PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setelah menyemak fail-fail di Kementerian Kewangan setakat ini, beliau menjumpai banyak kecurangan yang keterlaluan.
Tetapi katanya, urusan siasat bukanlah urusan beliau. Tugas beliau adalah menetapkan dasar dan tegakkan prinsip ketelusan serta kebertanggungjawaban.
Beliau membuat kenyataan tersebut dalam hantaran media sosial selepas berjumpa Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan Terengganu di Dewan Senat, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 12 Januari lalu.
Siasat yang beliau maksudkan itu adalah siasat bagi tujuan diambil tindakan undang-undang. Ia kerja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Namun, beliau ada kuasa untuk membuat siasatan dalaman bagi tujuan tindakan tatatertib, menampal kebocoran dan meningkatkan prestasi perbelanjaan kerajaan.
Kita tahu, SPRM hari-hari menyiasat dan menahan orang yang disyaki. Ramai juga yang dihadapkan ke mahkamah walaupun tidak semua yang sabit kesalahan.
Sesetengah yang didakwa itu mampu mendapatkan khidmat peguam bela terbaik, seakan-akan mereka banyak duit.
Boleh jadi baik kalau kita ikut cara Indonesia yang pada suatu masa dahulu terkenal dengan rasuah tetapi hari ini muncul sebagai negara paling gigih dan berjaya membanterasnya.
Mereka bukan sahaja ada Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) macam SPRM tetapi mereka juga menubuhkan mahkamah khas, Pengadilan Tindak Pidana Korups bagi membicarakan kes-kes rasuah.
Boleh jadi tidak ada kemampuan atau tidak praktikal untuk menyiasat dan menghadapkan semua yang terlibat ke mahkamah.
Namun, dengan mengambil sebanyak mungkin tindakan, kita akan mencegah wabak tersebut daripada merebak.
Nampaknya masih ramai belum serik seperti digambarkan oleh siasatan ke atas beberapa orang yang terlibat dengan pemberian kontrak rundingan terus di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Covid-19 zaman pemerintahan Perikatan Nasional (PN).
Mungkin orang macam ini belum cukup yakin bahawa kerajaan serius memerangi rasuah dengan pemenjaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seorang.
Apatah lagi, beberapa orang yang lain telah dibebaskan oleh mahkamah.
Jadi, adalah satu langkah baik apabila SPRM menebarkan ‘jala’ seluas yang mungkin dan di sebanyak lubuk yang boleh untuk menangkap sebanyak jenis perasuah yang termampu, tidak kira kecil, besar atau sederhana, ahli politik dan suku-sakat mereka, kakitangan awam, kontraktor atau segala macam orang tengah.
Agensi-agensi lain yang berkaitan dengan kewangan awam seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Ketua Juruaudit Negara juga wajib siasat penemuan Perdana Menteri itu.
Kita faham Perdana Menteri sengaja hendak berdiplomasi dengan penjawat awam apabila beliau menggunakan istilah ‘ketelanjuran’ sebagai punca berlakunya kecurangan yang beliau sendiri anggap keterlaluan.
Anwar wajib menterjemahkan teguran dan amarannya itu dalam bentuk tindakan yang tegas serta nyata.
Kalau tidak, ikrar beliau mengenai ketelusan dan kebertanggungjawaban akan dalam bahaya dianggap sebagai klise semata-mata.
Untuk itu, beliau perlu mendapat sokongan SPRM dan semua agensi pelaksana agar kebocoran serta ketirisan perbelanjaan kerajaan akibat rasuah dan ketidakcekapan dapat diatasi.
Maka, dengan itu rakyat jelata akan mendapat faedah lebih besar dalam suasana ekonomi yang semakin sukar.
Dalam jangka waktu singkat sejak menjadi Perdana Menteri pada 24 November lalu, Anwar dan penasihatnya tentu sedar bahawa penarafan langsung dan tidak langsung oleh pasaran kewangan, mata wang serta agensi antarabangsa terhadap kerajaan beliau masih teragak-teragak.
Beliau perlu mendapatkan pengiktirafan yang lebih baik dan bersungguh-sungguh untuk meyakinkan pelabur kembali melabur di Malaysia.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca