LONDON - Langkah ‘berdamai’ antara Putera Harry dan keluarga diraja Britain mungkin berlaku sebelum hari pertabalan Raja Charles III pada Mei depan, menurut laporan pada akhir minggu lalu. The Sunday Times memetik sumber rapat istana... Klik di sini untuk terus membaca

LONDON - Langkah ‘berdamai’ antara Putera Harry dan keluarga diraja Britain mungkin berlaku sebelum hari pertabalan Raja Charles III pada Mei depan, menurut laporan pada akhir minggu lalu.

The Sunday Times memetik sumber rapat istana juga melaporkan pertemuan itu dijangka berlangsung dalam tempoh beberapa bulan akan datang sebelum tarikh penting buat seluruh rakyat Britain pada 6 Mei depan.

Hubungan yang keruh itu boleh lagi diperbaiki. Harry perlu hadir di sini dan bertemu dengan ayahanda dan kakandanya, Putera William serta beberapa ahli kerabat diraja yang lain yang disebut dan terlibat ‘krisis’ bersamanya.

"Kesemua pihak perlu berdamai dan mengakui kesilapan masing-masing dan cuba memahami detik sukar yang dilalui oleh Harry selama ini. Raja Charles III boleh memainkan peranan untuk memulihkan masalah dihadapi mereka,” lapor akhbar itu.

Kisah kerabat diraja Britain semakin mendapat perhatian selepas buku autobiografi dihasilkan Harry berjudul Spare diterbitkan pada Selasa lalu mendedahkan kepincangan mereka dan pelbagai kontroversi yang kurang enak hingga mencalarkan imej keluarga tersebut.

Harry (kanan) pernah menganggap kakandanya sebagai ‘musuh paling besar’.

Sehingga kini, tiada wakil daripada kerabat diraja itu yang tampil untuk mengulas segala pendedahan kontroversi dibuat Duke of Sussex tersebut walaupun William dilaporkan ‘kecewa’ dengan tindakan adiknya yang membuka aib mereka.

Sumber itu juga menyatakan Harry perlu mengakui perbuatan buruknya dan tidak hanya meletakkan kesalahan pada orang lain.

"Ia memerlukan keberanian untuk seorang individu merendahkan ego mereka, namun Harry tidak ada ciri itu.

"Kita perlu move on dan pastikan segala-galanya selesai menjelang April. Raja Charles III perlu berada dalam keadaan yang tenang pada hari bersejarah baginda,” kata sumber diraja itu lagi.

Satu lagi sumber istana berpendapat pasangan Duke dan Duchess of Sussex itu wajar menerima jemputan untuk menghadiri acara penting itu walaupun terdapat ura-ura beliau mungkin akan dikecualikan daripada senarai tetamu khas.

Jika perkara itu berlaku, kisah perbalahan Harry dan William pasti akan disensasikan lagi segelintir pihak.

Skeptikal

Harry yang lantang menuduh William mengasarinya ketika pergaduhan pada 2019 menegaskan beliau ragu-ragu untuk berbaik semula dengan keluarganya.

"Saya sayangkan keluarga saya. Saya dan William juga saling menyayangi antara satu sama lain. Tetapi, banyak ‘keperitan’ dalam hubungan kami terutamanya dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini,” katanya yang turut mendedahkan kakandanya jelas kurang senang dengan perkahwinannya bersama bekas aktres Amerika, Meghan Markle.

Sehingga kini, Harry tetap mempertahankan isterinya yang didakwa menghasutnya untuk memutuskan hubungan bersama keluarganya dan melepaskan hak keistimewaan diraja serta berpindah ke California, Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2020.

William (dua dari kiri) dan Harry (tengah) bersama pasangan masing-masing bertemu buat kali pertama sejak tahun 2020 ketika upacara pengembumian nenda mereka, Ratu Elizabeth II pada September 2022.

"Segala luahan hati saya menerusi Spare bukan berniat untuk menyakiti hati keluarga saya. Saya hanya memberi gambaran penuh tentang situasi tegang yang dihadapi bersama William. Meghan bukan pemusnah hubungan kami adik-beradik,” tegasnya ketika wawancara bersama 60 Minutes.

Menurutnya, banyak kandungan yang lebih sensitif telah disunting kerana bimbang ia mungkin akan menyinggung perasaan keluarganya walaupun apa yang didedahkannya telah merumitkan lagi hubungan mereka.

"Ayahanda dan kakanda saya tidak mahu dunia tahu kisah kami. Saya berasa mereka tidak akan maafkan saya,” ujarnya kepada The Daily Telegraph.

Ketika ini, sokongan awam terhadap Harry dikatakan menurun berbanding sedekad lalu.

Tinjauan YouGov diterbitkan menerusi The Times mendapati hanya 24 peratus mempunyai pandangan positif terhadap putera kedua kepada Puteri Diana tersebut manakala 68 peratus mengkritik beliau. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca