SHAH ALAM - Satu kelaziman setiap kali baton perdana menteri bertukar tangan adalah penjenamaan semula pakej bantuan tunai untuk rakyat dan kali ini tiba giliran Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi menggantikan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).
STR Fasa 1 untuk golongan B40 itu melibatkan 8.7 juta penerima dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.67 bilion dan akan dibayar secara berperingkat mulai 17 Januari.
Menurut Anwar, bantuan tunai tersebut menyaksikan seramai empat juta penerima isi rumah menerima RM300, 1.2 juta warga emas tiada pasangan menerima RM100, dan 3.5 juta penerima bujang mendapat RM100.
Pastinya pengumuman tersebut satu berita gembira yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat tatkala kenaikan harga barangan menjadikan kos sara hidup semakin menekan.
Mengimbas kembali, banyak jenama bantuan kewangan tunai telah diberikan kepada rakyat bermula daripada bekas Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
BR1M mula diperkenalkan pada tahun 2012 dengan pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah mendapat bantuan tunai sebanyak RM1,200 manakala golongan berpendapatan antara RM3,000 dan RM4,000 menerima bantuan sebanyak RM900 setahun. Individu bujang dengan pendapatan RM2,000 ke bawah pula menerima RM450.
Pemberian bantuan BR1M berterusan hingga tahun 2018, namun susulan kekalahan Barisan Nasional di tangan Pakatan Harapan yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Pilihan Raya Umum ke-14, BR1M telah digantikan dengan Bantuan Sara Hidup (BSH) pada Mei tahun sama dengan jumlah bantuan dikekalkan.
Namun pada Bajet 2020, kategori penerima dikaji semula dan seramai 4.3 juta isi rumah menerima bantuan berjumlah RM5 bilion berbanding kira-kira tujuh juta penerima bantuan BR1M sebelum itu.
Bagi kategori isi rumah berpendapatan RM2,000 ke bawah menerima RM1,000, isi rumah berpendapatan RM2,000-RM3,000 menerima RM750, sementara untuk isi rumah berpendapatan RM3,001-RM4,000 menerima RM500.
Manakala kategori bujang berpendapatan bawah RM2,000 (lebih 40 tahun) menerima RM300.
BSH kemudian digantikan pula oleh bekas Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang menampilkan kadar peruntukan dan kategori pendapatan yang lebih baik.
Pada tahun 2021, BPR melibatkan RM6.5 bilion dan 8.1 juta penerima, dengan kategori isi rumah pendapatan RM2,500 ke bawah dengan seorang anak mendapat RM1,200, manakala untuk isi rumah dengan dua orang anak atau lebih menerima RM1,800.
Seterusnya, isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM4,000 dengan seorang anak, menerima RM800, manakala untuk isi rumah dengan dua anak dan lebih menerima RM1,200.
Diikuti isi rumah berpendapatan RM4,001 hingga RM5,000 dengan seorang anak menerima RM500, sementara untuk isi rumah dengan dua orang anak dan lebih menerima RM750.
Bagi kategori bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah (21 tahun ke atas) menerima RM350.
Namun, pakej bantuan yang popular dalam kalangan rakyat disebabkan analogi Makcik Kiah itu digantikan pula dengan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) apabila Muhyiddin meletak jawatan selepas hilang majoriti sokongan.
BKM merupakan inisiatif bantuan tunai yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ia bersifat lebih bersasar kepada golongan yang memerlukan bagi meringankan kos sara hidup dan beban rakyat berpendapatan rendah.
Untuk BKM 2022, secara keseluruhan melibatkan RM8.2 bilion dengan 9.6 juta penerima.
Bagi isi rumah berpendapatan RM2,500 ke bawah dan tiada anak (RM1,000), untuk satu hingga dua anak (RM1,500) sementara untuk tiga anak atau lebih (RM2,000).
Sementara untuk isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 dan tiada anak (RM400), untuk satu hingga dua anak (RM600) dan untuk tiga anak atau lebih (RM800).
Untuk ibu bapa tunggal dengan tanggungan menerima tambahan RM500, warga emas (RM300) dan kategori bujang berpendapatan bawah RM2,500 menerima RM350.