Peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) memberi kesan kepada rakyat apabila pinjaman yang membabitkan pembiayaan kadar apungan seperti pinjaman rumah perlu membayar kadar faedah lebih tinggi. Di sebalik kenaikan OPR itu, rakyat perlu tahu... Klik di sini untuk terus membaca

Peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) memberi kesan kepada rakyat apabila pinjaman yang membabitkan pembiayaan kadar apungan seperti pinjaman rumah perlu membayar kadar faedah lebih tinggi.

Di sebalik kenaikan OPR itu, rakyat perlu tahu bahawa ia bertujuan untuk memastikan kestabilan harga dan kemapanan pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang.

Penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, perkara tersebut sememangnya tidak dapat dielakkan namun pelbagai langkah turut dicadang agar rakyat tidak terkesan lebih teruk pada masa akan datang.

Antara yang dicadangkan adalah penjadualan semula bayaran pinjaman, subsidi bersasar kepada peminjam serta kaedah memperlahankan ekonomi agar kadar inflasi tidak terus meningkat.

Bagi golongan yang terkesan pula, kerajaan disaran mengadakan moratorium bersasar dengan melihat paras pendapatan semasa, obligasi hutang atau perbelanjaan dan tinjauan aliran tunai pelanggan sebagai panduan jelas untuk memastikan pelaksanaan tersebut lebih berkesan.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, Diana Azis bersama Aimi Zulhazmi bagi mengetahui lebih lanjut cadangan yang disarankan serta memahami kesan kenaikan kadar OPR kepada institusi kewangan dan rakyat.

Aimi Zulhazmi

SINAR HARIAN: Boleh Prof terangkan mengenai OPR dan keperluan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadarnya.

AIMI ZULHAZMI: Pertamanya, kita perlu faham situasi ekonomi negara setelah melalui pandemik Covid-19 yang menyebabkan berlakunya Perintah Kawalan pergerakan (PKP) selama dua tahun (2020 dan 2021). Ketika itu negara mengalami kemelesetan ekonomi di mana pada 2019 kadar OPR berada di tahap tiga peratus. Apabila ekonomi diperlahankan kerana PKP, BNM telah menurunkan serta-merta kadar OPR kepada 1.75 peratus ketika itu.

Dalam keadaan kemelesetan, kita mengalami pengecutan ekonomi terutamanya pada suku kedua 2019 sehingga 17 peratus. Situasi semasa itu dibawa ke waktu sekarang dengan pemberian moratorium kepada rakyat. Apabila ekonomi dibuka semula, berlakunya perkembangan, pembukaan ekonomi dan peningkatan harga barangan. Oleh itu ramai yang mengatakan tidak adil untuk menaikkan kadar OPR.

BNM diamanahkan untuk mengawal ekonomi negara terutama dari segi kawalan mata wang, inflasi dan sebagainya. Polisi OPR sebenarnya adalah pinjaman antara bank, jadi ada satu pasaran khusus yang dipanggil pasaran modal (capital market) melibatkan kaedah islamik dan komersial.

Pasaran modal adalah penjualan sekuriti yang kurang dari tempoh matang iaitu setahun. Bukan hanya bank-bank berdagang dalam pasaran ini, tetapi semua institusi kewangan di Malaysia seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji (TH) serta pengurus kewangan asing yang melabur, membeli dan menjual sekuriti kewangan kurang dari setahun, menerusi pasaran kewangan (money market).

Apabila BNM menurunkan kadar OPR, ada pelabur yang keluar dan apabila ia dinaikkan semula adalah semata-mata untuk memastikan pelabur mempunyai keuntungan. Kalau hanya turun dan tidak dinaikkan, pelabur akan berpindah ke pasaran kewangan dunia yang lain. Contoh seperti yang berlaku di Turkiye, Jepun dan Sri Lanka. Secara tidak langsung, mata wang negara tersebut merosot.

Apabila pelabur mahu keluar dari Malaysia melalui penjualan sekuriti atau keluar daripada pasaran mata wang, mereka akan jual ringgit dan beli mata wang lain. Apabila berlaku dengan banyak, menyebabkan pengeluaran mata wang meningkat sekali gus nilai ringgit jatuh. Oleh itu kita perlu faham mengapa BNM perlu melindungi atau menstabilkan nilai ringgit.

SH: Sekiranya kadar OPR tidak dinaikkan, apa kesannya kepada ekonomi Malaysia dan rakyat secara keseluruhannya?

Jika BNM tidak menaikkan kadar OPR bermaksud kadar pinjaman antara bank tidak menarik pelabur asing. Apa yang akan berlaku adalah pelabur akan jual semula ringgit dan membeli dolar Amerika Syarikat sehingga menyebabkan nilai ringgit jatuh.

Apabila nilai ringgit jatuh, kesan jangka panjang adalah melibatkan harga import barangan ke negara ini. Sebagai contoh, kita import barangan sehingga RM63 bilion setahun berbanding RM55 bilion pada 2020, kita dapati banyak harga meningkat.

Perkara ini turut berlaku kepada mata wang Jepun apabila mereka menurunkan kadar faedah, begitu juga kepada Turkiye. Ini memberi kesan yang buruk, kita mahu kadar faedah diturunkan tetapi dalam masa sama akan memberi impak kepada harga barangan.

SH: Kesan peningkatan OPR ini cukup dirasai rakyat. Bagaimana untuk mengimbangi kesan ini dengan keperluan desakan yang terpaksa diambil oleh BNM?

Aimi Zulhazmi

Rakyat mendapat moratorium ketika pelaksanaan PKP selain kadar pinjaman bulanan yang diturunkan, namun apabila kadar OPR dinaikkan, kadarnya meningkat. Peminjam amat terbeban terutama mereka yang meminjam dengan faedah kadar apungan (floating rate).

Pandangan saya, di sinilah kita memerlukan campur tangan daripada kerajaan, BNM dan Kementerian Kewangan untuk mengesyorkan kepada bank-bank supaya tidak hanya menghantar surat kepada peminjam untuk menyatakan kadar pinjaman telah dinaikkan, malah turut menyatakan klausa ‘sila hubungi pihak bank sekiranya tidak mampu membayar jumlah dinyatakan.’

Ia boleh dijadualkan semula untuk memanjangkan tempoh pinjaman mengikut kemampuan peminjam. BNM boleh mengeluarkan arahan sebegitu.

Sekiranya ada golongan yang terkesan teruk, mungkin boleh diadakan moratorium bersasar di samping penjadualan semula pembayaran pinjaman.

Semua pihak harus bekerjasama termasuk peminjam bagi memastikan situasi menang-menang kepada semua pihak terlibat.

-SH: Adakah dengan pelaksanaan moratorium bersasar akan menjejaskan kedudukan institusi kewangan seperti bank?

Saya bagi contoh, ketika pemberian moratorium diperkenalkan pada 2020, dua bank telah mengumumkan peningkatan keuntungan yang tertinggi. Ini secara tidak langsung bermaksud, pemberian tersebut tidak menjejaskan bank, sumber kewangan bank adalah pinjaman jangka panjang. Bank membuat keuntungan daripada unit perbendaharaan yang berdagang di pasaran kewangan.

Ada bank isytihar muflis ketika pelaksanaan moratorium? Tiada. Cuma ketika moratorium dilaksanakan, bank tidak dapat mengenal pasti profil pelanggan (profile customer). Ini memberi kesulitan kepada pihak bank.

Seharusnya apabila diadakan moratorium bersasar, bank menjadualkan semula pembayaran pinjaman, perlu dilihat daripada faktor faedah atau kadar keuntungan, bagaimana ia boleh membantu peminjam.

Jangan hanya menekan, apabila pemberian moratorium dilaksanakan selepas ini, perlu diadakan faedah (kerana) tidak mahu ketika dapat bayar semula, dilonggokkan jumlah terkumpul. Kita harus saksama, tidak menekan.

Mengapa bank tidak mahu memperkenalkan moratorium bersasar? Dari segi kebiasaan, mereka (pihak bank) tidak mahu mendahului BNM atau Kementerian Kewangan. Mereka mahu jadikan inisiatif ini daripada kerajaan, seperti budaya lama. Mungkin ada bank-bank yang telah menghubungi peminjam untuk menawarkan penjadualan semula namun tidak dihebahkan kepada media.

Kita harus melihat inisiatif ini perlu dijalankan kerana banyak negara luar seperti Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Singapura yang menaikkan kadar OPR. Selain itu 65 bank pusat dunia juga menaikkan kadar faedah masing-masing.

Bukan BNM sahaja buat begitu, kebanyakan negara turut lakukan perkara sama. Jadi kita perlu faham suasana jangka panjang kenapa ia perlu dilaksanakan.

SH: Kemungkinan OPR akan naik dua kali lagi ekoran tekanan inflasi. Situasi ini secara tidak langsung akan menghimpit perbelanjaan rakyat. Jadi apa yang sepatutnya dilakukan bagi membantu golongan terkesan?

Saya pernah sampaikan cadangan berkenaan pemberian moratorium dan penjadualan semula pinjaman kepada pihak yang bertanggungjawab. Saya juga cadangkan subsidi pembayaran yang belum pernah dilaksanakan.

Subsidi bersasar adalah subsidi atas pinjaman. Sebagai contoh, kadar bayaran balik pinjaman adalah RM500 sebulan sebelum ini dan telah naik kepada RM580. Apa yang boleh dilakukan adalah kerajaan memberikan subsidi bersasar sebanyak RM80 atas kenaikan tersebut. Ia perlu disalurkan kepada bank dan peminjam masih kekal membayar sebanyak RM500.

Cadangan ini boleh dibuat kerana kita ada data, tahu siapa yang mempunyai kenaikan tinggi (merangkumi) golongan pendapatan dan sebagainya. Di pihak kerajaan pula, mereka akan sesuaikan data tersebut dengan pihak bank terlibat, mungkin tolak cukai dan sebagainya.

Ini pendekatan baharu yang belum pernah dibuat, kerajaan subsidikan kadar kenaikan dikenakan kepada peminjam.

SH: Pada pandangan Prof adakah cadangan ini sesuai dilaksanakan dalam situasi ekonomi sekarang?

Boleh, bagi saya kita harus memikirkan sesuatu di luar kotak. Apa yang berlaku sekarang terlalu mengikut ‘buku’. Jadi kita harus fikirkan solusi di zaman yang tidak pernah melalui peristiwa unprecedented (belum pernah berlaku sebelum ini).

Ini cadangan saya (dan) mungkin persatuan bank atau BNM mempunyai solusi lebih baik lagi. Namun harus disampaikan kepada kerajaan misalnya menerusi dasar fiskal dan sebagainya.

SH: Ada pakar menyatakan bahawa OPR tidak akan mampu menyelesaikan isu inflasi bagi tempoh jangka panjang sebaliknya pengeluaran barangan perlu ditingkatkan bagi mengimbangi penawaran dalam pasaran. Apa pandangan Prof?

Betul, jika dilihat dari segi statistik apabila BNM menaikkan kadar OPR sehingga satu peratus pada tahun lalu, kadar inflasi tidak menurun. Tetapi kita harus faham ada dua sebab mengapa inflasi meningkat.

Pertama adalah disebabkan oleh kos pengeluaran yang semakin meningkat, harga barangan keperluan juga naik disebabkan oleh harga tinggi bahan mentah. Kedua pula melibatkan permintaan yang menyebabkan inflasi meningkat.

Contoh semasa PKP, banyak industri tidak dibenarkan beroperasi tetapi apabila sudah dibuka, permintaan terhadap bahan mentah semakin meningkat, namun bekalan terhad. Kalau ditambah dengan OPR, memberi kesan kepada rakyat, tetapi apabila ia tidak dinaikkan, ringgit jatuh. Barang yang kita import akan lebih mahal. Kesan berganda yang akan kita dapat.

SH: Adakah ada kaedah lain selain daripada meningkatkan OPR untuk mengawal inflasi?

Selain meningkatkan kadar OPR, boleh juga cuba memperlahankan ekonomi dan mengurangkan permintaan (walaupun) di satu pihak ekonomi sedang pulih dan satu pihak lagi kita cuba memperlahankan ekonomi. Ini kerana kita tidak mahu kenaikan permintaan yang tinggi ekoran inflasi melibatkan permintaan dan penawaran.

Sebagai contoh, orang fikir nak beli kereta tetapi dengan peningkatan kadar faedah sehingga 3.5 peratus, mungkin tak perlu beli dahulu. Itu cara nak mengurangkan permintaan dan memperlahankan ekonomi supaya inflasi dapat dikawal. Oleh itu perlu diseimbangkan dengan dasar fiskal, bagaimana kerajaan membantu bank peminjam dengan cadangan tadi untuk mengurangkan kadar pinjaman.

Kita tidak boleh marah kepada BNM kerana kenaikan OPR. Jika ia tidak dilaksanakan (kenaikan), ekonomi akan lebih teruk. Namun dikhabarkan, inflasi di Amerika Syarikat pada Disember lalu menurun dan ini memberikan ruang untuk bernafas terutamanya kepada kenaikan yang disasarkan, tidak akan menaikkan setinggi dahulu. Malaysia menaikkan satu peratus (kadar OPR), atau paling tinggi lagi 1.25 peratus. Tetapi harus ada sesuatu daripada kerajaan terutama dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan nanti bagaimana untuk membantu rakyat.

SH: Apa jangkaan Prof untuk suku pertama dan kedua 2023 dari sudut ekonomi global termasuk Malaysia.

Malaysia antara negara perdagangan 'top 30' di dunia dan mengamalkan ekonomi terbuka, maka apa yang akan berlaku di negara luar seperti peperangan dan sebagainya, akan memberi kesan kepada negara ini terutamanya harga barangan makanan yang diimport.

Apa yang berlaku seperti peperangan antara Rusia dan Ukraine, akan memberi kesan dan dikhabarkan dunia akan mengalami kemelesetan ekonomi. Saya jangkakan Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan tetapi ekonomi akan perlahan.

Apabila kita membuat perbandingan pada 2023 dan 2022, julat perbandingan jadi tinggi berbanding 2022 dan 2021.

Pada 2022, ekonomi meningkat sehingga lapan peratus, tetapi jangkaan pada 2023 peningkatan mungkin setakat empat peratus. Bagaimanapun, banyak lagi isu-isu yang sebenarnya memberikan kesan pada suku pertama tahun ini iaitu peperangan dan harga minyak dunia jatuh disebabkan jangkaan ekonomi akan meleset.

Namun dari sudut positif, pembukaan ekonomi China banyak memberi kesan baik ekoran negara itu adalah rakan perdagangan paling besar bagi Malaysia.

Aimi Zulhazmi

Bagaimanapun, saya jangkakan ekonomi pada suku pertama dan kedua tahun ini akan perlahan tetapi pada suku ketiga dan keempat nanti apabila inflasi semakin terkawal dan berlakunya pemulihan ekonomi global, ia akan kembali membangun.

Oleh yang demikian, kerajaan perlu mempergiatkan ekonomi domestik supaya tidak melalui kemelesetan dijangkakan tadi.

SH: Bagaimana pula dengan kenaikan OPR nanti, adakah akan terhenti setakat 3.25 peratus atau boleh naik lagi?

Kebanyakan bank pusat menyasarkan jumlah itu, bermakna dah sampai hujung, begitu juga BNM. Kalau melebihi 3.25 peratus, ia sudah mencapai tahap tidak produktif kepada ekonomi Malaysia, bermakna kadar faedah pinjaman meningkat, pinjaman bank turut akan terima tekanan dan memberi kesan kepada pengeluaran barangan.

Kita harapkan begitu (tidak meningkat), kecuali berlakunya penyebaran virus seperti Covid-19 atau peperangan seperti Rusia dan Ukraine.

Saya juga mahu menyarankan kepada rakyat dan persatuan pengguna untuk menghubungi pihak bank termasuk BNM, dapatkan khidmat nasihat tentang bagaimana mereka boleh membantu sekiranya OPR terpaksa dinaikkan lagi.

Kita harus mencari solusi, cara bagaimana boleh membantu rakyat agar tidak terbeban dengan kenaikan kerana OPR bukan hanya Malaysia sahaja yang terkesan, malah satu dunia.

Kita harus bekerjasama untuk mencari solusi lebih baik agar ekonomi negara semakin berkembang dalam mendepani cabaran akan datang.

Klik di sini untuk terus membaca