SHAH ALAM - Jangan perjudikan nyawa pejuang negara kerana mahu berjimat dan menyediakan peruntukan dalam sektor berkepentingan lain.
Pengerusi Rasuah Busters Selangor dan Wilayah Persekutuan, Prof Madya Dr Hamdan Daniel berkata, kerajaan seharusnya memberi jaminan keselamatan terhadap kesejahteraan negara dan nyawa anggota keselamatan negara yang sedia berjuang di medan perang.
Menurutnya, isu keselamatan dan kedaulatan negara harus diutamakan, malah diletakkan pada aras paling tinggi melebihi perkara lain.
Sehubungan itu katanya, aset dan kelengkapan sistem pertahanan negara perlu ditambah baik dari masa ke masa, selain dipertingkatkan keupayaan selari dengan peredaran zaman serta menggunakan teknologi terkini.
"Jangan ada kecelakaan disebabkan kita cuba untuk berjimat, baru kita mahu mengambil tindakan. Ia sudah terlambat.
"Pastikan aset-aset pertahanan negara yang sudah lama ditambah baik atau diganti baharu. Bukan sampai hendak lihat ada nyawa pejuang negara terkorban kerana mahu berjimat atau sebagainya.
"Adakah kejadian helikopter jenis Nuri dan jet pejuang terhempas, baru kita hendak tamatkan perkhidmatan aset tersebut. Adakah kita perlu lagi ada peristiwa sebegitu?,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Pelantikan Pengerusi Rasuah Busters Selangor dan Wilayah Persekutuan serta Perancangan Rasuah Busters 2023 di Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin.
Menurut Hamdan, dari aspek kewangan, barisan kepimpinan negara sewajarnya perlu bijak mendapatkan peluang dan berusaha mendapatkan sumber kewangan negara termasuk membawa pelabur luar ke Malaysia.
Selain itu katanya, pihak kerajaan juga harus memanfaatkan pakar-pakar ekonomi yang ada bagi mencari jalan menambah pendapatan negara, sekali gus menyelamatkan Malaysia daripada muflis.
Beliau berkata, alasan tidak mahu menambah baik dan menggantikan aset pertahanan negara kerana kesempitan kewangan adalah tidak boleh diterima.
"Kita kena ingat benteng keselamatan negara adalah perkara yang sangat penting dan sama sekali tidak boleh diceroboh sewenang-wenangnya oleh pihak luar.
"Maka negara memerlukan aset-aset canggih dan berteknologi tinggi, namun pada masa yang sama, kerajaan kena pastikan ketelusan dalam proses pembelian aset negara dan elak berlakunya isu ketirisan akibat salah guna kuasa.
"Jangan pula ada tangan ghaib yang cuba membuat keputusan, sebaliknya berilah kuasa kepada mereka yang mahir dan tahu selok-belok jenis aset yang diperlukan oleh negara,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca