SHAH ALAM - Serangan ‘pembukaan’ yang dilakukan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan kebimbangan sebilangan pimpinan Pakatan Harapan (PH) terhadap masa depan Kerajaan Perpaduan. Pensyarah Kanan Sains... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Serangan ‘pembukaan’ yang dilakukan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan kebimbangan sebilangan pimpinan Pakatan Harapan (PH) terhadap masa depan Kerajaan Perpaduan.

Pensyarah Kanan Sains Politik dari Universiti Teknologi Mara, Dr Ariff Aizuddin Azlan percaya, serangan secara dalaman akan terus dilakukan baik daripada PH mahupun UMNO susulan pengekalan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO hanya memberi ‘peluru politik’ kepada pembangkang.

Bagaimanapun katanya, perseteruan itu boleh diubati sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan prestasi yang baik, sekali gus menambat hati pengundi, khususnya di enam negeri yang akan terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

"Keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, memberi implikasi yang agak besar, bukan sahaja kepada Ahmad Zahid, tetapi secara keseluruhan terhadap UMNO, Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan itu sendiri.

"Presiden UMNO sendiri dianggap sebagai tonggak dan simbol paling utama UMNO.

"Bagaimanapun, dengan rekod mahkamah dan persepsi rakyat terhadapnya, tentu ia memberi keuntungan kepada pembangkang.

"Saya fikir, ini hanya serangan pembukaan dan akan ada lebih banyak desakan serta serangan dalaman kepada kepimpinan UMNO, baik parti itu sendiri mahupun PH.

"Akhirnya, yang akan mendapat keuntungan di sebalik serangan ini adalah parti pembangkang untuk menguatkan lagi naratif mereka bahawa yang sebenarnya Kerajaan Perpaduan tiada kesatuan dan tidak stabil,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Jelas Ariff, perseteruan dalaman itu adalah sesuatu yang bahaya dan dengan berbaki beberapa bulan lagi sebelum pilihan raya negeri (PRN), semuanya dilihat bergantung kepada prestasi Anwar selaku teraju utama kerajaan.

UMNO sendiri katanya, belum ada lagi naratif yang boleh diungkap untuk menarik balik undi yang telah mereka hilang, khususnya kaum Melayu.

"Untuk mobilisasi akan datang, sama ada dalam konteks kedudukan mereka dalam kerajaan dan pilihan raya sendiri, memang akan berikan kesan kepada PH.

"Kalau dilihat, memang sudah ada perbincangan yang memberi gambaran bahawa BN dan PH akan bergerak dalam ‘kenderaan’ yang sama pada PRN nanti.

"Ini kesukaran yang nyata untuk BN dan PH menterjemahkan naratif baharu kerjasama itu dan kesukaran PH untuk menerima keputusan PAU.

"Orang akan menghentam BN atau UMNO dan limpahan itu akan turut dirasai PH.

"Kemungkinan besar, akan ada penambahan undi yang agak ketara kepada Perikatan Nasional (PN).

"Saya lihat kemungkinan besar mereka akan guna hasil PAU ini sebagai modal serangan mereka terhadap Kerajaan Perpaduan,” jelasnya.

'Bincang dahulu sebelum guna platform BN'

Sementara itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon menyatakan sebarang keputusan untuk menggunakan platform Barisan Nasional (BN) perlu dibawa dalam perbincangan majlis tertinggi organisasi berkenaan.

Menurut Sin Woon, setakat ini belum ada mesyuarat berhubung kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN) dilakukan secara konsensus antara parti komponen.

"Kita tunggu bila dipanggil mesyuarat majlis tertinggi BN. Kita berbincang, tengok situasi terkini.

"Saya rasa apa yang dinyatakan oleh MIC itu adalah perkara biasa kecuali tidak guna platform BN sebagai contoh UMNO adakan Muafakat Nasional dengan Pas, itu antara UMNO dengan Pas.

"Sekiranya nak gunakan platform BN, kena bawa pada majlis tertinggi BN dan ia perkara biasa,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, media melaporkan MIC berharap sebarang keputusan berhubung kerjasama di antara BN dan PH dalam menghadapi PRN perlu dilakukan secara konsensus antara parti komponen BN.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, walaupun belum ada sebarang perbincangan, parti komponen itu mahu ia dibincangkan dan tidak menjadi keputusan sesetengah pihak sahaja.

Ketika ditanya wujud dakwaan menyatakan parti komponen BN dilihat seolah-olah disisihkan daripada terlibat dalam membuat keputusan, Sin Woon bagaimanapun enggan memberi mengulas lanjut.

"Saya tidak mahu beri komen tentang perkara itu,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca