Pendedahan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengenai pembabitan 10 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dalam gerakan ‘Langkah St Regis’ hakikatnya menimbulkan 1,001 persoalan berhubung pihak mana layak digelar... Klik di sini untuk terus membaca

Pendedahan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengenai pembabitan 10 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dalam gerakan ‘Langkah St Regis’ hakikatnya menimbulkan 1,001 persoalan berhubung pihak mana layak digelar pengkhianat parti.

Bahkan, sebilangan penganalisis politik melihat pendedahan Ahmad Zahid itu sekadar ‘drama’ bertujuan memburukkan pasukan lawan menjelang pemilihan UMNO yang dijangka diadakan pada bulan Mei ini.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, tindakan Ahmad Zahid melabelkan 10 Ahli Parlimen BN tidak bersetuju naratif kerjasama UMNO-BN menyertai Kerajaan Perpaduan, dipercayai bertujuan menutup kegagalan beliau dan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan memenangkan parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jeniri berkata, Ahmad Zahid juga ingin menepis dakwaan bahawa dirinya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah lama merancang penggabungan BN bersama Pakatan Harapan (PH) bagi mentadbir Putrajaya sejak pra-PRU15.

"Ahmad Zahid mahu semua pemimpin dan penyokongnya akur dengan keputusan beliau selaku ketua parti.

"Jadi jalan terbaik untuk Ahmad Zahid meraih kepercayaan mereka adalah dengan mendedahkan nama ‘pengkhianat’ kepada ahli parti menerusi persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022,” katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium.Untuk rekod, pendirian No Anwar, No DAP, No Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) diputuskan perwakilan UMNO pada PAU 2021 bagi menolak sebarang kerjasama politik dengan tiga parti itu sebelum PRU15.

Namun pasca PRU15, Ahmad Zahid mengambil keputusan bergabung dengan PH untuk membentuk Kerajaan Perpaduan selepas berlakunya situasi Parlimen tergantung.

DILEMA PERWAKILAN

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, naratif Langkah St Regis ditimbulkan dalam PAU 2022 sebenarnya mengundang dilema perwakilan UMNO sama ada mereka perlu terima secara bulat-bulat atau mempertimbangkannya sebagai salah satu strategi kem penyokong Ahmad Zahid bagi menjayakan ‘Langkah Dewan Merdeka’.

Ini kerana terdapat usul tambahan dikemukakan perwakilan Negeri Sembilan sewaktu perbahasan ucapan dasar Presiden UMNO pada Jumaat, menuntut dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti kelak.

"Sebagai contoh, kumpulan 10 ahli Parlimen berkenaan mungkin mendakwa mereka berpegang kepada keputusan PAU 2020 yang memutuskan No Anwar, No DAP. "Bagi kumpulan penyokong Ahmad Zahid pula, mereka mengingatkan pihak lawan supaya jangan lupa parti pernah membuat ketetapan 'No Bersatu' menerusi PAU 2021.

"Perwakilan UMNO kini tersepit sama ada mahu menerima naratif Langkah St Regis secara bulat-bulat, atau mempersoalkan sama ada ia sebahagian Langkah Dewan Merdeka diatur kem penyokong Presiden parti,” ujarnya.

Hisommudin turut mempersoalkan sama ada kumpulan 10 ahli Parlimen terlibat menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Pengerusi PN menjadi Perdana Menteri sebelum tertubuhnya Kerajaan Perpaduan, bakal dikenakan tindakan disiplin walaupun ‘dimaafkan’ oleh Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid bersama Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ahmad menghadiri Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu.

"Justeru, saya membayangkan kelompok 10 ahli Parlimen BN itu tidak dikenakan sebarang tindakan disiplin atas beberapa pertimbangan.

"Pertama, jika mereka dikenakan tindakan disiplin, maka Ahmad Zahid akan dilihat sebagai takut dalam pemilihan UMNO nanti.

"Kedua, tindakan itu menutup ruang demokrasi dalam UMNO dan menjejaskan imej Ahmad Zahid dalam kalangan ahli parti mahupun persepsi umum,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Strategi, Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB di Universiti Sunway, Profesor Dr Wong Chin Huat pula mengandaikan tindakan Zahid memainkan naratif pengkhianatan parti dalam PAU 2022, boleh merisikokan kestabilan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Chin Huat berkata, perkara itu mungkin berlaku sekiranya BN mengambil keputusan drastik memecat 10 ahli Parlimen ‘pengkhianat’ BN tersebut, sekali gus membolehkan mereka menyertai PN tanpa perlu mengosongkan kerusi masing-masing."Kalau kumpulan 10 ahli Parlimen itu ialah pengkhianat, adakah BN akan memecat mereka?

"Kalau ya, maka BN dan kerajaan pimpinan Anwar akan hilang 10 kerusi dan mereka akan bebas menyertai PN.

"Kalau tidak, apa tujuannya melabelkan pemimpin yang tidak sehaluan dengan Presiden UMNO sebagai pengkhianat?

"Demi kebangkitan semula UMNO dan kestabilan kerajaan campuran, perkara paling penting diperlukan UMNO adalah persaingan dalaman sihat dan bersifat kekeluargaan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca