MINGGU lalu, isu mengenai konsert Jay Chou, seorang artis muzik Taiwan yang bertaraf antarabangsa dan perlawanan bola sepak anjuran AFF antara Harimau Malaya dengan pasukan Thailand hangat diperkatakan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Jay Chou bakal menganjurkan konsert besar-besaran pada 15 Januari ini, manakala aksi separuh akhir pertama antara skuad Harimau Malaya dan pasukan Thailand pula berlangsung pada 7 Januari lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pihak penganjur konsert memerlukan masa awal untuk mendirikan pentas yang agak besar dan telah memulakan kerja-kerja pembinaan pentas tersebut sebelum perlawanan bola sepak yang dinanti-nantikan itu berlangsung.
Maka, kapasiti stadium untuk perlawanan telah dikurangkan daripada 80,000 penonton kepada 59,000 penonton. Sebanyak 21,000 kerusi dikosongkan akibat pembinaan pentas konsert.
Menurut sumber awam, penetapan tarikh konsert Jay Chou jauh mendahului tarikh Piala AFF dan penyediaan konsert tersebut telah bermula seawal 13 Mac 2019, manakala tempahan tarikh bagi Piala AFF pula dilakukan pada 18 Ogos 2022.
Susulan pengurangan kapasiti penonton perlawanan, ramai penyokong Harimau Malaya membanjiri ruangan komen Instagram Jay Chou, melemparkan kata-kata kesat dan tidak senonoh, malah ada juga berbaur perkauman.
Penyokong-penyokong Harimau Malaya menuntut agar konsert Jay Chou sama ada ditunda atau dibatalkan untuk memberi laluan kapasiti penuh di ruangan penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena perlawanan antara Harimau Malaya dan pasukan Thailand.
Bagi peminat-peminat Harimau Malaya, perlawanan tersebut melibatkan semangat kenegaraan dan harus diberikan keutamaan berbanding konsert yang berunsurkan hiburan.
Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut menyindir Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bahawa beliau tidak menggunakan kuasa sebagai menteri untuk menangguhkan konsert Jay Chou.
Kurang sopan
Namun, setelah isu tersebut menjadi hangat dalam kalangan media antarabangsa dan tempatan, ramai tampil untuk mengutuk mereka yang bersikap kurang sopan terhadap Jay Chou serta pihak penganjur.
Mereka berpendapat perbuatan mereka di ruangan komen Jay Chou telah memalukan rakyat Malaysia dan menyebabkan imej negara terjejas di pentas antarabangsa.
Maka, lagi ramai rakyat Malaysia berbilang kaum memohon maaf kepada Jay Chou di platform media sosial artis tersebut.
Pada pendapat saya, imej dan reputasi Malaysia adalah jauh lebih tinggi daripada jumlah ruangan penonton sesebuah perlawanan bola sepak.
Pertama, pihak Stadium Nasional Bukit Jalil telah berjanji dan membenarkan tarikh untuk penyediaan serta penganjuran satu konsert dahulu. Itu adalah satu perjanjian yang harus dihormati.
Pihak stadium seharusnya mempertimbangkan perihal tersebut sebelum membenarkan tarikh yang berdekatan kepada pihak lain.
Jika amanah tersebut dimungkiri, imej negara pasti akan terjejas secara negatif dan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia akan berkurangan.
Kedua, saya bandingkan antara imej negara dengan kekurangan kapasiti penonton, imej negara jauh lebih penting dan seharusnya diberikan keutamaan.
Perlawanan tersebut tidak ditunda mahupun dibatalkan untuk memberi laluan kepada konsert. Berkenaan isu tersebut, hanya kapasiti penonton yang berkurang dan tidak seharusnya diuar-uarkan seolah-olah ia adalah suatu agenda kebangsaan.
Ketiga, kesopanan dan kesusilaan adalah salah satu prinsip Rukun Negara. Kita harus mengingati prinsip tersebut, bukan sahaja dalam negara, malah mempertahankan prinsip itu khususnya sewaktu berdepan dengan pihak antarabangsa.
Mereka yang kurang sopan terhadap seseorang yang tidak melakukan kesalahan perlu memohon maaf.
*Tai Zee How, juga dikenali sebagai YouTuber Apek Cina, ialah seorang peguam dan pemerhati politik
Klik di sini untuk terus membaca