SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Gerakan Tanah Air (GTA) dinilai tidak relevan dalam arena politik negara ketika ini tambahan pula bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah meletakkan jawatannya sebagai pengerusi untuk kedua-dua entiti berkenaan.
Selain itu kata Timbalan Ketua Strategi, Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB di Universiti Sunway, Profesor Dr Wong Chin Huat, kekalahan teruk Pejuang dan GTA yang mempertaruhkan 121 calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu sehingga menyebabkan kesemuanya hilang wang pertaruhan menjadi faktor kukuh koalisi itu sukar untuk diterima ramai.
Tambahan pula kata Chin Huat, pasaran pilihan raya untuk pengundi nasionalis Melayu sudah tepu dengan kewujudan UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Malah Chin Huat berkata, saiz parti dan jumlah penyokong Pejuang juga adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan UMNO, Pas dan Bersatu, manakala GTA hanya gabungan NGO tanpa Pejuang.
"Pilihan paling realistik ialah Pejuang mungkin berpakat dengan PH tetapi ia akan dihalang oleh UMNO yang tidak sukakan pesaing.
"Kalau Pejuang boleh bangkit kembali di Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, itu sudah cukup baik. Ini kerana tidak banyak yang boleh Pejuang boleh lakukan di bawah sistem sekarang kecuali berpakat dengan PH untuk masa depan yang lebih baik," katanya kepada Sinar Premium.
Chin Huat berkata demikian ketika mengulas sama ada Pejuang dan GTA boleh kekal relevan selepas mereka membawa haluan masing-masing susulan kekalahan teruk dalam PRU15 lalu dan pengunduran Dr Mahathir dari arena politik, baru-baru ini.
Pada Ahad, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan Pejuang mengambil keputusan untuk berundur daripada GTA bagi memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan parti itu sebelum memberi nilai tambah kepada mana-mana gabungan.
Mukhriz berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan para perwakilan dalam Perhimpunan Agung Pejuang kali kedua, ekoran kekalahan teruk parti itu dalam PRU15 lalu.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya, melahirkan rasa kesal dengan tindakan Mukhriz yang memperlihatkan sisi tidak matang bekas Ahli Parlimen Jerlun berkenaan selepas terburu-buru mengumumkan parti itu keluar daripada GTA.
Marzuki menjelaskan, keputusan itu juga tidak dibincangkan bersama pucuk pimpinan tertinggi, sebaliknya Mukhriz hanya mengambil kira pandangan perwakilan.
Marzuki menegaskan, masa depan parti memerlukan hala tuju jelas supaya kekalahan pada PRU15 tidak berulang.
Dalam pada itu, ditanya mengenai apa yang perlu dilakukan Mukhriz untuk memastikan parti pimpinannya terus relevan dan dapat meneruskan survival dalam arena politik Malaysia sekarang, Chin Huat berkata, parti itu perlu berdoa supaya ada transformasi besar berlaku.
Klik di sini untuk terus membaca