MAJLIS Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022 yang julung kalinya diadakan di negara ini akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Januari ini. AIGA merupakan salah satu pendekatan baharu... Klik di sini untuk terus membaca

MAJLIS Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022 yang julung kalinya diadakan di negara ini akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Januari ini.

AIGA merupakan salah satu pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) selaras dengan peranannya sebagai peneraju utama pembudayaan dan penerapan nilai-nilai integriti serta tata kelola di segenap lapisan masyarakat Malaysia.

Usaha ini juga adalah selari dengan mandat baharu yang diberikan kepada IIM oleh kerajaan untuk memantapkan kualiti dan prestasi tata kelola sektor awam serta swasta di negara ini.

Selain itu, AIGA merupakan satu anugerah yang memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada sektor awam serta swasta yang menzahirkan komitmen dalam pembudayaan dan pengamalan integriti serta tata kelola terbaik dalam organisasi masing-masing.

Di samping itu, ia mewujudkan ruang untuk mencungkil keupayaan, kemampuan, komitmen dan kesungguhan sektor awam serta swasta dalam usaha pelaksanaan sistem kawalan dalaman pengurusan integriti. Sejarah AIGA sebenarnya bermula sejak tahun 2020.

Pada tahun tersebut, penganjuran AIGA secara rintis oleh IIM dengan kerjasama Yayasan Pahang (YP) telah diadakan di peringkat negeri Pahang sahaja.

Penganjuran AIGA peringkat negeri Pahang telah meraih penyertaan sebanyak 41 organisasi kerajaan dan swasta di seluruh negeri tersebut.

Susulan kejayaan projek rintis AIGA 2020 peringkat negeri Pahang, Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi IIM, Tan Sri Mohd Zuki Ali telah mengusulkan supaya AIGA dikembangkan penganjurannya ke peringkat kebangsaan.

Sejumlah 143 pendaftaran penyertaan AIGA 2022 telah diterima daripada pelbagai organisasi oleh IIM.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 115 organisasi yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat multinasional (MNC), syarikat awam berhad (PLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah berjaya meneruskan penyertaan sehingga ke peringkat penilaian.

Justeru, AIGA adalah merupakan platform terbaik di negara ini bagi organisasi awam dan swasta untuk menilai tahap pelaksanaan serta keberkesanan sistem pengurusan integriti dan program-program integriti serta antirasuah dalam organisasi masing-masing, dan seterusnya dapat memantapkan tata kelola terbaik.

Tambahan pula, proses penilaian dibuat oleh pihak ketiga yang merupakan individu-individu berpengalaman dan berpengetahuan berkaitan integriti, tata kelola baik serta antirasuah yang mewakili sektor awam, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Selari dengan konsep penambahbaikan berterusan terhadap penganjuran AIGA yang akan dilaksanakan secara tahunan, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) telah menzahirkan komitmen dan hasrat kepada IIM untuk turut bekerjasama dalam penganjuran AIGA 2023 yang bakal dibuka pendaftarannya pada 18 Januari ini.

Adalah diharapkan agar penyertaan bagi AIGA 2023 dapat menarik minat lebih banyak lagi organisasi daripada sektor awam dan swasta dalam usaha memantapkan tata kelola terbaik serta integriti organisasi masing-masing.

Seterusnya dapat mencegah jenayah rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa daripada berleluasa, seperti yang ditekankan oleh Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Anwar demi kebajikan rakyat dan negara.

* Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi adalah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM)

Klik di sini untuk terus membaca