SHAH ALAM - Gerakan Tanah Air (GTA) tidak akan terkubur ataupun dibubarkan meskipun Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berpendirian untuk keluar daripada gabungan tersebut. Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Gerakan Tanah Air (GTA) tidak akan terkubur ataupun dibubarkan meskipun Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berpendirian untuk keluar daripada gabungan tersebut.

Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani Ibrahim berkata, perkembangan itu juga tidak akan merencatkan semangat parti komponen GTA untuk meneruskan usaha mendapat kelulusan pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

"Kita nak membuktikan kepada rakyat dan juga beberapa pandangan parti lain mengatakan bahawa tanpa Pejuang, GTA akan lumpuh dan terkubur. Kita menafikan dan kita akan keluarkan maklumat dari masa ke masa tentang GTA.

"Bahkan kita sudah susun hala tuju yang mantap untuk kita mengambil ruang dan peluang agar mengadakan gerakan kepada rakyat untuk mengetahui bahawa perjuangan GTA tetap segar lagi.

"Kita juga sudah susun strategi untuk mendapatkan pendaftaran. Selepas itu kita terus akan jelajah bawa agenda bagi memberi kefahaman berkenaan GTA untuk membela negara, hak Melayu daripada tergadai,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Sabtu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan parti tersebut keluar secara rasmi daripada GTA bagi memperkukuhkan parti tersebut.

Mengulas berkenaan itu, Zamani berpendapat bahawa tindakan itu hanya akan merugikan Pejuang kerana tidak lagi berpegang kepada agenda utama iaitu mempertahankan umat Islam, bangsa Melayu dan tanah air daripada digadai.

"Jangan dia (Pejuang) memberi keutamaan kepada untung rugi parti. Kalau sekiranya dia keluar GTA dengan membawa agenda untung rugi parti, bagi saya Pejuang tidak boleh ke mana-mana.

"Ini kerana parti yang memperjuangkan agenda ini sudahpun ditolak rakyat hari ini. Rakyat sedang menanti-nanti dan mencari parti yang membawa agenda yang besar iaitu mempertahankan negara,” ujarnya.

Jelas beliau, Tun Dr Mahathir Mohamad juga masih bersama GTA sebagai Pengerusi walaupun beliau telah meletakkan jawatan selaku Pengerusi Pejuang.

Sementara itu, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, parti tersebut masih berpendirian untuk bersama dan tidak sesekali meninggalkan GTA demi kepentingan.

"Ia merupakan dusta yang besar. Rakyat yang sedang memerhati langkah tindak-tanduk perjuangan GTA. Putra tetap cekal menempuh badai dan tidak akan tergolong sebagai manusia ‘cakap lain buat lain’,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca