KESAHIHAN status keahlian parti sewaktu bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diambil kira dalam menentukan keputusan empat Ahli Parlimen Sabah yang keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Isnin. Bekas... Klik di sini untuk terus membaca

KESAHIHAN status keahlian parti sewaktu bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diambil kira dalam menentukan keputusan empat Ahli Parlimen Sabah yang keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Isnin.

Bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, perkara itu perlu ditentukan terlebih dahulu sama ada keempat-empat ahli Parlimen terbabit iaitu ahli Bersatu atau ahli berdaftar dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sewaktu bertanding PRU.

Menurut beliau, isu kesamaran fakta perlu diputuskan berikutan terdapat kenyataan bercanggah mengenai status empat ahli Parlimen itu sebelum ini.

"Isu perlembagaannya mengikut pendapat saya adalah sama ada seseorang yang bertanding di bawah bendera gabungan dianggap melompat parti apabila mereka meninggalkan parti komponen gabungan tersebut.

"Terdapat juga satu isu fakta iaitu sama ada ahli Parlimen yang berkenaan merupakan ahli GRS ataupun ahli Bersatu semasa mereka bertanding pada PRU15 lalu,” katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Sebelum ini, Speaker Parlimen, Datuk Johari Abdul berkata, nasib empat Ahli Parlimen Sabah yang bertindak keluar daripada Bersatu, namun kekal dalam koalisi GRS akan ditentukan sama ada perlu mengosongkan kerusi masing-masing atau sebaliknya pada Isnin.

Empat Ahli Parlimen tersebut ialah Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Matbali Musah (Sipitang), Datuk Armizan Ali (Papar) dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau).

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, tugas pertama Speaker Dewan Rakyat adalah menentukan sama ada wujud kekosongan kerusi Parlimen seperti didakwa selain status keahlian parti empat ahli Parlimen berkenaan.

"Mengikut Perkara 49 (A) Fasal 3, apabila seorang Speaker menerima notis bertulis daripada ahli Dewan tentang wujudnya pengosongan kerusi, maka beliau hendaklah menentukan ada atau tidak pengosongan kerusi tersebut.

"Seterusnya, dalam membuat keputusan berhubung isu empat ahli Parlimen ini, Speaker perlu mendapatkan dan meneliti lebih lanjut segala maklumat berkaitan.

"Antara maklumat perlu diteliti adalah status keahlian ketika bertanding PRU15, sama ada mereka keluar Bersatu sebelum atau selepas PRU15 serta kesahihan sama ada mereka benar-benar ahli individu koalisi GRS,” katanya lagi.

Persoalan status keahlian adalah paling utama untuk dijawab bagi membolehkan keputusan sama ada pengosongan kerusi adalah wajar atau sebaliknya.

Mohamed Haniff Khatri berkata, mengambil kira banyak kesamaran dalam fakta berkaitan status keahlian empat ahli Parlimen terbabit, beliau tidak menolak kemungkinan permasalahan itu akan berakhir di mahkamah.

"Ini boleh berlaku jika mana-mana pihak terlibat tidak berpuas hati dengan keputusan diumumkan Speaker kelak."Oleh kerana ia melibatkan takrifan dalam Perlembagaan, maka boleh dibawa ke mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, jika keputusan mengarahkan keempat-empat kerusi dikosongkan, maka Speaker perlu memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari daripada tarikh terima notis dan SPR mempunyai 60 hari untuk mengadakan pilihan raya kecil.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah, Dr Romzi Ationg pula berpendapat, keputusan bakal diumumkan nanti, mungkin menjadi asas naratif baharu dalam politik Sabah.

"Apa sahaja keputusan Speaker Dewan Rakyat pada Isnin, dinilai rakyat. Penilaian tersebut menimbulkan sikap dan pandangan baharu tentang politik Sabah,” katanya ringkas.

Klik di sini untuk terus membaca