PROVIDENCE - Seorang hakim di Rhode Island, Amerika Syarikat (AS) mendapat perhatian dunia kerana cara pengendalian serta keputusannya di mahkamah. Biar pun bertugas di AS, Hakim Frank Caprio sangat dikagumi di negara Arab sehingga ada yang... Klik di sini untuk terus membaca

PROVIDENCE - Seorang hakim di Rhode Island, Amerika Syarikat (AS) mendapat perhatian dunia kerana cara pengendalian serta keputusannya di mahkamah.

Biar pun bertugas di AS, Hakim Frank Caprio sangat dikagumi di negara Arab sehingga ada yang menggelarnya sebagai 'The merciful judge' kerana beliau sangat berhati-hati sebelum menjatuhkan hukuman.

Beliau kelihatan berlembut hati setiap kali mengendalikan kes terutamanya melibatkan kanak-kanak, pasangan suami isteri dan juga imigran.

Semua kes dikendalikan Caprio dirakam adiknya, Joseph dan ditayangkan menerusi program televisyen, Caught in Providence sejak 2000 serta turut dimuat naik di YouTube.

Satu daripada kes yang mendapat perhatian ramai membabitkan seorang wanita Syria yang didakwa melanggar lampu isyarat merah pada Disember 2019.

Apabila kes itu disebutkan di mahkamah, wanita itu hadir bersama suami dan anaknya, Mahsa yang berusia 8 tahun.

Keterangan Mahsa turut memainkan peranan penting dalam keputusan Caprio kerana ibunya tidak fasih berbahasa Inggeris.

Sepanjang perbicaraan Mahsa menjadi penterjemah di mana dia akan berbahasa Arab dengan ibunya dan menjelaskan mengapa ibunya melanggar lampu isyarat merah kepada Caprio dalam bahasa Inggeris.

Ibu bapa Mahsa tampil di mahkamah Providence untuk perbicaraan kes melanggar lampu isyarat merah. Gambar kecil: Caprio meminta bantuan Mahsa menterjemah soalannya daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Arab.

Caprio: Sila tampil ke hadapan.

Ibu Mahsa: Hai, saya tidak fasih berbahasa Inggeris. Hanya tahu berbahasa Arab, anak perempuan akan bantu saya.

Caprio: Kamu di sini untuk tolong ibu? Kamu tolong terjemah, katakan kepada ibu kamu bahawa dia telah melanggar lampu isyarat merah dan tanya ibu adakah dia mahu katakan sesuatu kepada saya?

Ibu Mahsa: Saya kurang faham. Saya baru menetap di sini selama tiga tahun.

Ibu Mahsa kemudian menjelaskan sesuatu kepada anaknya dalam bahasa Arab.

Mahsa: Ibu tidak tahu peraturan lalu lintas di sini.

Caprio: Baiklah, katakan kepada ibu kamu bahawa dia telah melakukan kesalahan kerana memandu laju di kawasan sekolah. Apa alasannya?

Mahsa: (Selepas mendapat penjelasan bahasa Arab dari ibunya) Oh memandu laju kerana pada hari itu saya kurang sihat.

Caprio: Oh kamu kurang sihat. Mari sini (berdiri di sebelah Caprio). Siapa nama dan berapa umur kamu?

Mahsa: Nama saya Mahsa. Saya berumur lapan tahun.

Caprio: Di mana kamu bersekolah?

Mahsa: Di sekolah rendah Greystone Tiger.

Caprio: Apa subjek kegemaran kamu?

Mahsa: Matematik.

Caprio: Matematik? Bagus sekali. Kamu nak jadi apa bila dewasa nanti?

Mahsa: Jadi seorang doktor.

Caprio: Doktor? (memandang ibu Mahsa), satu hari nanti kita perlukan dia. Jadi, tadi kamu dengar penjelasan ibu kamu?

Mahsa: Ya.

Caprio: Jadi apa pendapat kamu mengenai penjelasannya. Adakah ia bagus atau boleh dipertimbangkan?

Mahsa: Saya rasa ia biasa-biasa saja.

Caprio: (kepada ibu Mahsa) Biasa-biasa saja? Baiklah Mahsa, jika diberi pilihan, kamu boleh mendenda dia AS$50 (RM216) atau mendendanya separuh daripada jumlah asal atau tidak mendendanya langsung. Jadi apa keputusan kamu berdasarkan penjelasan ibu?

Mahsa: AS$50! (kamar mahkamah dipenuhi dengan gelak ketawa).

Caprio: Sekarang saya mahu tanya satu lagi soalan. Adakah kamu mahu mempertimbangkan semula keputusan ini? Bapa kamu ada di sini?

Mahsa: Ya.

Nama Caprio dikenali ramai selepas kes perbicaraan mahkamahnya ditayangkan menerusi program televisyen, Caught in Providence sejak 2000 serta turut dimuat naik di YouTube.

Caprio: Baiklah. Ibu kamu ada di sini dan bapa kamu juga ada di sini. Jadi adakah kamu mahu menarik balik denda itu?

Mahsa: Saya mahu mempertimbangkannya.

Caprio: Pertimbangkannya? Baiklah, jika begitu berapa jumlah denda yang sepatunya dikenakan?

Mahsa: Tiada.

Caprio: Jika begitu, sila ketuk tukul dan umum kes digugurkan.

Mahsa: (menghentak tukul) Kes digugurkan (orang ramai di kamar mahkamah bertepuk tangan).

Caprio: (kepada bapa Mahsa yang berdiri di sebelah isterinya) Selamat tengah hari tuan. Kamu mempunyai seorang anak yang bijak. Satu hari nanti dia akan menjadi doktor yang hebat. Dia akan menyelamatkan banyak nyawa dan sudah tentu membanggakan kamu berdua. Kamu menjalankan tugas yang sempurna sebagai ibu bapa.

Mahsa terima kasih membantu saya.

Mahsa: Sama-sama.

Caprio: (kepada ibu bapa Mahsa) Apa bahasa pertuturan kalian?

Ibu bapa Mahsa: Bahasa Arab.

Caprio: Sebolehnya saya ingin membantu tetapi saya tidak tahu berbahasa Arab.

Bapa Mahsa: (Berbahasa Inggeris tunggang langgang) Kami bertiga baru di sini. Tiga tahun. Saya minta maaf.

Caprio: Dari mana kamu berasal?

Bapa Mahsa: Syria.

Caprio: Syria? Kamu lebih selesa menetap di sini (Rhode Island) atau Syria?

Mahsa kemudian menterjemah soalan Caprio ke dalam bahasa Arab kepada ibu bapanya.

Bapa Mahsa: Oh, di sini. Kami pilih tinggal di sini.

Caprio: Di sini? Oh jadi selamat datang ke Amerika!

Rakaman perbicaraan berjudul 'Welcome to America' itu telah dimuat naik di YouTube dan sehingga kini telah mendapat lebih enam juta tontonan dan hampir 150,000 tanda 'like'. - Agensi

INFO FRANK CAPRIO:

- Berusia 86 tahun (dilahirkan pada 24 November 1936).

- Caprio adalah anak kepada pasangan imigran berasal dari Teano, Itali.

- Semasa kecil, Caprio sering membantu bapanya yang bekerja sebagai penghantar susu.

- Melanjutkan pengajian di Universiti Providence dan menamatkan pengajian undang-undang di Universiti Suffolk, Boston dan menjadi ahli Persatuan Peguam Rhode Island sejak 1965.

- Caprio pernah terpilih menjadi anggota kongres nasional Parti Demokrat Rhode Island pada 1970.

- Dua anaknya, Frank T Caprio dan David A Caprio adalah ahli politik mewakili Parti Demokrat di Rhode Island.

Klik di sini untuk terus membaca