Ramai tidak menyedari sejarah adalah elemen penting membina tamadun sesuatu bangsa. Para pemikir juga sering mengatakan bahawa sejarah pasti akan berulang. Menoleh ke belakang menelaah sejarah akan membawa seseorang itu maju ke hadapan.... Klik di sini untuk terus membaca

Ramai tidak menyedari sejarah adalah elemen penting membina tamadun sesuatu bangsa. Para pemikir juga sering mengatakan bahawa sejarah pasti akan berulang.

Menoleh ke belakang menelaah sejarah akan membawa seseorang itu maju ke hadapan. Begitulah juga keadaannya dalam bidang perundangan. Kedudukan undang-undang sebenarnya tidak boleh lari dari aspek sejarah. Sejarah itu sendiri yang melakar perundangan masa kini.

Bagi memahami perundangan masa kini, kita perlu menelusuri sejarah negara. Ia disebabkan undang-undang itu sendiri bukan tiba-tiba muncul tetapi mempunyai sebabnya tersendiri kenapa ia digubal.

Perlembagaan Persekutuan juga mempunyai sejarahnya sendiri. Bukan menjelma saat negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Ia hanya meneruskan kemahuan anak watan.

Kesinambungan susun atur masyarakat telah berlaku sebelum Perlembagaan digubal. Bukanlah sifat Perlembagaan itu mengetepikan apa yang telah diaturkan dan membuat aturan baharu selepas kemerdekaan negara.Oleh itu, dalam memahami setiap peruntukan perlembagaan, seseorang mesti mengkaji sejarah perlembagaan dan perundangan negara. Paduan akan diperoleh dengan betul jika kita mengkaji sejarah perlembagaan itu sendiri.

Contohnya, ramai ketika ini mula mempertikaikan keistimewaan agama Islam dalam Perlembagaan. Golongan berkenaan mengatakan bahawa semua agama adalah sama dan perlu dilayan sama rata oleh pihak kerajaan. Golongan itu juga sering mempertikaikan kemudahan dan kelebihan diberikan kepada agama Islam dan menuntut agama-agama lain juga diberikan hak sama.

Sebagai penjelasan, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi agama lain boleh dianuti dan diamalkan dengan aman serta harmoni.

Tidak ada nama agama lain selain Islam yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan. Fakta itu sahaja sudah memadai menyatakan terdapat kelebihan yang diberikan kepada agama Islam.

Namun, jika kita menelusuri sejarah, kita akan dapati memang sebenarnya Islam telah diberikan tempat tinggi dalam perundangan negara sejak sebelum penjajahan lagi. Raja-raja Melayu sebagai ketua agama bertindak sebagai pelindung kepada agama Islam.

Hak asal pentadbiran sebenarnya dimiliki oleh negeri-negeri yang diketuai oleh raja-raja Melayu. Apabila negara mencapai kemerdekaan, raja-raja Melayu menyerahkan sebahagian kuasanya kepada Persekutuan.

Islam mengikut sejarah tidak hanya diamalkan dalam ritual tertentu tetapi lebih sebagai suatu cara hidup yang lengkap dan sempurna. Orang bukan Melayu sebelum kemerdekaan pula diberikan kerakyatan Tanah Melayu dengan persetujuan kedudukan istimewa Islam, raja-raja Melayu dan orang Melayu terpelihara.

Kita akan dapati secara tuntas jika kita kaji sejarah bahawa kedudukan agama Islam diberikan sebegitu istimewa dengan sebab tertentu. Jadi, amat tidak wajar kini ada golongan sama ada orang Melayu atau bukan Melayu mempertikaikan kedudukan istimewa Islam.

Dalam aspek lain, ada golongan mahu mengiktiraf Deklarasi Yogjakarta yang mempromosi LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transeksual). Memberi pengiktirafan kepada golongan mengamalkan perbuatan terkutuk itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan sendiri.

Golongan yang menyokong LGBT mengetepikan nilai-nilai Perlembagaan Persekutuan. Walaupun sesetengah golongan itu mahu berselindung di bawah nama hak asasi manusia, hak asasi tersebut sepatutnya tidak boleh bercanggah dengan prinsip utama dalam Perlembagaan. Ia seolah-olah menghalalkan apa juga amalan mengikut naluri nafsu golongan tertentu.

Berbalik kepada kepentingan sejarah, masyarakat kini sudah mula tidak menoleh kepada sejarah dalam justifikasi mereka. Malah, ramai tidak mengenali tokoh penting negara berbanding populariti golongan hiburan. Sejarah pula hanya dipelajari di sekolah, itu pun dibawa secara mendatar tanpa pengkajian secara kritikal. Ia juga kadangkala dianggap sebagai mata pelajaran tidak penting dalam arus sains dan teknologi sekarang.

Paksi sesebuah negara sebenarnya tertegak melalui sejarahnya. Sejarah perundangan pula amat penting bagi mengetahui falsafah perundangan itu sendiri. Sebagai pengamal undang-undang, saya sentiasa mengkaji sejarah untuk memahami lebih mendalam kedudukan sesuatu undang-undang.

Seorang peguam yang baik dapat membezakan falsafah undang-undang dan realiti tuntutan masyarakat terkini bagi mengukuhkan tamadun serta jati diri negara.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca