SEJAK penghujung tahun lalu, beberapa pakar kesihatan meminta kerajaan mempertimbangkan untuk menutup semula pintu sempadan negara. Bukan seorang dua tetapi beberapa orang. Dan mereka sememangnya pakar, bukan bomoh, pawang atau sinseh.
Rakyat marhaen juga umumnya senada. Masing-masing melihat kemungkinan kedatangan beramai-ramai pelancong dari China dengan bimbang.
Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) bagaimanapun jelas kurang bersetuju dengan cadangan penutupan menyekat kemasukan China. Tidak rasional kata mereka. Tidak susah mencari rasional di sebalik kenyataan itu. Memadai dengan tiga huruf ‘hmm...’
Menteri yang berkenaan dengan pelancongan juga senada. Beliau meminta rakyat supaya tidak memberi reaksi berlebihan terhadap isu itu, di samping memberi jaminan kerajaan akan melaksanakan tanggungjawabnya bagi memastikan rakyat selamat.
Asas kepada semua kenyataan di atas adalah satu perkara, Covid-19. Peningkatan ketara jumlah kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19 di China dengan diiringi berita mengenai kemunculan subvarian baharunya menjadi sebab timbulnya percanggahan pandangan dalam kalangan pelbagai pihak.
Pada Isnin, tersiar berita bahawa China melaporkan 59,938 kematian berkaitan Covid-19 antara 8 Disember 2022 dan 12 Januari tahun ini.
Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, jumlah itu direkod berdasarkan kematian di hospital. Jadi, ada kemungkinan angkanya lebih besar jika dicampur dengan yang meninggal di rumah.
Airfinity. sebuah firma penyelidikan berpangkalan di London melaporkan kadar kematian akibat Covid-19 di China mungkin melonjak tinggi pada 23 Januari, hari kedua cuti tahunan sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Jangkitan harian pula diunjur memuncak sehingga 10 hari iaitu hingga sekitar 3.7 juta.
Dengan angka yang begitu, ada sebab rakyat marhaen di negara ini bimbang. Tetapi ada juga tetapinya. Pemain industri pelancongan misalnya, menjangkakan 1.2 juta warga China akan melancong ke Malaysia pada 2023 dan menjana kira-kira RM3.6 bilion.
Jumlah yang banyak. Kalau kita ada wang sebanyak itu dan membelanjakannya dengan kadar RM50-RM60 sehari macam sekarang, bermakna kira-kira 190,000 tahun lagi barulah wang itu akan habis. Jadi, ada sebab kenapa khalayak perniagaan mengharapkan kedatangan mereka tidak disekat.
Saya bersetuju bahawa kita tidak perlu panik tetapi saya juga bersetuju kita perlu lebih berhati-hati, malah sangat berhati-hati. Prinsip mencegah lebih baik daripada merawat harus kita jadikan pegangan dalam semua keadaan.
Kita tentu masih ingat pengalaman pahit yang dibawa Covid-19 pada peringkat awal kemunculannya. Ketika ia masih dinamakan Coronavirus. Kes pertama di negara ini dikesan pada minggu terakhir Januari 2020 apabila tiga warga China yang memasuki Malaysia melalui Johor disahkan positif.
Tidak ada tindakan segera diambil, selain meningkatkan ujian saringan. Malah, kerajaan sebaliknya mengumumkan pengecualian visa selama 15 hari bagi warga China atas sebab-sebab meningkatkan hubungan dua hala, di samping menjana ekonomi.
Dan apabila langkah menutup pintu sempadan diambil, nasi telah menjadi seperti yang ditanak oleh anak dara yang tidak pernah ke dapur. Lebih bubur daripada bubur.
Tetapi kesilapan kerajaan itu boleh dimaafkan. Ketika itu tiada siapa pernah berpengalaman menghadapi serangan virus tersebut. Mendengar namanya pun tidak pernah, apatah lagi membayangkannya.
Sekarang keadaan berbeza. Baik budak-budak di atas pangkuan, mahupun datuk dan nenek di ceruk mana sekalipun tahu mengenai Covid-19. Malah ramai yang boleh bercerita, mengulas dan mengupas mengenainya sama macam pegawai daripada Kementerian Kesihatan. Atau bukan mustahil juga, mereka lebih ‘pandai’ daripada pegawai-pegawai itu.
Kerana kini kita telah ada pengetahuan dan pengalaman, maka sewajarnyalah sambil menghitung rezeki yang datang bersama pelancong-pelancong luar itu, kita imbaskan juga pengalaman sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Indahkah hidup ketika itu?
Jawapannya mungkin ya jika anda pengeluar, pengedar dan penjual sarung tangan serta pelitup muka. Mungkin ya juga jika anda kaki ponteng kerja tetapi bagi ramai yang lain, ia hanya sesuatu yang manis dikenang tetapi pahit dilalui.
Saya tidak fikir ada sesiapa mahu melaluinya lagi, lebih-lebih lagi sahabat-sahabat yang beristeri lebih daripada satu dan isteri-isterinya pula berada di daerah atau negeri berbeza.
Jadi berusahalah mencegahnya dari sekarang. Kalau menutup pintu sempadan itu langkah keterlaluan, tingkatkanlah kaedah kawalan dan segala prosedur operasi standart berkaitan.
Kempen memperingatkan tentang bahayanya mesti diteruskan kerana orang kita lazimnya mudah lupa. Slogan ‘kita jaga kita’ perlu terus diangkat sehingga diterima sebagai amalan, setidak-tidaknya sehingga mampu menggantikan budaya ‘kita jaga rumahtangga artis’!....#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca