ISU kesesakan lalu lintas bagaikan tiada jalan penyelesaian, malah semakin teruk sejak kebelakangan ini. Ramai yang mengadu terpaksa menempuh kesesakan berjam-jam untuk pergi dan balik walaupun tinggal serta bekerja dalam daerah sama.
Bagi Ahli Parlimen Shah Alam, AZLI YUSOF, isu berkenaan perlu menjadi agenda wakil rakyat yang dibincangkan secara serius agar rakyat tidak lagi terbeban dengan kemelut tersebut.
Selain itu, Azli juga melihat kekurangan klinik kesihatan di Shah Alam menjadi agenda penting beliau bagi memastikan penduduk di daerah itu mendapat perkhidmatan kesihatan lebih baik.
Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian, DIANA AZIS bersama Azli menerusi ruangan Agenda YB di pejabatnya di Shah Alam baru-baru ini.
SINAR HARIAN: Setelah diberi mandat oleh rakyat Shah Alam, tumpuan selepas ini terarah kepada persidangan Dewan Rakyat dan penggal ini merupakan pengalaman pertama bagi Yang Berhormat (YB). Apakah isu yang akan YB bawa dan suarakan nanti?
AZLI: Saya akan bawa isu kesesakan lalu lintas yang melibatkan bukan hanya di Shah Alam, tetapi semua tempat, mesti ada jalan penyelesaian yang bersepadu. Dari segi cara untuk menangani isu kesesakan, mesti ada tindakan yang berani daripada kerajaan, mungkin tidak popular tetapi berani dilakukan.
Ia dipanggil sebagai sistem tag kenderaan yang bermaksud, kalau nak kurangkan bilangan kenderaan (dan) pelbagai cara sudah dilakukan namun gagal, maka mungkin boleh dicadangkan untuk tidak membenarkan (kenderaan) masuk ke bandar.
Cadangan ini perlu disertakan dengan infrastruktur yang lengkap dan sistem ini boleh dilaksanakan dengan cara, kenderaan ditandakan dengan warna contoh merah, hanya dibenarkan masuk ke bandar pada hari-hari tertentu, atau waktu tertentu.
Secara tidak langsung boleh mengurangkan (kenderaan) waktu puncak, jika tidak semua orang akan berada di jalan raya pada waktu yang sama.
Sistem ini berjaya dilakukan di banyak negara seperti Singapura dan Filipina pula baharu sahaja laksanakan, dan mereka berjaya mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas.
Selain kesesakan lalu lintas, saya juga akan bawa isu kekurangan klinik kesihatan, yang mana di Shah Alam hanya ada dua iaitu di Seksyen 7 dan Seksyen 19.
Mereka yang tidak berkemampuan contohnya dari luar kawasan seperti Sri Muda (Seksyen 25) dan Denai Alam, akan pergi ke sana (Seksyen 7 dan 9) dan berlaku kesesakan di dua klinik ini. Maka saya lihat isu ini adalah keperluan mendesak dan saya fikir ia boleh dilaksanakan dalam waktu singkat, berbanding menambah satu lagi hospital di daerah ini. Klinik lebih cepat untuk dibangunkan.
Saya akan cadangkan penambahan klinik kesihatan di kawasan Bukit Jelutong, Denai Alam dan Taman Bukit Subang kerana penduduk di kawasan ini terpaksa ke Petaling Jaya untuk dapatkan rawatan di klinik kesihatan terdekat.
SH: Selepas hampir dua bulan menjalankan amanah sebagai Ahli Parlimen Shah Alam, apa yang akan difokuskan untuk rakyat di bandar raya ini?
Semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), agenda dan tawaran saya adalah untuk menangani kos sara hidup, banjir dan kesesakan lalu lintas khususnya di persimpangan lampu isyarat TTDI dan 199. Selain itu isu kekurangan sekolah juga menjadi perjuangan saya untuk Shah Alam.
Tumpuan juga terarah kepada golongan muda berkaitan jaminan perlindungan keselamatan dan sediakan peluang pekerjaan. Oleh itu sudah tentu fokus saya untuk memastikan semua tawaran itu diperjuangkan sebaiknya.
Sebagai langkah awal, saya sudah bertemu dengan Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim untuk mengetahui tentang rancangan mitigasi banjir melibatkan kawasan Shah Alam.
Alhamdulillah, semuanya dalam perancangan dan sebahagiannya dalam pelaksanaan atas inisiatif kerajaan negeri contohnya melalui usaha Gerbang Maritim Selangor (SMG) yang melibatkan mendalam dan melebarkan sungai sepanjang 56 kilometer (km) bermula dari Mid Valley hingga muara Sungai Klang.
SH: Bagaimana YB melihat projek berkenaan dapat membantu penduduk tempatan khususnya di Shah Alam?
Projek ini melibatkan proses mendalamkan sungai sedalam tiga meter dan secara tidak langsung, mampu menampung sehingga 40 peratus tadahan air. Selain itu, akan diletakkan ban di kawasan rendah bagi menghalang limpahan air.
Ketika ini sudah ada pemaju yang dikenalpasti dan kini sedang dalam kelulusan kebenaran merancang di Seksyen 24, berhadapan Sri Muda. Ini lebih kepada projek jangka panjang kerana melibatkan jarak 56 km.
Dari sudut jangka pendek, telah dilaksanakan pelan mitigasi banjir yang dinamakan Pelan Tindakan Banjir Shah Alam atau Shah Alam Sustainable Urban Drainage Master Plan (SASUD) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Mereka adakan kolam-kolam takungan untuk mengalirkan aliran air bila berlaku banjir dan pam keluar ke Sungai Klang.
Projek ini sudah laksanakan di peringkat pertama termasuk di Sri Muda dan Seksyen 13.
SH: Selain banjir, isu kos sara hidup serta penyediaan peluang pekerjaan terutama kepada golongan muda turut menjadi tumpuan YB. Bagaimana YB mainkan peranan dalam isu ini?
Bagi kos sara hidup, kita perlu pastikan harga barangan keperluan harian terkawal dan ini tidak boleh lakukan secara sendirian, kerajaan Persekutuan perlu memainkan peranan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah maklumkan bahawa keutamaan kerajaan adalah untuk menangani isu berkenaan.
Di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), untuk anak muda kita cuba usahakan sebuah hab perniagaan kerana mereka cenderung ke arah tersebut, dibuat (perniagaan) secara dalam talian, jadi kita nak sediakan ruang untuk mereka mulakan perniagaan.
Sebagai langkah permulaan, saya telah bertemu dengan Datuk Bandar Shah Alam, Dr Nor Fuad Abdul Hamid dua minggu lalu dan maklumkan hal ini.
Saya mohon kerjasama MBSA untuk bantu Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan untuk wujudkan hab itu.
MBSA boleh sediakan premis, kerajaan negeri pula boleh sediakan fasiliti, kemudahan, insentif dan sebagainya.
Alhamdulillah, respons daripada Nor Fuad amat positif dan insya-ALLAH perkara ini akan ada kemajuan dan saya akan follow-up dari masa ke semasa.
Di samping itu, misi saya untuk memudahkan urusan pelesenan penjaja juga akan diteruskan selain tumpuan terhadap kemudahan perkhidmatan di kawasan utara Shah Alam yang rata-rata penduduknya adalah golongan pertengahan M40.
SH: Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor dijangka berlangsung beberapa bulan lagi. Boleh YB kongsikan apa persediaan untuk membantu calon-calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding?
Saya harap bakal calon kena turun padang, lakukan kerja dari sekarang. Dekati rakyat dan maklumkan apa inisiatif kerajaan negeri untuk membantu mereka. Sebagai sebahagian daripada PH, sudah pasti saya akan bersama jentera parti untuk berkempen nanti.
Klik di sini untuk terus membaca