SHAH ALAM - Usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan sebagaimana dikemukakan dalam sesi perbahasan ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 pada Jumaat, bukanlah satu usul selari dengan perlembagaan parti.
Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, usul tambahan itu sebaliknya bersifat usul biasa di mana, sekiranya diluluskan sekali pun, tidak mengikat pilihan ahli-ahli UMNO.
Jelas beliau, usul itu adalah sama seperti usul pendidikan, ekonomi dan kebajikan dikemukakan perwakilan dipilih bagi membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO pada setiap kali PAU diadakan.
"Mana-mana usul tambahan berkaitan pindaan perlembagaan parti mesti dibawa ke mesyuarat agung khas (EGM) dengan dimasukkan dalam agenda dan diketahui perwakilan UMNO lebih awal.
"Dalam soal usul tambahan dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan, ia sekadar usul bersifat biasa yang tidak mengikat ahli-ahli UMNO selagi mana pindaan perlembagaan parti berkenaan perkara itu tidak dilaksanakan.
"Dengan usul itu hanya dikemukakan perwakilan Negeri Sembilan di peringkat perbahasan PAU 2022, saya kira terpulang kepada ahli parti untuk ikut atau tidak,” jelasnya kepada Sinar Premium.
Beliau mengulas usul tambahan dikemukakan perwakilan dari Negeri Sembilan yang menggesa agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang dijangka diadakan pada Mei nanti.
Ketika ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan kesediaan dicabar mana-mana pemimpin parti itu dalam pemilihan akan datang, di sebalik tuntutan 126 ketua bahagian dan ketua sayap-sayap UMNO agar jawatan itu tidak dipertandingkan.
Antara pemimpin UMNO berpotensi mencabar dua jawatan ‘Top 2’ UMNO itu ialah Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Sementara itu, Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn berkata, ruang pertandingan jawatan dalam parti perlu terbuka berlandaskan perlembagaan UMNO bagi memastikan polemik perdebatan siapa pengkhianat sebenar parti dinoktahkan.
Tegasnya, sama ada UMNO hendak bersama Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) nanti, biarlah akar umbi yang menentukan hala tuju parti menerusi pemilihan UMNO kelak.
"Adakah adil hanya satu pihak dipersalahkan sewaktu polemik pembentukan kerajaan baharu yang melibatkan UMNO hari ini, sedangkan kedua-duanya membuat pendirian berbeza demi kepentingan permaslahatan parti.
"Sekiranya ruang demokrasi pemilihan parti tidak dilaksanakan sepenuhnya, saya tidak nampak polemik siapa pengkhianat UMNO ditamatkan, sebaliknya parti dibimbangi terjerumus ke lembah kehancuran,” luah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat itu.
Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Labis, Norrulhuda Marsidin mengakui tidak terkejut dengan usul tambahan dikemukakan perwakilan Negeri Sembilan berkenaan dan percaya perkara itu sudah dirancang.
Beliau percaya keseluruhan 2,800 perwakilan UMNO yang hadir PAU 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) tidak akan bersetuju dengan usul tambahan sedemikian dengan jeritan ‘boo’ oleh sebilangan besar mereka menjadi bukti jelas.
"Presiden UMNO kata ready to fight, jadi mengapa pula ada pihak yang takut pertandingan dua jawatan tertinggi parti berlaku? Semua pihak kena yakin dengan pilihan akar umbi dan saya percaya para perwakilan PAU 2022 tidak akan meluluskan usul berkenaan,” tegasnya.
Klik di sini untuk terus membaca