SHAH ALAM - Selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 memutuskan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang, parti itu kini berdepan tugas berat untuk menangani persepsi negatif bagi memastikan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 memutuskan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang, parti itu kini berdepan tugas berat untuk menangani persepsi negatif bagi memastikan mereka masih kekal relevan sekurang-kurangnya pada pilihan raya di enam negeri nanti.

Jika UMNO gagal menangani persepsi buruk itu, khususnya berkaitan dua jawatan utama tidak dipertandingkan, kes mahkamah melibatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat persekutuan serta negeri Perak dan Pahang, UMNO diramal mengulangi kekalahan besar sama seperti Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November lalu.

Bukan hanya itu, andainya parti pimpinan Ahmad Zahid serta timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak bersungguh-sungguh menanganinya, maka parti berusia lebih 70 tahun itu juga akan dilabel sebagai liabiliti atau beban kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berpendapat BN dan UMNO mungkin mengalami kekalahan teruk berterusan jika pimpinan tertingginya gagal memulihkan imej parti selepas mereka hanya menang 30 kerusi Parlimen pada PRU15.

Pandangan Hisommudin berasas kerana sehingga kini masih belum nampak sebarang tindakan proaktif bagi memperbaiki imej UMNO dan BN.

Tegas Hisommudin, apa yang berlaku pada ketika ini cukup berbeza dengan pasca kekalahan PRU14.

Jelas beliau, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu bijak menyusun strategi dengan melepaskan jawatan Pengerusi BN dan Presiden UMNO demi memulihkan imej parti, sebelum melancarkan gerakan 'Bossku' bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti berkenaan.

Selepas itu, Najib menyusun semula strategi bertujuan mempelopori kebangkitan semula UMNO dan BN daripada 'zero kepada hero' hingga menang tujuh pilihan raya kecil, serta PRN Melaka dan Johor.

"Saya melihat perkara berkenaan tidak mustahil untuk diulangi namun sehingga kini tiada usaha ke arah itu dibuat.

"Jika BN tidak melakukan sesuatu maka ia akan menjejaskan peluang mereka untuk bangkit dan menang PRN nanti kerana pola sokongan pengundi pada masa ini masih kekal bersama Perikatan Nasional (PN),” kata Hisommudin kepada Sinar Premium pada Isnin.

Perkara pertama yang perlu diuruskan pemimpin tertinggi UMNO sekarang ialah pertembungan dalaman sesama sendiri sehingga mengakibatkan ahli parti berkenaan hilang kepercayaan kepada BN dan mengundi PN.

Begitu juga dengan pengundi atas pagar akan melihat UMNO dan BN terlalu lemah, lalu mengalihkan sokongan kepada PN.

"Satu lagi perkara penting perlu dilakukan kepimpinan UMNO dan BN ialah memulihkan imej parti daripada kluster mahkamah.

"Mereka wajar mempunyai naratif kuat untuk menangkis persepsi negatif seperti dilakukan oleh Najib sebelum ini,” tambah Hisommudin.

Bagaimanapun, beliau mengkritik tindakan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II daripada DAP iaitu Dr P Ramasamy yang menggambarkan Ahmad Zahid sebagai beban bukan hanya kepada UMNO, tetapi juga buat PH dan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, Ramasamy tidak sepatutnya mengkritik Ahmad Zahid secara terbuka kerana sebagai parti kerajaan mereka harus mempunyai mekanisme atau saluran lain untuk membuat teguran sesama sendiri.

"Jika pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan mendedahkan kelemahan mereka kepada orang lain, maka ia akan mewujudkan ketegangan dan menjejaskan sokongan rakyat kepada BN, UMNO dan PH, malah DAP sendiri,” kata Hisommudin.

Pandangan berbeza veteran UMNO

Tatkala ramai menilai keputusan UMNO tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti adalah keputusan untuk menyelamatkan Ahmad Zahid, namun Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa berbeza pandangan.

Katanya, Ahmad Zahid kini bukan lagi dianggap sebagai beban UMNO kerana lebih 95 peratus perwakilan PAU 2022 memberi sokongan kepada Timbalan Perdana Menteri itu untuk terus menerajui parti.

Beliau turut menolak dakwaan keputusan PAU 2022 akan menyebabkan rakyat memboikot UMNO dan BN dalam PRN yang perlu diadakan selewat-lewatnya bulan Julai nanti.

"UMNO sudah tiada masa untuk tukar kepimpinan tertinggi kerana ia akan melemahkan parti menjelang PRN di enam negeri.

"Mereka lantang mengkritik UMNO kerana tidak mahu melihat kita kembali kuat selepas menyertai kerajaan gabungan di Putrajaya.

"Apa yang diputuskan PAU tidak dirancang oleh Zahid kerana beliau sendiri sudah menegaskan sedia mempertahankan jawatan presiden jika ia dipertandingkan,” ujar beliau.

Othman menjelaskan, keputusan PAU 2022 itu adalah tepat demi memastikan perpaduan dalam UMNO kembali utuh dan mengelak campur tangan pihak luar.

"Cuba lihat parti yang menuduh UMNO tidak demokratik kerana menolak cadangan dua jawatan tertinggi parti seperti Bersatu dan Pas, mereka sendiri pun tidak mempertandingkan jawatan presiden,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca