LOGIKNYA, kenapa kita perlu fikir apa orang lain fikir mengenai kita? Hendak fikir masalah sendiri pun, sudah letih berfikir.
Namun, pernyataan di mulut tidak sama dengan apa yang ada di hati dan otak kita.
Kenapa begitu? Tentunya kerana sikap yang sentiasa mengejar kesempurnaan menyebabkan kita mengelak daripada melakukan kesilapan dan tidak mahu orang lain mengetahui kepincangan kita.
Justeru, banyak tindakan kita adalah bertujuan memenuhi kehendak orang lain walaupun nilai dan perwatakan diri sebenar hampir lenyap.
Sebetulnya, memikirkan apa orang lain kata kepada kita dapat diringkaskan kepada ‘takut orang kata’. Apabila menjadi tabiat, hendak pilih baju untuk ke majlis kenduri pun menjadi rimas dan kalut kerana ‘takut orang kata’.
Apatah lagi, hendak membuat aktiviti dan keputusan hidup yang lain. Lama kelamaan, kita akan takut keluar rumah kerana sindrom ‘takut orang kata’ telah membelenggu minda dan jiwa.
Menurut perspektif psikologi, sikap ‘takut orang kata’ atau berprasangka adalah berkaitan dengan gejala mind reading atau membaca minda .
Secara prinsipnya, mind reading adalah tabiat berfikir dengan membuat jangkaan bahawa orang lain mengetahui apa yang difikirkan tanpa memberitahu mereka, apa yang sedang kita fikirkan.
Selain itu, membuat jangkaan apa orang fikir terhadap kita tanpa memberi peluang kepada mereka memberitahu kepada kita, apa yang sedang difikirkan tentang kita atau bertanya hal sangkaan kita kepada mereka. Pelikkan?
Sesungguhnya gejala mind reading sangat bahaya kerana walaupun dengan hanya sedikit bukti dan kadangkala tidak ada sebarang bukti pun yang mengaitkan kebenaran sangkaan berkenaan, namun peratus kepercayaan terhadap sangkaan itu adalah sangat tinggi.
Paling ditakuti, lama kelamaan menjadi sebahagian rules of living atau tatacara kehidupan bahawa betapa pentingnya mengambil kira sangkaan orang lain terhadap kita dalam kehidupan seharian.
Menurut perspektif Islam, sangkaan buruk amat ditegah sejajar dengan firman ALLAH SWT: "Sesungguhnya zhan (sangkaan) tidak menandingi kebenaran walau sedikit pun.” (Surah Yunus, 10:36).
Selain itu, Nabi SAW bersabda: "Jauhilah prasangka buruk kerana prasangka buruk adalah ucapan paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi dan saling membenci. Jadilah kalian hamba-hamba ALLAH yang bersaudara.” (Hadis Riwayat Bukhari).
Pada hemat saya, gejala ‘fikir apa orang lain fikir’ dapat ditangani dengan beberapa kaedah, antaranya kita perlu buang sifat ‘takut tidak sempurna’ di dalam diri kita.
Ia kerana hidup ini penuh dengan ketidaksempurnaan. Selain itu, kita tidak boleh mengawal apa telahan dan tanggapan orang lain kepada kita.
Apa yang kita boleh kawal adalah menjauhi berfikir buruk terhadap mereka. Selain itu, kita perlu pohon pertolongan daripada ALLAH SWT agar dijauhi sikap tersebut.
Berkaitan dengan pertolongan daripada ALLAH SWT, saya amat tertarik dengan kupasan perbualan seorang ulama dengan muridnya menerusi buku Talbis Iblis oleh Ibnul Jauzi.
Tanya ulama kepada anak muridnya: "Jika kamu melalui sekawanan kambing, secara tiba-tiba anjing yang menjaga kambing menyalak dan cuba menyerang kamu, apakah yang perlu kamu lakukan?”Jawab muridnya: "Dengan penuh keringat dan kudrat, aku akan berusaha melawan anjing tersebut.”Balas gurunya lagi: "Jika masih menyalak dan menyerang kamu, bagaimana perlu dilakukan?” Jawab muridnya: "Aku akan melawan lagi.” Balas gurunya: "Proses tersebut agak lambat dan mengambil masa. Sebenarnya cukup bagi kamu untuk meminta tolong kepada pemilik kambing tersebut supaya dia mencegah anjingnya menyerang kamu.” Besarnya pertolongan ALLAH SWT. Semoga kita dijauhi ‘racun prasangka’.
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca