SHAH ALAM - Penubuhan Majlis Ulama UMNO lebih dilihat bertujuan mewujudkan saingan kepada Pas yang berjaya meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setelah menguasai segmen pengundi Melayu terutama anak muda.
Bagaimanapun, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman tidak melihat agenda penubuhan majlis itu sebagai satu keutamaan UMNO pada saat ini.
Sebaliknya, beliau berpandangan UMNO perlu bangkit mencari jalan bagi menawan sokongan pengundi muda yang memberi undi kepada Perikatan Nasional (PN) dan Pas pada PRU15.
"Namun, masih tidak jelas bagaimana mereka hendak mempengaruhi generasi akan datang dengan mewujudkan golongan celik politik dan nilai-nilai keutuhan negara, bangsa dan agama.
"Saya rasa itu lebih relevan daripada penubuhan Majlis Ulama UMNO. Mereka harus tahu taktik peperangan media baharu untuk memenangi minda anak muda seperti mendominasi aplikasi TikTok. Generasi ini yang akan menguatkan sokongan masa hadapan dan kuasa politik,” katanya kepada Sinar Premium.
Pada Jumaat, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu akan menubuhkan Majlis Ulama UMNO seiring dengan usaha melebarkan lagi jaringan parti itu.
Katanya pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, penubuhan majlis itu juga menjadi cerminan kesediaan parti untuk menjalin kerjasama bukan sahaja dalam kalangan rakan gabungan parti tetapi juga badan bukan kerajaan (NGO) lain.
Mengulas lanjut mengenai cabaran UMNO dalam menubuhkan Majlis Ulama, Abdul Aziz berpandangan parti itu harus tahu bagaimana hendak meyakinkan kedudukan UMNO bersama DAP di samping meningkatkan peranan ulama.
"Mungkin akan timbulnya rasa bersalah UMNO dari segi optik. Peranan terbesar UMNO adalah untuk meyakinkan rakyat bahawa sungguhpun UMNO bersama DAP, parti itu masih memastikan peranan ulama sentiasa wujud," katanya.
Selain itu, Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa berkata, Majlis Ulama dapat menguatkan lagi prinsip UMNO sebagai sebuah parti yang berjuang mendukung cita-cita agama Islam berlandaskan perlembagaan parti itu.
"UMNO tidak pernah lari dari tujuan menjaga agama seperti yang tercatat dalam Perkara 3.1, Perlembagaan UMNO yang mana parti ini setia menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"UMNO mempunyai ramai tokoh-tokoh agama sejak dahulu seperti Tan Sri Yusof Nor, Datuk Seri Ismail Ibrahim dan Datuk Dusuki Ahmad. Oleh itu, penubuhan ini akan mengukuhkan lagi tujuan dan peranan UMNO dalam menjaga agama Islam,” katanya.
Tambahnya, biarpun parti itu berada dalam landasan yang sama dengan DAP, ia tidak menggoyahkan prinsip UMNO dalam memelihara perihal agama Islam mahupun mengeruhkan hubungannya dengan Pas.
"Kerjasama dengan DAP hanyalah kerjasama politik. Saya tidak rasa penubuhan ini akan mengeruhkan hubungan dengan mana-mana parti politik, bahkan langkah ini dapat memantapkan lagi tanggungjawab dan peranan UMNO dalam menjaga hal ehwal dan nama baik agama Islam,” katanya.
Dalam pada itu, veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Ab Samad berpandangan, Majlis Ulama UMNO itu meningkatkan taraf biro-biro agama dalam parti tersebut.
"Di dalam Majlis Kerja Tertinggi UMNO, kita mempunyai pegawai yang menjaga biro agama. Sekiranya Majlis Ulama diwujudkan, ahli ulama yang berada di luar parti akan dapat membantu UMNO dari segi perjalanan, pemikiran dan aktiviti parti dalam bidang keagamaan.
"Oleh demikian, penubuhan Majlis Ulama UMNO konsisten dengan keadaan serta perjuangan UMNO dari segi agama dan bangsa serta selari dengan perlembagaan UMNO,” katanya.
Tambahnya, Majlis Ulama UMNO ini juga boleh menjadi semak dan imbang kepada perjuangan DAP sekiranya menyentuh isu sensitiviti umat Islam di negara ini.
"Apabila UMNO duduk dalam kerajaan, kita boleh menjadi pemerhati. Majlis Ulama ini mungkin dapat membantu UMNO dalam semak dan imbang idea dan perjuangan DAP yang mungkin menyentuh sensitiviti orang Islam," tegas bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu.
"Contohnya isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD). Dengan adanya Majlis Ulama UMNO, cadangan seperti ini dapat dibahas dan dikawal supaya keputusan boleh diputuskan oleh kedua belah pihak, bukan hanya DAP.
-TAMAT-
Klik di sini untuk terus membaca