebih berdaya tahan.

Disokong oleh hubungan istimewa Indonesia-Malaysia, ASEAN mampu menjadi benteng pertumbuhan, keamanan dan kestabilan walaupun bakal berdepan kemelesetan ekonomi global.

* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

Klik di sini untuk terus membaca