SHAH ALAM - Pemimpin UMNO yang sebelum ini secara terbuka menyatakan pendirian tidak bersetuju terhadap cadangan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, mengambil pendekatan mengunci mulut selepas usul tersebut diluluskan.
Mereka yang dihubungi Sinar Harian pada Ahad tidak memberi respons atau enggan mengulas lanjut mengenai keputusan yang dicapai pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 pada Sabtu.
Usaha untuk mendapatkan komen daripada bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar gagal sejak selesai perhimpunan pada Sabtu, meskipun beliau sebelum itu secara lantang tidak bersetuju dengan usul tersebut.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu yang sebelum ini memberi gambaran akan bertanding merebut jawatan Presiden membuat cubaan terakhir pada Sabtu dengan meminta perwakilan agar mengundi tidak menyokong usul berkenaan.
Sementara itu, Naib Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad memaklumkan, beliau tidak akan memberikan sebarang komen buat masa ini.
Selepas mendengar ucapan dasar Presiden pada Jumaat lalu, Shahril Sufian yang meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO susulan prestasi buruk parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memberi respons ringkas bahawa dua jawatan tertinggi parti perlu dipertandingkan mengikut kebiasaan.
Shahril dan Khairy merupakan dua pemimpin parti yang sebelum ini secara terbuka meminta Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur selepas gabungan itu hanya memenangi 30 kerusi pada PRU15.
Pada PRU14 tahun 2018, BN buat pertama kali kalah dan gagal menerajui kerajaan apabila memperoleh sebanyak 79 kerusi Parlimen.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri ketika sidang akhbar pada Sabtu iaitu sejurus selepas PAU 2022 menutup tirai, membangkitkan mengenai status usul tambahan tersebut memandangkan ia membabitkan ketetapan dalam perlembagaan parti.
Bekas Perdana Menteri itu turut menjelaskan bahawa usul berkenaan masih terikat dengan fasal 10.1 perlembagaan UMNO berkaitan tempoh masa notis usul tersebut dikemukakan.
Cubaan Sinar Harian untuk menghubungi Ismail bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu tersebut bagaimanapun gagal apabila Ahli Parlimen Bera itu tidak memberikan sebarang respons.
Tidak diketahui punca yang menyebabkan pemimpin-pemimpin ini mengambil pendekatan untuk berdiam diri meskipun mereka sebelum ini secara terbuka menyatakan pendirian berhubung isu tersebut.
Ini menimbulkan persoalan kemungkinan mereka ketika ini sedang menantikan perkembangan berhubung keabsahan usul yang dikemukakan sebelum mengambil sebarang tindakan untuk memasuki musim pemilihan yang dijangka berlangsung pada Mei ini.
Klik di sini untuk terus membaca